14 Mei 2011

Memorandum Mahasiswa tuntut MB Kedah lebih profesional

Memorandum Mahasiswa tuntut MB Kedah lebih profesional

Disediakan untuk:
1. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam Se-Malaysia
2. Anwar Ibrahim Penasihat Parti Keadilan Rakyat

TUJUAN

Memorandum ini diusulkan untuk mendapat perhatian Pakatan Rakyat khususnya PAS bagi menangani isu aktivisme mahasiswa yang dihalang di salah sebuah negeri bawah pentadbiran Pakatan Rakyat iaitu Negeri Kedah. Asas utama memorandum ini ialah ingin memohon pertimbangan Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk menasihati Kerajaan Negeri Kedah agar lebih profesional dalam berhadapan dengan aktivisme mahasiswa.

PENDAHULUAN

Mahasiswa merupakan generasi yang sepatutnya diberi kebebasan untuk melontarkan apa juga perspektif dari kaca mata anak muda. Namun tindakan menghalang dan membunuh idealisme anak muda seakan-akan menjadi wabak dalam negara Malaysia. Suara anak muda bukan sekadar dihalang, bahkan disediakan dengan pelbagai hukuman bagi sesiapa yang secara lantang bersuara dan mengkritik.

Pemimpin dalam negara seharusnya menyedari bahawa suara anak muda perlu didengar walaupun suara itu datang dari kelompok terpencil dan tidak mewakili suara majoriti. Hal ini kerana semangat untuk berpatisipasi dalam agenda reformasi negara adalah suatu perkara yang amat lemah dalam jiwa anak muda Malaysia pada hari ini. Oleh itu, Pemimpin wajib memandang serius terhadap sekelompok anak muda yang mempamerkan kecenderungan sebagai negarawan. Kelompok ini perlu ditanggapi dengan cara yang betul dan tindakan menghalang idealisme anak muda adalah amat tidak wajar.

"Academic chairs are many, but wise and noble teachers are few; lecture-rooms are numerous and large, but the number of young people who genuinely thirst after truth and justice is small." - Albert Einstein.

TUNTUTAN MEMORANDUM

1. Mahasiswa membantah sebarang bentuk tindakan tatatertib pihak pentadbiran Universiti terhadap mahasiswa yang terlibat dengan kegiatan aktivisme.
2. Mahasiswa mendesak agar Rektor Kolej Universiti Insaniah Prof. Dr. Jamil Bin Osman menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atas enam orang mahasiswa yang telah diberi surat tunjuk sebab.
3. Mahasiswa mendesak agar Menteri Besar Kedah menubuhkan panel siasatan bagi mengkaji salah guna kuasa pentadbiran yang menghambat aktivisme mahasiswa demi menjaga kepentingan tertentu.
4. Mahasiswa menuntut agar pihak Pakatan Rakyat khususnya PAS menasihati Menteri Besar Kedah iaitu Ustaz Haji Azizan Bin Abdul Razak agar menanggapi aktivisme mahasiswa secara profesional dan adil.

PENDIRIAN ATAS ISU

Pakatan Rakyat seharusnya mempamerkan contoh bagaimana cara menanggapi kebangkitan idealisme anak muda kepada rakyat Malaysia. Jika perbuatan menghalang idealisme ini dibiar berterusan, maka tidak perlu mahasiswa meletakkan harapan untuk Pakatan Rakyat melakukan perubahan terhadap autonomi mahasiswa jika berjaya memerintah Malaysia.

HURAIAN ISU UTAMA

Memorandum ini diusulkan berikutan isu tindakan tatatertib yang bakal dikenakan oleh Kolej Universiti Insaniah Alor Setar Kedah terhadap enam orang mahasiswa Kolej Univerisiti tersebut yang didapati terlibat dalam demonstrasi berhubung isu Tahfiz. Demonstrasi tersebut bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi (Asrama pelajar Tahfiz). Pembinaan di kawasan tersebut dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz. Oleh itu, mahasiswa menuntut supaya Sekolah Insan Bestari ini dipindahkan agar tidak mendatangkan masalah kepada Pelajar Tahfiz di kediaman Ar-Razi.

Berikut merupakan kronologi isu mengikut tarikh dan peristiwa.

