26 Januari 2012

Isu KUIN : DPPNK Sedia Isytihar Perang!


Alor Setar, 25 Jan : Isu yang melanda mahasiswa, pentadbiran KUIN dan kerajaan Negeri Kedah terus mendapat perhatian ramai pihak.
Rentetan pergantungan enam mahasiswa universiti berkenaan tahun lalu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) melalui Jabatan Pembangunan Mahasiswa telah mengadakan beberapa siri perjumpaan tertutup dengan wakil mahasiswa dan pensyarah untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
Namun, dikhabarkan setelah pelbagai pandangan dan nasihat yang diberikan untuk menyelesaikannya, isu berkenaan semakin panas apabila terdapat campur tangan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan beberapa gerakan mahasiswa sekitar Lembah Klang.

“Antara tindakan mereka ialah menghantar satu memorandum kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka menuntut agar YAB Dato’ Seri Ust Azizan dinasihati dan ditegur.”, ujar Setiausaha Politik MB Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dan pada 29 Mei 2011, DPPNK telah mengambil langkah menjemput semua pihak termasuk wakil pentadbiran KUIN untuk memberikan penjelasan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Respon pentadbiran

Dalam pada itu, mengenai segala permasalahan yang ditimbulkan mahasiswa dalam Himpunan Mega Mahasiswa awal tahun lalu itu, berikut adalah kenyataan balas daripada pihak pentadbiran KUIN :

1) MASALAH KELEWATAN BAYARAN PTPTN
PTPTN mempunyai jadual pembayaran yang tetap, dan pihak KUIN tiada kuasa untuk melakukan perubahan. Selain itu, terdapat sesetengah pelajar yang tidak menyediakan dokumen yang lengkap menyebabkan bahagian pemprosesan maklumat peminjam di Jabatan HEP terpaksa menunggu untuk menghantar permohonan secara serentak.

2) ISU PENEMPATAN PELAJAR
Asrama yang ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah yang ramai dan KUIN yang mempunyai sumber kewangan terhad tidak mampu untuk menyediakan penempatan kepada semua kerana sewa yang dikenakan untuk sesebuah rumah tinggi, akibatnya terpaksa menanggung subsidi yang tinggi.
Contohnya, bahagian perumahan negara meletakkan harga bagi sebuah rumah di flat gemilang ialah RM750. Sedangkan pihak KUIN mengenakan yuran asrama hanya RM50 sebulan. Untuk keselesaan, sebuah rumah hanya boleh memuatkan 8 orang pelajar. RM50 x 8 orang bersamaan RM400. Jadi KUIN terpaksa menampung RM350 untuk sebuah rumah.

3) YURAN ASRAMA DAN PENGAJIAN YANG TINGGI
Kuin antara IPTS yang mengenakan bayaran yang terendah kepada pelajarnya berbanding IPTS lain. Yuran pelajar diploma hanya RM48 bagi satu jam kredit, manakala untuk ijazah RM60 satu jam kredit. Ada sesetengah IPTS mengenakan yuran sebanyak RM250 untuk satu jam kredit. Kementerian pengajian tinggi pernah menegur KUIN kerana mengenakan yuran yang terlalu rendah seolah-olah mensia-siakan sumber yang ada iaitu yuran pelajar.
Kenaikan yuran juga untuk menampung kos penambahan pensyarah. Jumlah pelajar dalam sesebuah dewan kuliah sekarang ialah 150, manakala jumlah yang yang disyorkan oleh KPT ialah 50 orang untuk diberi keselesaan pembelajaran.
Selain itu, KUIN ada mengenakan yuran pentadbiran kepada pelajar. Yuran ini bertujuan untuk peperiksaan, percetakan dan lain-lain lagi.

4) ETIKA PEMAKAIAN PELAJAR WANITA
Masalah ini berlaku di kuliah kejururawatan dan hospitaliti kerana kuliah ini mewajibkan pelajar memakai pakaian seragam sesuai dengan bidang yang dipelajari, kod etika yang dikeluarkan oleh kuin memang tidak menyalahi tuntutan syarak. Cuma ada segelintir pelajar wanita yang melakukan ubahsuai dan menyebabkan pakaian ini tidak memenuhi tuntutan syarak. Pihak HEP akan melakukan tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini.

5) KEMUDAHAN ASAS DAN BILIK KULIAH TIDAK MENCUKUPI
Pihak KUIN memang mengakui kelemahan ini, ada sesetengah bilik kuliah yang tidak mempunyai kemudahan kerusi, meja, mikrofon dan LCD yang secukupnya. Walau bagaimanapun pihak KUIN memang berusaha untuk memastikan setiap bilik kuliah mempunyai kemudahan yang lengkap.

