18 Mei 2011

Penghijrahan Rakyat Malaysia Perlukan Reformasi Jangka Masa Panjang

Ditulis oleh Nik Nazmi Nik Ahmad

SHAH ALAM 11 MEI : Laporan Ekonomi Bank Dunia tentang penghijrahan keluar rakyat Malaysia (Brain Drain) telah menarik ulasan meluas di media. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan semua pihak sewajarnya prihatin tentang masalah serius ini.

Bank Dunia menganggarkan bilangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara kira-kira satu juta orang – dan itu satu anggaran yang konservatif. Biar apa pun angka tepatnya, tren ini merisaukan apabila kita mengambilkira bahawa kira-kira satu pertiga rakyat Malaysia yang meninggalkan negara merupakan pekerja mahir, yang merupakan tiga kali lebih besar berbanding pada tahun 1990.

Isu ini dekat dengan saya memandangkan ramai rakan-rakan saya di universiti di Britain dahulu turut terangkum dalam statistik rakyat Malaysia yang meninggalkan negara. Pilihan mereka ini merupakan suatu bukti kepincangan dasar-dasar ekonomi, sosial dan politik negara selama ini. Tiada siapa dapat menafikan bahawa kita tidak dapat meneruskan keadaan ini dan memerlukan reformasi terhadap dasar-dasar negara.

Malangnya, respon kerajaan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak teramatlah mengecewakan. Model Ekonomi Baru yang digubal mengutamakan keputusan jangkamasa pendek dan mudah yang diistilahkan “low-hanging fruit” dan “quick-win”. Istilah-istilah yang diperkenalkan konsultan ini menekankan langkah-langkah populis, jangkamasa pendek tanpa mengambilkira reformasi yang lebih sukar dan jangkamasa panjang yang diperlukan bagi menyelesaikan punca-punca asas masalah ini.

Misalnya, Najib nampaknya yakin dengan penubuhan Talent Corp Malaysia Berhad dan mencadangkan cukai pendapatan mendatar 15 peratus selama lima tahun untuk rakyat Malaysia yang pulang akan menarik ramai rakyat Malaysia pulang ke negara. Ini satu kesilapan yang besar.

Masalah penghijrahan rakyat Malaysia tidak akan selesai dengan penubuhan satu lagi syarikat kerajaan. Pada masa yang sama kerajaan menghantar signal yang salah kepada rakyat Malaysia yang telah pulang ke negara secara sukarela dengan memberi faedah kepada individu-individu tertentu atau secara terang-terang cuba menarik rakyat pulang dengan pelbagai imbuhan.

Perubahan luaran begitu tidak akan menyelesaikan punca-punca mengapa rakyat Malaysia meninggalkan negara. Ketidakadilan sosial merupakan antara sebab utama dalam kajian Bank Dunia tentang mengapa rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara: seramai kira-kira 60 peratus daripada responden yang tersenarai meletakkannya antara tiga sebab utama mereka memutuskan untuk berhijrah.

Diskriminasi sama ada di dalam sektor awam mahupun swasta, serta jurang sosio-ekonomi yang melebar telah membuatkan negara kehilangan ramai bijak pandai. Continue reading ‘Penghijrahan Rakyat Malaysia Perlukan Reformasi Jangka Masa Panjang’.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...