10 September 2012

Janji Dicapati...Pengusaha Feri Langkawi Gagal Beri Tambang Istimewa



Janji-janji Pilihanraya..sunggut penduduk Langkawi.....Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kuatkuasakan arahan pemberian diskaun kepada penduduk Langkawi selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi, Jumaat lepas.

Tindakan tegas jika pengusaha feri Langkawi gagal beri tambang istimewa



LUMUT - Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengendali feri penumpang di Langkawi yang dilaporkan masih gagal melaksanakan sepenuhnya pemberian kadar tambang istimewa kepada penduduk tempatan di pulau tersebut.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pihaknya kesal dengan sikap syarikat feri tersebut yang terus berdegil dan enggan memberikan kadar tambang istimewa walaupun dipersetujui sebelum ini.


"Persetujuan ini (kadar tambang istimewa) kepada penduduk Langkawi bukan perkara baru... sejak 2005 lagi. Sepatutnya mereka kena patuhi janji yang dipersetujui. Isu tersebut sepatutnya tidak timbul lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 1Komuniti 1JPJ Peringkat Parlimen Lumut di Dewan Kolej Vokasional Seri Manjung dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kuatkuasakan arahan pemberian diskaun kepada penduduk Langkawi selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi, Jumaat lepas.

Kong berkata sehubungan itu pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat feri yang terlibat termasuk kemungkinan menarik semula lesen perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.

Kong yang juga anggota Parlimen Lumut berkata bagaimanapun pihaknya akan menghantar beberapa pegawai termasuk petugas Jabatan Laut untuk berunding terlebih dahulu dengan syarikat terlibat sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sebelum September 2011, penduduk Langkawi menikmati diskaun harga tiket RM3 daripada harga asal RM23 bagi laluan Kuala Kedah dan RM15 bagi Kuala Perlis.

Bagaimanapun, bermula September 2011, kadar istimewa bagi penduduk Langkawi itu turut tidak lagi terpakai pada waktu cuti sekolah, cuti umum, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Selain itu pesara, warga emas dan pelajar serta orang kurang upaya diberikan kadar tambang kanak-kanak iaitu RM17 bagi laluan Kuala Kedah dan RM13 bagi Kuala Perlis, tetapi kini tidak diberikan lagi.

Isu perkhidmatan feri di Langkawi dibangkitkan Ketua Umno Bahagian Langkawi Datuk Nawawi Ahmad dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri Muhyiddin itu. - Bernama



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...