6) MASALAH PENGANGKUTAN PELAJAR YANG TINGGAL DI ASRAMA
KUIN hanya mempunyai 3 buah bas dan tidak mampu untuk mengangkut beribu-ribu pelajar yang berada di 4 asrama. Untuk mengatasi masalah itu, KUIN terpaksa menyewa bas-bas dari syarikat luar setiap hari dengan kos RM40 satu perjalanan. Oleh sebab itulah KUIN terpaksa mengenakan sedikit yuran pengankutan kepada pelajar.
“Secara kesimpulannya memang pihak KUIN berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar, tetapi kekangan utama ialah faktor kewangan.
“Peruntukan dari kerajaan negeri ialah 9 juta setahun, manakala perbelanjaan ialah RM30 juta setahun.
“KUIN terpaksa mencari jalan untuk menampung lebih dari RM20 juta. Jikalau KUIN menaikkan yuran, maka pelajar akan mengadakan demontrasi, kalau yuran tidak dinaikkan, maka semua masalah ini sukar untuk diselesaikan.
“Dilema inilah yang dihadapi oleh pihak KUIN sekarang.”, ujar Sanusi lagi.
Campur tangan luar punca jadi panas!

Namun, menurutnya juga, isu KUIN menjadi semakin panas adalah disebabkan beberapa faktor utama.
“Antaranya kegagalan pihak pentadbiran KUIN menyelesaikan masalah yang disuarakan dan tidak membuat penjelasan secara terperinci kepada pelajar dan juga kegagalan MPM mendapatkan penjelasan tentang masalah yang mereka bangkitkan.
“Selain itu, hubungan pentadbiran KUIN khususnya HEP dengan MPM yang semakin renggang serta hubungan pegawai tinggi KUIN dengan staf bawahan pensyarah yang tidak begitu baik juga boleh mendatangkan masalah.

Menurutnya juga, masalah kewangan yang dihadapi oleh KUIN dan campur tangan pihak luar juga sedikit sebanyak mendatangkan kemelut yang berpanjangan.
“Dan demontrasi serta permainan media yang dilakukan untuk mengangkat isu ini kepada umum juga menjadikan ianya bertukar kontroversi.”, tegasnya dalam satu kenyataan.

Sedia isytihar perang kedegilan

Muhammad Sanusi Md. Nor

Tambah Muhammad Sanusi, semua berharap agar isu KUIN itu segera selesaikan dengan cara yang baik.
“Semua pihak mesti bersedia duduk berbincang dan berlapang dada untuk menerima kelemahan dan kekurangan masing-masing.
“Matlamat perjuangan mesti diletakkan dihadapan mengatasi kepentingan peribadi. Keikhlasan dan keazaman untuk mencari penyelesaian adalah anak kuncinya. Agar beroleh keredhaan di dunia dan di akhirat.
“Kerajaan negeri, khususnya MB sangat komited untuk merungkai masalah KUIN sejak bertahun-tahun menjadi ‘caca merba’ di bawah BN. Sebarang tindakan yang memberi kesan negatif kepada KUIN dan kerajaan negeri sangat memberi bekas kepada usaha-usaha ini.
“Kerajaan harus diberi peluang dan masa untuk merungkai masalah ini satu persatu. Kami hanya perlukan sedikit masa dan sokongan, bukan kegopohan dan aksi gelojoh akibat tertusuk jarum UMNO.
“Siapa yang peduli dengan KUIN sebelum ini? Kenapa susah payah membangunkan KUIN tidak dipeduli, tetapi bila ada pihak yang tergopoh gapah mencalarkan imej dan melanggar peraturan sedia ada diambil tindakan, dipersalahkan KUIN pula!
“Diarahkan pula memberi kemaafan kerana mereka punya hak untuk berdemo walaupun atas asas teknikal yang tidak sepatutnya diangkat sebagai perjuangan mahasiswa.
“Ya boleh! Kata MB, tetapi mesti melalui proses rayuan. Hari ini mereka menghantar surat “tidak mengaku salah” malah mengecam pengurusan KUIN dan Lembaga tatatertib, juga membuat edaran kpd media.
“Surat itu dibuat oleh peguam yang mereka lantik. Siapa pula peguam itu? Fahamkan mereka isunya apa, masalahnya apa, puncanya apa dan kenapa tindakan diambil?
Pada 6 Jun ini, sesi kemasukan pelajar baru bermula. Pihak pelajar yang kena tindakan dan penyokong mereka mengadakan kempen boikot sesi itu, dan mungkin ada demo lagi.
“Apa tindakan yang perlu ketika itu? Maafkan mereka? Tengoklah…….!
“Selepas semua usaha dan perbincangan untuk membantu dari kami di DPPNK tidak dipedulikan, malah pihak luar terutama di Kuala Lumpur lebih senang didampingi untuk mencari sandaran atas ketelanjuran mereka.. kalau perlu, saya mahu isytiharkan Perang!!!!
“Dengan kedegilan!”, tegas Setiausaha Politik Datuk Seri Azizan Razak itu lagi
. – GZDaily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sila baca dan edarkan komen dari saudara MSO mengenai isu ini.
Berfikirlah kerana berfikir itu pelita hati.
Jangan disebabkan kritikan biadap oleh segelintir penyokong PR yg emosional dan berotak lembu, rakyat diatas pagar akan bosan dan berpersepsi yg PR ni di pimpin oleh pemimpin yg tak jujur. Tahniah MB Kedah kerana bersikap sebagai pemimpin Islam yg jujur dan amanah dalam memimpin umah.
WALAUPUN SESEBUAH NEGERI ITU DIPERINTAH OLEH PAKATAN RAKYAT TETAPI IA TETAP TERTAKLUK DAN TERIKAT DENGAN UNDANG UNDANG KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...