20 Mei 2011

ETP GAGAL TINGKATKAN EKONOMI M'SIA

Guan Eng : ETP Gagal Tingkatkan Ekonomi M'sia

KUALA LUMPUR 19 MEI : Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang begitu disanjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'gagal' selepas Malaysia jatuh enam anak tangga dalam skala persaingan global tahun ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Malaysia kini berada di tangga ke 16 daripada 20 negara dalam senarai kedudukan 'Daya Saing Ekonomi' 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan daripada tangga 10 tahun lalu.

"Dengan jelas ETP bukan sahaja gagal dalam memerangi rasuah tetapi turut gagal dalam memperbaiki kebertanggungjawaban dan ketelusan, " kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah kedudukan Malaysia bertambah teruk dalam Indeks Persepsi Korupsi (CPI) oleh badan Transparency International setelah jatuh ke tangga 56, setaraf negara seperti Namibia dan Turki.

Menurut Guan Eng lagi, ETP semakin sukar dalam memacu pertumbuhan ekonomi ke sasaran 6 peratus setahun.

Malah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan kesederhanaan 4.6 peratus untuk suku pertama tahun 2011 berbanding 10.1 peratus suku pertama tahun lalu dan 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Guan Eng menegaskan pentadbiran Najib perlu menyelesaikan 3 masalah untuk membolehkan ETP memberi kesan iaitu korupsi, Migrasi Cerdik Pandai ke negara lain (Brain Drain) dan liputan jalur lebar yang lemah.

"Malaysia mempunyai perkhidmatan jalur lebar yang teruk dan kadar penetrasi rendah iaitu di bawah 50 peratus. Ditambah pula dengan lebih dua juta golongan cerdik pandai dan berbakat berhijrah ke negara lain sejak Merdeka, kejatuhan daya saing Malaysia memang dijangka," kata Guan Eng.
sumber: tvs news

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...