15 April 2009

PELUANG LATIHAN DI ABM

Pengarah UPEN adakan lawatan ke Akademi Binaan Malaysia

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SINTOK – Kerajaan Negeri, diwakili Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, YBhg. Dato’ Haji Bashiruddin Haji Abdul Jamil telah mengadakan lawatan kerja ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, di sini.


Pegawai-pegawai daerah di seluruh Kedah dan Ketua turut diundang dalam lawatan tersebut bagi mendapat informasi kursus-kursus yang ditawarkan di ABM Wilayah Utara serta mereka dibawa melawat bengkel-bengkel yang menempatkan pelatih.

Keterangan mengenai ABM dan kursus-kursus ditawarkan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Utara, Tuan Haji Ir. Zainal Abidin Ishak.

Menurut YBhg. Dato’ Haji Bashiruddin, tujuan lawatan ini bagi mencari peluang latihan kemahiran untuk dibekalkan kepada rakyat Kedah, terutama mereka yang telah diberhentikan kerja, selain kepada belia-belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kerajaan Negeri juga berharap kerjasama ini dapat membantu rakyat yang berumur 65 tahun dan kebawah menyertai kursus di ABM, dengan tujuan membasmi kadar kemiskinan di Kedah, tambah beliau.

“ABM adalah tempat yang menyediakan latihan kemahiran binaan untuk tenaga kerja pembinaan di Malaysia, jadi kita berharap kerjasama dapat memberi manfaat kepada rakyat, seterusnya menyumbang kepada negeri.

“Objektif kita mengadakan lawatan ini bagi mengenal pasti bahawa dalam kegawatan ekonomi ini, ada tempat untuk kita belajar, terutama mereka yang diberhentikan kerja serta untuk lepasan SPM.

“Kita juga dapat mengetahui apakah kursus yang terdapat di ABM, yang pada mulanya kita tak tahu ada tempat latihan bagi membekalkan kemahiran kepada orang ramai, kita juga nak bantu orang-orang miskin yang berumur 65 tahun ke bawah datang untuk kursus di sini.

“Dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kedah, kita berharap kerjasama ini dapat beri peluang kepada anak-anak luar bandar boleh belajar kemahiran, dapat ilmu, seterusnya boleh kerja dalam bidang pembinaan dalam negeri.

“Menurut Tuan Haji Ir. Zainal Abidin, di Kedah, ABM menyasarkan sabanyak 10 000 pelajar, jadi kita harap dapat lahirkan pekerja-pekerja mahir dalam bidang pembinaan seperti pemasangan paip-paip minyak untuk projek Kedah Hidrokarbon Hub, pengendalian mesin berat, bidang elektrik, mengecat kapal dan sebagainya,” jelas beliau kepada wartawan selepas melawat bengkel-bengkel di ABM Wilayah Utara.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...