11 Julai 2011

Takut Kebangkitan Rakyat, Najib Pusing Cerita

PETALING JAYA 10 JULAI : Setelah dunia semalam menyaksikan kebangkitan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menuntut sebuah pilihan raya yang adil, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaliknya melemparkan tuduhan fitnah bahawa Ketua Pembangkang yang menjadi dalang supaya rakyat bersuara menuntut keadilan.

Malah terdesak untuk menutup tuntutan rakyat, Najib mendakwa ia adalah usaha terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan hasrat menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Najib yang juga Presiden Umno turut berkata, Anwar tergugat dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap kerajaan sehingga sanggup menganjurkan himpunan besar-besaran demi menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Walau bagaimanapun hujah Najib itu mudah dipatahkan oleh Anwar yang ditemui media selepas menghadiri Dialog Ekonomi Profesional Muda di Hotel Crsytal Crown, di sini hari ini.

" Itu memang strategi Najib dan Rosmah, mereka tidak lihat pada isu pokok, yang mereka tahu mahu salahkan saya, dan saya adalah orang yang paling awal diserang dan sudah tentu saya orang yang paling awal yang terpaksa berundur, saya sebelum pukul 3 petang terpaksa dibawa ke hospital," jelas Anwar yang ditembak polis menggunakan gas pemedih mata ketika mahu memulakan perarakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Jelas Anwar, kenyataan Najib itu jelas satu reaksi terdesak oleh seorang pemimpin yang merasakan kedudukannya terancam oleh kebangkitan rakyat.

Paling penting, perhimpunan Bersih 2.0 sudah dijelaskan dari awal lagi dianjurkan oleh 62 badan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat hanya bertindak menyokong inisiatif Bersih.

Dalam insiden semalam, Anwar mengalami kecederaan di kepala dan lutut akibat tindakan anggota polis menembak gas pemedih mata tepat ke arah muka Ketua Pembangkang itu.

Tindakan pantas daripada pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri bagaimanapun telah menyelamatkan Anwar daripada kecederaan lebih teruk.

Akibat melindungi Anwar, Fayad patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Anwar turut dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai untuk rawatan lanjut.

Tidak cukup dengan cubaan mengaitkan Anwar sebagai dalang perhimpunan, media arus perdana termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut membohongi rakyat dengan fakta dan berita tidak telus demi kepentingan pemerintah.

"Penipuan angka peserta himpunan yang dilaporkan kononnya hanya 6,000 sahaja, ramai yang sudah tahu, dan pembohongan yang lain ialah laporan tidak ada yang tercedera, saya sendiri ditembak dari jarak dekat dan pengawal saya cuba bantu yang akhirnya mukanya pecah dan kini dia di hospital untuk jalani pembedahan besar esok,"kata Anwar.

Lebih malang dari itu, seorang daripada peserta himpunan Bersih 2.0 juga meninggal dunia ketika polis mengepung laluan perhimpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut mencabar Najib membubarkan parlimen disebalik keangkuhan pemimpin kerajaan itu kononnya boleh menang mudah pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya mencabar Najib untuk sama-sama bertanding dalam satu pilihanraya yang adil, dan Najib perlu pastikan ianya dijalankan dengan adil dan bersih, jangan menipu dalam pilihan raya,"tegas Anwar.

Najib hari ini selain meremehkan kuasa rakyat, dengan penuh keyakinan berkata pihaknya akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja parti pimpinannya sudah bersedia.

Ironinya, kenyataan Najib itu umpama membuka pekung di dada bahawa gagasan itu masih belum bersedia manakala Pakatan Rakyat pula sedari awal lagi bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Samad Said: PRU-13 ada sinar harapan perubahan

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa, Datuk A. Samad Said yang dilihat sebagai “ikon baru” berkata, sudah tiba masa tampuk kepimpinan negara memperlihatkan perubahan dengan diterajui oleh kalangan rakyat dan pilihan raya umum ke-13 akan membawa sinar harapan.

“Sudah tiba waktunya, rakyat pula yang berada di tampuk kuasa,” kata beliau pada satu ceramah di Taman Melewar dekat sini malam tadi.

Kata Sasterawan Negara ini, “selagi (golongan) bangsawan yang berada di atas, sampai bila-bila saya rasa mereka tidak akan dapat merasakan apa yang dirasai oleh rakyat.”

Sehubungan itu, seniman berusia 76 tahun ini yang menjadi tumpuan ketika perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara baru-baru ini menambah, pilihan raya umum ke-13 pasti akan ada sinar harapan untuk melihat perubahan tersebut.

Samad (gambar, tengah) juga berkata sepanjang lima dekad Malaysia hanya dipimpin oleh golongan bangsawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn dan Tun Abdul Razak Hussein — kesemuanya golongan yang mempunyai harta dan pangkat.

Malaysia kini dipimpin oleh perdana menteri yang keenam iaitu Datuk Seri Najib Razak, anak kepada Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi masing-masing merupakan perdana menteri keempat dan kelima.

