13 April 2015
ANGGOTA POLIS KENA RAGUT PISTOL HILANG
Pistol Hilang Anggota Polis Kena Ragut
Sibu – Misi sekumpulan anggota polis menyertai operasi bersepadu tertangguh seketika apabila seorang daripada mereka kehilangan sepucuk pistol berserta 10 peluru selepas beg sandangnya diragut lelaki tidak dikenali berhampiran sebuah hotel di Jalan Tan Sri di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Temudok, Sri Aman itu mahu ke hotel penginapan sebaik keluar makan bersama rakannya sebelum didatangi seorang lelaki berbaju hitam lalu merentap beg sandang miliknya.
Sumber berkata, sebelum kejadian, anggota terbabit bersama 11 anggota lain dalam perjalanan menyertai operasi di Kapit sebelum singgah di bandar itu untuk bermalam.
Menurutnya, kumpulan berkenaan bertolak dari Sri Aman pada jam 11.30 pagi selepas menempuh perjalanan lima jam dan sepatutnya bergerak ke Kapit menaiki bot ekspres pada keesokan hari.
“Pada malam kejadian, anggota terbabit keluar bersama rakan sebelum bergerak pulang ke hotel. Sebaik tiba di hotel, rakannya naik ke bilik terlebih dulu manakala anggota berkenaan berbual dengan isteri menerusi telefon.
“Sebaik selesai berbual, anggota itu berjalan menuju ke bilik penginapan dan ketika menaiki tangga hotel, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba merentap beg sandang miliknya sebelum melarikan diri menaiki Proton Wira biru muda,” katanya.
Katanya, selain pistol dan peluru, beg milik anggota berkenaan mengandungi waran, kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu.
“Anggota terbabit tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek, sebaliknya hanya sempat melihat lelaki itu memakai baju hitam, berambut pendek dan badan agak kecil.
“Berikutan itu, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi untuk siasatan. Polis akan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) dipasang di premis berdekatan untuk mengenal pasti suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi mengesahkan menerima laporan kes itu yang masih dalam siasatan. – myMetro Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Catat Ulasan