24 Mac 2011

Pilihan raya negeri Sarawak 16 April

KUCHING, 23 Mac — Pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 akan diadakan pada 16 April, demikian ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Penamaan calon akan berlangsung pada 6 April

Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menawarkan sebanyak 71 kerusi dibubarkan kelmarin. Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah pada 20 Mei 2006.

Writ pilihan raya dikeluarkan hari ini manakala notis pilihan raya pula Jumaat ini.

Tarikh-tarikh pilihan raya diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof susulan mesyuarat khas di sini hari ini.

Untuk pilihan raya Sarawak kali ini seramai 24,379 petugas SPR akan ditugaskan membabitkan 1,749 pusat mengundi dan 2,561 saluran pengundian, kata beliau.

Setakat suku keempat 2010, seramai 979,796 pengundi telah berdaftar dengan SPR dan layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Daripada jumlah itu, 961, 433 adalah pengundi biasa manakala 18,363 pengundi pos.

Berdasarkan kedudukan semasa, Barisan Nasional (BN) Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang — DAP menguasai enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Abdul Aziz berkata SPR telah pun menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 21 Mac lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak.

“Dengan ini kita mengumumkan 23 Mac tarikh keluar writ iaitu hari ini, 25 Mac tarikh notis pilihan raya, 6 April hari penamaan calon, 16 April tarikh pengundian,” katanya.

Abdul Aziz berkata bagi pilihan raya Sarawak kali ini, seramai 24,379 pegawai SPR termasuk 71 pegawai pengurus pilihan raya (RO) akan ditugaskan di setiap kawasan pilihan raya iaitu membabitkan 1,740 pusat pengundi dan 2,561 saluran pengundi.

Beliau berkata daripada segi bajet, sebanyak RM50 juta digunakan oleh SPR untuk menampung kos logistik termasuk penggunaan dua pesawat ringan, helikopter (24), bot laju (63), perahu panjang (919) selain kenderaan pacuan empat roda (4,124).

Katanya SPR juga akan memastikan semua pusat penjumlahan undi mempunyai kemudahan perhubungan iaitu telefon talian tetap untuk memastikan proses penjumlahan undi dapat dibuat dengan lebih lancar.

“Untuk melancarkan proses pada hari mengundi, SPR juga mendapatkan bantuan pasukan polis bagi kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman untuk memastikan peti undi selamat sampai di pusat penjumlahan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR juga akan menyerahkan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil sebarang tindakan jika ada calon dan parti yang bertanding melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi dan saluran mangundi mereka melalui laman web rasmi SPR, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi terus ke pejabat SPR.

Katanya sebarang laporan rasuah yang dilaporkan kepada SPR akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut kerana mereka lebih arif dan pakar dalam bidang tersebut.

“SPRM juga diberi kuasa untuk memantau apa-apa aktiviti bagi memastikan mana-mana orang yang melanggar Akta 5 disiasat dan didakwa,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...