Dalam ceramahnya, Samad juga berkata, seorang sasterawan tidak perlu hanya menulis semata-mata tetapi mereka juga perlu bertindak.

Oleh itu jelas beliau, sebagai seorang sasterawan, mereka tidak perlu takut dengan penulisan yang dihasilkan, yang mampu bertindak ke atas sesuatu isu.

“Seorang sasterawan, tugasnya ialah mencipta dan merakamkan apa yang berlaku dalam masyarakat. Itu yang saya lakukan lebih 50 tahun. Merakam sahaja. Saya tidak berapa suka untuk merakam sahaja apa yang berlaku. Saya cemburu dengan masyarakat yang boleh bertindak dalam sesuatu perkara,” katanya.

Justeru kata Samad, apabila beliau dijemput menyertai Himpunan Bersih 2.0 secara rasmi, beliau menulis puisi yang bertajuk “Unggun Bersih”.

Samad berkata beliau ada dua lagi karya yang dihasilkan berkaitan Himpunan Bersih 2.

Samad telah membacakan sebuah puisi “Unggun Bersih” pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu di ibu negara, sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0 kelmarin, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di sebalik halangan dan sekatan ketat pihak polis.

Beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai “satu kejayaan besar” kerana dapat menarik kehadiran begitu ramai, didakwa dalam lingkungan 50,000 orang.

Polis menganggap hanya 6,000 orang hadir kelmarin.-tmi

10 Julai 2011

Bersih 2.0 mahu Suhakam siasat tindakan polis



Pemimpin Bersih 2.0 (dari kiri) Maria Chin Abdullah dan S Ambiga berbual dengan Mohamad Sabu dengan diperhatikan oleh Lim Kit Siang setelah menziarahi keluarga Baharuddin pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan mahu Suhakam mengadakan siasatan segera berhubung kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan anjuran pihaknnya di ibu negara semalam.
Beliau berkata, kejadian semalam tidak wajar berlaku dan ini merupakan masa untuk Suhakam bertindak.

“Apa yang berlaku semalam tidak patut terjadi. Saya telah pun berbincang dengan Suhakam dan mereka akan buat tindakan lanjut,” katanya selepas menziarahi mangsa yang mati akibat sesak nafas semasa himpunan Allahyarham Baharuddin Ahmad.

Ambiga turut menyifatkan Baharuddin, ahli PAS kawasan Setiawangsa sebagai seorang hero kerana mati ketika berjuang.

Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang cedera di lutut kanannya memberitahu, himpunan semalam disifatkan berjaya dengan kehadiran dalam jumlah yang besar walaupun pihak polis menutup hampir semua jalan ke ibu negara.

“Polis bertindak kasar dengan memukul, menendang sehingga ada yang terbunuh akibat sesak nafas dengan gas pemedih mata, ia menunjukkan tahap polis kita seperti di dunia ketiga,” katanya yang datang dengan berkerusi roda.

Tambah beliau, suasana huru-hara yang disaksikan semalam sudah pasti dapat dielakkan jika pihak polis memberi peluang kepada mereka untuk berjalan dan berhimpun secara aman.

“Kalau mereka bagi peluang berjalan, dua atau tiga jam dah boleh selesai. Ini juga menunjukkan pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) sangat primitif dan tidak bertamadun. Ia disaksikan oleh dunia yang mana orang ramai yang tidak bersenjata, berhimpun,” katanya.

Mengenai kecederaan pada lututnya, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berkata, kecederaan yang dialami tidak serius tetapi menyukarkannya untuk berjalan.

Katanya,”kalau saya duduk begini (di atas kerusi roda) tak sakitlah. Tapi kalau saya berjalan rasa sakit kerana legimen rosak. Untuk sembuh ambil masa sehingga dua, tiga minggu juga.”

Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil.

Laporan semalam menyebut beliau ditahan setelah berlaku pelanggaran membabitkan kereta polis semasa dalam perjalanan ke Masjid Negara.

Beliau juga menambah, pihaknya akan terus berjuang untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan menyerahkan kepada Bersih untuk langkah seterusnya. Selain beliau turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dua naib presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Naib Presiden PKR Tian Chua dan ahli jawatankuasa eksektutif DAP Ngeh Koon Ham serta Ahli Parlimen Subang R Sivarasa juga ditahan.-tmi

Samad Said: Bersih sangat berjaya, kerah 50,000 meskipun BN halang

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Pemimpin Bersih 2.0, dengan diwakili Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hari ini berkata, perhimpunan mereka “satu kejayaan besar” dengan 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak pernah melihat rakyat semua kaum bersatu kerana satu matlamat sebelum ini,” kata beliau pada sidang media petang ini.

“Pihak berkuasa nampaknya kasar sangat dan tidak profesional. Saya nampak wanita ditolak sampai jatuh,” kata beliau lagi.

Kata beliau, penyokong perhimpunan Bersih 2.0 adalah pelbagai kaum kali ini berbanding kempen pertama mereka empat tahun lalu.