11.1.2011: HIMPUNAN MEGA MAHASISWA INSANIAH

Himpunan Mega Mahasiswa telah diadakan di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang berjaya mengumpulkan seramai 3000 Mahasiswa. Hal ini bertujuan untuk menyatakan suara Mahasiswa KUIN berkenaan dengan masalah-masalah Kampus dan Kolej Kediaman Pelajar.

Satu memorandum telah dihantar kepada Rektor Kuin Jamil bin Osman bagi menjelaskan beberapa tuntutan Mahasiswa.

01.04.2011: DEMONSTRASI TAHFIZ

Satu demonstrasi telah dilakukan oleh yang disertai oleh Pelajar Kuliah Tahfiz KUIN, Perwakilan Pelajar, serta staff dan pensyarah Kuliah Tahfiz sendiri. Demonstrasi ini bertujuan untuk menyatakan ketidakpuashatian Mahasiswa berhubung dengan pembinaan sekolah insan bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi (Asrama pelajar Tahfiz). Mahasiswa menuntut supaya Sekolah Insan Bestari ini dipindahkan ke tempat yang lain supaya tidak mendatangkan lagi masalah kepada Pelajar Tahfiz di kediaman Ar-Razi.

03.04.2011: LAPORAN DEMO TAHFIZ DIPUTARBELIT KEPADA MB KEDAH

Satu mesyuarat telah diadakan yang dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi KUIN termasuk dekan kuliah tahfiz sendiri. Satu laporan yang telah disiapkan oleh Dr Azharuddin Sahil (dekan Kuliah Tahfiz) serta Kamaliah (P.A. Rektor). Terdapat putarbelit pada surat tersebut yang menyebabkan salah faham berlaku. Laporan ini terus dibawa oleh Jamil (Rektor KUIN) ke Menteri Besar Kedah. Pada tarikh ini juga perlucutan jawatan Timb Dekan Kuliah tahfiz juga dikeluarkan atas tindakan tatatertib kerana bersama-sama di dalam demonstrasi pada 01.04.2011.

04.04.2011: KENYATAAN MEDIA MB KEDAH

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah sendiri berhubung dengan surat yang berbaur ugutan yang dihantar oleh pensyarah kuliah tahfiz sendiri. Kenyataan MB Kedah ini adalah sebenarnya adalah berdasarkan kepada laporan yang dihantar oleh Rektor KUIN kepada beliau pada 04.04.2011.

05.04.2011: KENYATAAN MOHON MAAF DEKAN TAHFIZ

Dekan Kuliah Tahfiz telah mengeluarkan surat rasmi yang dihantar kepada MB Kedah memohon maaf diatas pemalsuan fakta di dalam laporan yang telah dihantar kepada beliau dan juga surat memohon maaf kepada staff Kuliah Tahfiz KUIN. Kenyataan memohon maaf ini juga dikeluarkan dalam media sinar pada tarikh 06.04.2011 dan pada tarikh ini juga 3 Mahasiswa daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIN telah mengeluarkan kenyataan bahawa memohon supaya Menteri Besar Kedah untuk turun padang ke Kampus KUIN sendiri agar dapat mendengar secara jelas tanpa orang tengah yang mungkin mengakibatkan lagi pemalsuan fakta.

04.05.2011 : 6 MAHASISWA DIBERI SURAT TUNJUK SEBAB

Surat tunjuk sebab telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar kepada 6 Mahasiswa yang terlibat dalam Demonstrasi 1 April serta yang mengeluarkan kenyataan di dalam media.

PENUTUP

Mahasiswa mengharapkan agar segala tuntutan yang diusulkan dalam memorandum dapat diberi perhatian serius oleh pihak yang berkenaan. Mahasiswa pernah memberi amaran kepada Pakatan Rakyat bahawa seluruh mahasiswa akan memboikot PR sekiranya PR gagal mempamerkan contoh pengamalan demokrasi seperti mana yang diinginkan oleh rakyat. Maka amaran itu kami ulangi sekali bahawa mahasiswa akan hilang percaya kepada PR seperti mana mahasiswa telah kecewa kepada Kerajaan Malaysia yang gagal menanggapi aktivisme mahasiswa dengan cara yang sepatutnya.

Sekian.

(Mohd Aiman Abd Razab)
Presiden Gerakan Mahasiswa Insaniah

Sokongan :
1. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
a. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
b. Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
c. Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN)
2. Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara
3. Legasi Mahasiswa Progresif UPSI (LMP)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...