13 November 2011

ALOR SETAR: POLIS RAMPAS DADAH RM20 JUTA

Polis Tahan 11 Lelaki Termasuk 6 warga Asing, Rampas Dadah RM20 Juta

ALOR SETAR: Polis menahan 11 lelaki termasuk enam warga asing dan merampas dadah jenis ecstasy dan syabu yang bernilai lebih RM20 juta dalam dua operasi di sebuah kilang di sini dan di sebuah rumah di Pulau Pinang yang dijadikan makmal memproses dadah secara haram pada Jumaat lepas.

Operasi serentak oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Kedah kira-kira pukul 5 pagi itu berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Mergong di sini, polis menahan lima lelaki iaitu seorang rakyat Belanda, yang merupakan ketua sindiket, dua warga Singapura dan masing-masing seorang dari Perancis dan Britain.

Katanya seorang lagi rakyat Britain bersama empat rakyat tempatan ditahan di sekitar bandar raya ini susulan serbuan di Mergong itu.

"Seorang lagi lelaki rakyat tempatan ditahan di sebuah rumah di Pulau Pinang yang turut dijadikan makmal dadah jenis syabu tetapi tidak sebesar makmal di Alor Setar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Noor Rashid berkata dalam kedua-dua serbuan itu, polis berjaya merampas 240 liter cecair dipercayai ecstasy (di Alor Setar), 34 kg dadah dipercayai syabu (di Pulau Pinang), bahan prekursor safrole, acetone dan pelbagai bahan cecair kimia serta peralatan-peralatan memproses dadah.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ahli kimia mendapati kedua-dua makmal itu adalah makmal khas yang digunakan untuk memproses dadah.

Noor Rashid berkata semua suspek yang berumur antara 24 dan 60 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis turut merampas empat kereta jenis Mercedes Benz (dua buah), Toyota dan Tata, wang tunai Malaysia dan matawang asing Singapura, Euro, Kemboja dan Thailand bernilai RM39,000," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya dadah yang diproses itu adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan masih dijalankan.

"Semua rakyat asing itu masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial dan siasatan awal mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Noor Rashid berkata pihaknya telah membuat pemantauan beberapa bulan dan serbuan yang dilakukan itu adalah yang terbesar daripada segi nilai dan penglibatan-BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...