Seniman berusia 76 tahun ini menyertai perhimpunan ini, yang menuntut pembaharuan pilihan raya bersih dan adil, dengan mengenakan kemeja-T berwarna kuning yang menjadi lambang Bersih 2.0.

Bercakap kepada pemberita di Hotel Midah di sini kira-kira 5 petang tadi, Samad berkata, Bersih 2.0 akan cuba menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong kemudian hari.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila.

Katanya, Bersih 2.0 tidak akan mengadakan satu lagi perhimpunan untuk menyerahkan memorandum.

Kepimpinan Bersih 2.0 mengecam polis dengan mendakwa pihak polis bertindak kasar ke atas pertubuhan madani, malah menahan ketuanya Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasa pemandunya Maria Chin Abdullah.

Ambiga merupakan salah seorang daripada lebih 1,000 ditahan hari ini.

Seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Richard Yeoh meminta penyokong-penyokong Bersih 2.0 agar mengenakan pakaian kuning setiap Sabtu bagi menandakan pendirian mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Yeoh berkata perjuangan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya belum berakhir lagi.

“Perjuangan bagi pilihan raya yang adil dan bersih akan berterusan. Bersih 2.0 bangga kerana meskipun berhadapan dengan segala (bentuk) halangan dan sekatan, kami, rakyat semua lapisan masyarakat, dipaksa berhadapan dengan tindakan menindas polis, untuk datang secara aman dan dalam jumlah yang di luar dugaan untuk menunjukkan semangat cinta kepada negara dan prinsip demi keadilan,” kata Dr Subramaniam Pillay, seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0
.

Hisham salahkan Bersih tak hormati Agong, PM

Hisham salahkan Bersih tak hormati Agong, PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengecam penganjur perhimpunan Bersih 2.0 tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan perhimpunan di lokasi terkawal, selamat dan tidak mengganggu urusan orang ramai.

Malah Hishammuddin juga mendakwa nasihat dan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga telah tidak dipatuhi dan telah ditolak secara bulat-bulat oleh mereka.

“Sehingga ke peringkat akhir kumpulan ini jelas tidak mengambil inisiatif untuk berhimpun secara aman di salah sebuah lokasi yang tetap walaupun kerajaan telah berulang kali memberi jaminan bahawa mereka boleh berhimpun di mana-mana stadium di luar ibu negara,” kata beliau dalam satu kenyataan malam ini, kira-kira tiga jam selepas ibu negara kembali tenang daripada perhimpunan kali kedua menuntut pembaharuan sistem pilihan raya adil dan bebas.

Bersih 2.0 membatalkan perhimpunan jalanan setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu dan ekoran janji Perdana Menteri bahawa perhimpunan boleh diadakan di stadium.

Justeru, Bersih 2.0 yang Hishammuddin mengisytiharkan sebagai pertubuhan haram, bertekad mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi tidak mendapat permit polis.

Dalam kenyataannya, Hishammuddin berkata, melihat kepada tindak tanduk mereka yang terlibat dalam insiden ini jelas bahawa niat dan hasrat mereka adalah untuk menghuru-harakan negara dan mengharapkan diri mereka ditahan bagi menggambarkan kekejaman pihak kerajaan.

“Kita bersyukur kerana pihak PDRM berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan daripada pihak-pihak yang jelas mempunyai pendirian yang bertentangan daripada bertembung.

“Pihak polis juga telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik walau dicabar dan menerima provokasi oleh mereka yang berdemonstrasi,” kata beliau.

Segala tindakan itu kata beliau, berjaya menghindari daripada berlakunya perbalahan, kecederaan dan sebarang kemungkinan lain yang lebih serius seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.

“Saya juga bersyukur kerana pihak berkuasa telah membuat siasatan yang rapi dan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan berjaya merampas pelbagai senjata, bom, bahan kimia dan bahan-bahan bakar yang lain sehingga pihak berkenaan tidak dapat menggunakannya di dalam perhimpunan hari ini,” katanya.

Hishammuddin menambah kebimbangannya bahawa kemungkinan ada pihak ketiga termasuk pertubuhan antarabangsa asing akhirnya tidak kelihatan dan tidak berpeluang untuk mengambill kesempatan daripada apa yang berlaku disebabkan ketegasan pihak PDRM.

Katanya, dalam insiden yang berlaku hari ini jelas bahawa kritikan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah tidak kedengaran.

Malah kata beliau, penganjur perhimpunan telah hilang peranannya dan gagal mengawal keadaan.

“Bukan lagi soal SPR yang timbul tapi sebaliknya penglibatan pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang telah menjadi lebih menonjol dengan agenda yang jauh berbeza dengan apa yang mereka umumkan sebelum ini.

“Mereka terus menerus melaungkan ‘reformasi’ dan mencetuskan kacau ganggu.

“Perhimpunan ini ternyata telah hilang arah dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab di atas kejadian-kejadian yang telah tercetus,” katanya -TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...