26 Mac 2011

Orang Islam di Sarawak boleh terima kemungkaran Taib?

Nampaknya tumpuan umum sudah terpesong kepada isu video lucah. Bahan-bahan sensasi dan kontroversi (sebenarnya hampas dan hanyir) seumpama itu, apatah lagi membabitkan personaliti hebat, memang mudah mengundang perhatian orang ramai. Masyarakat seakan-akan lupa seketika bebanan kehidupan seharian yang semakin menghimpit, juga pergolakan berterusan di Timur Tengah terutama Libya yang menjadi sasaran serangan tentera Bersekutu, selain tragedi pilu menimpa Jepun.

Menarik ulasan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali dalam twitternya: "Apa nak jadi negara kita? Orang lain sibuk nak bina semula negara yang musnah, kita sibuk nak musnahkan maruah dan kredibiliti pemimpin. Fitnah bawa punah pada semua."


Salah satu perkembangan penting politik tanahair, pilihan raya negeri Sarawak ke-10, seperti tidak begitu diperhatikan. Walhal selama ini, ramai menunggu-nunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri. Ia bukan sekadar penting buat warga Bumi Kenyalang, malah mampu mempengaruhi iklim politik nasional.

Tarikh pilihan raya umum ke-13 mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan di Kuching. Najib tentu menekuni mesej-mesej yang muncul bagi diolah untuk membentuk strategi berdepan Pakatan Rakyat. Trend pengundian di sana juga bolah menentukan tempo gerak politik seterusnya.

Bagaimanapun, tidak ramai yang berani menjangkakan BN akan tumbang, malah untuk Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga BN pun dikira agak sukar. Namun, realiti politik Malaysia selepas Mac 2008 dilihat payah diramal. Siapa sangka BN dapat ditumpaskan di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor?

Sarawak diasak dengan seribu satu isu-isu kritikal dan mendesak. Pendedahan pembolotan kekayaan Ketua Menteri, Taib Mahmud dan suku-sakatnya ketika majoriti rakyatnya masih dibelit kemiskinan tentu merimaskan Najib. Begitu juga kes rampasan tanah adat seperti dilaporkan laman sarawakreport.

Pensyarah kanan komunikasi Unimas, Dr Jeniri Amir pernah mencatatkan: "Untuk melihat kedaifan dan kemiskinan sebahagian rakyat Sarawak, kunjungi sahaja sebahagian rumah orang Melayu, Melanau dan rumah panjang Iban yang dalam keadaan begitu daif - dinding, atap dan lantai yang begitu menyedihkan. Saya pernah melihat dengan mata sendiri, masih terdapat rakyat yang papa kedana, dengan keadaan rumah yang hampir hendak menyembah bumi, dan dengan keadaan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Ironinya, mereka ini merupakan penyokong setia BN yang ditaburkan pelbagai janji menjelang setiap pilihan raya.

"Penduduk dijanjikan air, bekalan elektrik dan jalan raya berturap. Tetapi janji tinggal janji, dan rakyat tetap miskin dan menderita. Mereka tetap menghadapi kesukaran untuk makan makanan yang enak, pakaian yang mencukupi, dan seterusnya mengeluarkan keluarga daripada cengkaman kemiskinan."

Apa pun, usah pandang rendah kemampuan pengundi untuk melakukan perubahan. Ramuannya sudah tersedia. Kebencian terhadap elit penguasa -- bukan sekadar Taib -- yang turut memunggah khazanah negeri untuk diri, keluarga dan kroni meluap-luap.

Masyarakat Bumiputera Islam mungkin terkeliru dengan propaganda BN yang giat memainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Peratusan penduduk Melayu-Melanau (sekitar 29 peratus, termasuk sebilangan kecil yang beragama Kristian dan kepercayaan lama) memang rendah, khususnya berbanding kaum Dayak (sekitar 44 peratus) dan bukan Islam umumnya.

Soalnya, apakah segala kesalahan dan "jenayah" Taib terpaksa ditelan begitu sahaja demi "survival" umat Islam? Apakah elemen rasuah, kronisme, kezaliman dan salahguna kuasa regim Taib tidak dipandang serius pengundi Melayu-Melanau? Kita tidak mahu mendapat mesej yang salah sekiranya dikatakan hanya pengundi Cina bersedia mencetuskan gelombang reformasi di 15 kerusi Dun.

Pengumuman pelan persaraan Taib ketika Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin berkunjung ke Sarawak menjelang Dun dibubarkan menandakan Presiden PBB itu sudah menjadi liabiliti buat BN. Dakwaan salahlakunya yang menimbun tidak dapat disanggah lagi. Kalau dahulu mungkin Najib cuba menutup mata dan menyerahkan bulat-bulat kepada Taib tetapi situasi politik mutakhir ini tidak mengizinkannya lagi.

Pengundi sedang meneliti siapa bakal pengganti Taib atau lebih tepat, siapa yang lebih disenanginya, bagi menjamin kepentingan diri dan sanak-saudaranya nanti. Dengan tompokan aset yang luarbiasa banyaknya, Taib pasti curiga apakah SPRM tidak akan menganggunya selepas bersara. Baru-baru ini, Presiden Transparency International – Malaysia (TI-M), Paul Low menggesa SPRM segera menyiasat dakwaan rasuah terhadap Taib.

Tetapi, lebih penting, kenyataan Taib itu disambut dingin. Lebih 15 tahun lalu, pada 1996, Taib juga berjanji akan melepaskan jawatan. Kini, selepas 30 tahun berkuasa, dia dijangka akan terus berkuku. Jika BN menang besar, Taib mungkin berkuasa lagi atas alasan -- daleh biasa mana-mana penguasa yang lama mencengkam -- pengganti sesuai belum dapat ditemui.

Soalnya, seperti sering dibangkitkan, apakah majoriti pengundi dapat akses dengan sumber maklumat bebas? Saya mengharapkan telahan blogger Norizan Sharif ada kebenarannya: "Setelah berbual dengan ramai penduduk di bandar, pinggir bandar dan pedalaman (Sarawak), saya cukup yakin bahawa media sosial - sama ada blog, Facebook atau Twitter - akan memainkan peranan penting mencaturkan keputusan pilihan raya negeri. Adalah menjadi satu kesilapan yang cukup besar sekiranya ada pemimpin politik di Sarawak yang merasakan pengundi pedalaman tidak tahu apa yang disiarkan dalam internet - tak kisahlah sama ada ia benar, bohong atau separuh benar."

-minda lutfi

1 ulasan:

Amisha berkata...

Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...