23 Januari 2012

MIER: KDNK 2012 DIRAMAL RENDAH 3.7 %


KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus pada tahun ini berikutan kesan ekonomi global terhadap permintaan eksport yang semakin berkurangan.

Tinjauan MIER tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini mendapati pengurangan permintaan eksport memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid, permintaan domestik tidak mampu untuk menampung jumlah eksport negara yang mana 50 peratus daripadanya menyumbang kepada KDNK.

"Orang ramai bersikap tunggu dan lihat dan tidak berbelanja seperti sebelumnya berikutan jangkaan pilihan raya tahun ini,"

"Bagi menjana perbelanjaan domestik, kerajaan mengadakan pelbagai bentuk bantuan kewangan agar orang ramai berbelanja sekali gus dapat mengimbangi kekurangan eksport negara," kata Zakariah selepas taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia bagi suku keempat tahun 2011, di sini hari ini.

Menurut beliau, unjuran ekonomi Malaysia pada tahun ini tidaklah seburuk pada tahun 2008 dan 2009 tetapi ia tidak sebaik sebagaimana pencapaian tahun lalu.

Ini kerana kata beliau, penggunaan domestik tidak boleh dijangka begitu banyak dan lebih tertumpu kepada perbelanjaan kerajaan ke atas projek-projek seperti yang diumumkan di dalam Program Transformasi Ekonomi untuk menjana pendapatan.

Selain itu kata Zakariah, rizab negara yang kini melebihi RM400 bilion dilihat juga tidak berupaya untuk menggerakkan ekonomi kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh 9.7 bulan sahaja.

Oleh itu kata beliau, kerajaan harus melakukan sesuatu seperti meningkatkan pendapatan menerusi pembaharuan cukai dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada pendapatan minyak dan gas.

Zakariah berkata, walaupun ekonomi global sedang berada dalam aliran menurun sekarang, beberapa ekonomi Timur seperti China dan Indonesia, meskipun terjejas masih mencatatkan prestasi yang agak baik.

Oleh sebab, sektor luaran akan menjadi rintangan kepada ekonomi Malaysia, permintaan domestik menerusi inisiatif dasar kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Dasar Agro-Makanan akan membantu mengurangkan sebahagian daripada impak tersebut, kata beliau.

"Penggunaan swasta juga dijangka kekal kukuh manakala pelaburan swasta akan mendapat rangsangan daripada pelaksanaan projek di bawah ETP," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...