06 Januari 2015

ISU WANG PAMPASAN BEKAS PEGAWAI MBI, TUNTUTAN SEMULA DIKATAKAN CACAT DAN TIDAK PROFESIONAL!!!

Isu wang pampasan: Lapan bekas pegawai MBI dapatkan khidmat peguam



Faekah Husin berkata, tindakan itu diambil memandangkan isu wang pampasan itu melibatkan undang-undang.

SHAH ALAM, 6 Januari:

Kesemua lapan bekas pegawai bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan khidmat peguam berhubung surat tuntutan pemulangan keseluruhan wang pampasan yang dibayar kepada mereka.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) Faekah Husin berkata, tindakan itu diambil memandangkan isu wang pampasan itu melibatkan undang-undang.

“Secara peribadi saya menafikan pembayaran wang melalui MSS (Skim Pengasingan Bersama) dibuat secara salah dan tanpa mendapat kelulusan sebagaimana dinyatakan dalam surat itu.

“Surat tuntutan juga gagal menyatakan dengan jelas sebarang pelanggaran undang-undang dan tatacara kewangan serta salah laku yang dilakukan ketika pembayaran dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada Sabtu lepas, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali meminta kesemua lapan bekas pegawai MBI itu memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan.

Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik MBI itu dilaporkan menerima pampasan berjumlah sehingga RM2.6 juta yang disifatkan beberapa pihak termasuk ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah.

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada 23 September tahun lepas.

Faekah berkata, pembayaran dilakukan setelah persetujuan antara semua pegawai terlibat dengan pentadbiran terdahulu yang dicapai atas dasar kepercayaan dan sikap profesional semua pihak.

“Pendekatan MSS diambil bagi memberi ruang secukupnya kepada pentadbiran baharu untuk meneruskan agenda dan corak pentadbiran mereka tanpa terpaksa berhadapan dengan kumpulan warga kerja pasukan terdahulu.



“Justeru, meskipun ramai pegawai masih mempunyai baki tempoh perkhidmatan seperti dalam kontrak, pendekatan pertengahan diambil dan sejumlah potongan besar dipersetujui. Saya kesal persetujuan bersama ini dicemar serta dilanggar pentadbiran baru dan kami dengan ini mencabar persetujuan tersebut,” katanya.

Faekah turut mendakwa laporan audit yang kononnya menjadi asas tuntutan adalah satu laporan yang cacat dan tidak dilakukan secara profesional dengan menurut tatacara pengauditan yang betul, serta berniat jahat.

Beliau berkata, audit tersebut juga cacat apabila dijadikan dokumen awam tanpa mendapat penjelasan daripada pihak terlibat termasuk Abdul Khalid sendiri.

“Tindakan tidak profesional dalam memanipulasikan audit cacat tersebut telah mewujudkan prasangka dahsyat terhadap semua pihak yang terlibat membuat keputusan termasuk para penerima pampasan.


“Justeru saya mengarahkan peguam saya melihat daripada semua sudut undang-undang dan melakukan tuntutan balas tidak terbatas hanya kepada untuk mendapatkan keseluruhan jumlah sehingga tamat kontrak, ganti rugi bagi pecah janji MSS dan kerosakan penghinaan yang kami alami,” katanya.

Read more: SUMBER


Selcat bincang isu pampasan RM2.6 juta selepas MBI serah notis

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Kontroversi pampasan RM2.6 juta melibatkan lapan bekas pembantu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dibincangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) selepas menerima notis daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Ahli Jawatankuasa Selcat, Sulaiman Razak berkata, jawatankuasa itu juga membuat keputusan untuk memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Selcat bermesyuarat semalam dan membuat keputusan untuk menunggu notis dari MBI yang ketika ini memberi tempoh 14 hari bagi pemulangan semula pampasan itu.


“Bagaimanapun, tindakan akan diambil jika tiada maklum balas. Kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, lapan bekas pegawai MBI terbabit menerima surat tuntutan bagi pemulangan semula wang pampasan itu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebelum ini meminta mereka memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran itu dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan.

Ia membabitkan lebihan pembayaran kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Politik, Mustapha Mohd Talib.

Laporan audit mendapati kelulusan pembayaran pampasan sebanyak 30 peratus daripada gaji terakhir didarabkan dengan jumlah bulan berkhidmat dan persetujuan bagi melaksanakan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) tidak mengikut prosedur betul.

Mohamed Azmin turut memberi jaminan bahawa semua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah sepatutnya.



Sulaiman yang juga Adun Permatang secara peribadi berkata, tindakan terbabit wajar dilakukan jika pengurusan baharu MBI mendapati terdapat keraguan membabitkan jumlah pampasan itu.

“Apa juga tindakan yang dilakukan bekas pengurusan MBI terdahulu, saya yakin mengikut prosedur dari segi peraturan kewangan.

“Namun, peraturan pembayaran mesti mengikut formula tertentu yang mungkin menggunakan formula berbeza. Kerajaan Negeri yang baru wajar menyemak semula kerana berhak berbuat demikian,” katanya. ~Selangorkini

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...