11 Ogos 2011

MB: Selangor tunggu laporan terperinci Jais

MB: Selangor tunggu laporan terperinci Jais

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menunggu laporan lengkap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Jelas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, pihaknya telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai serbuan ke atas ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Tambah beliau, laporan terperinci itu termasuk hasil siasatan ke atas kesemua 12 individu beragama Islam, yang dilapor berada di gereja ketika serbuan.

“Kerajaan negeri Selangor telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

“Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan,” katanya.

Menurut Khalid, beliau difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan 12 individu itu yang tidak hadir membantu siasatan.

“Kami difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan daripada 12 orang tersebut kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam mereka.

“Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 orang Islam yang terlibat,” katanya menambah akan menyerahkan perkara itu kepada pakar undang-undan Jais untuk memberikan khidmat nasihat.

Semalam Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata pihaknya akan memohon perintah mahkamah ke atas 12 individu beragama Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya minggu lalu.

Beliau berkata perintah mahkamah akan dipohon dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan kesemua mereka tampil memberikan keterangan semalam.

Bagaimanapun peguam bela mewakili 10 daripada 12 individu beragama Islam, Lim Heng Seng mempertahankan tindakan anak guamnya yang tidak hadir memberi keterangan kepada Jais semalam atas alasan arahan yang dikeluarkan tidak lengkap.

Jelas beliau, anak guamnya tidak hadir memberi keterangan kerana mempersoalkan tindakan Jais yang mengarahkan mereka untuk menghadiri satu “sesi kaunseling” bukan untuk membantu siasatan.

Minggu lalu, Jais telah melakukan serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama yang dihadiri pelbagai kaum.

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Khalid, arahan yang dikeluarkan kepada semua exco supaya tidak membincangkan isu itu secara terbuka masih terpakai sehingga arahan baru dikeluarkan.

“Ini bagi memberi Jais ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan tertib dan tanpa sebarang spekulasi.

“Arahan ini tertakluk kepada exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan dan tidak melibatkan individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau parti politik. Namun begitu, kerajaan negeri beharap sebelum fakta-fakta ditentukan dengan jelas, kita tidak harus terburu-buru membuat sebarang penilaian,” katanya.

Hari ini Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Jais agar mempercepatkan siasatan dan tampil membuat penjelasan mengenai insiden itu.

Tambah Khalid, beliau berharap segala masalah yang berlaku boleh diselesaikan dengan baik selain mengetepikan kepentingan politik.

“Apa-apa perbincangan perlulah berasaskan pendekatan wajar dan objektif manakala pandangan sempit politik perlu diketepikan.

“Pendekatan sebegini adalah untuk menjaga keharmonian di antara pelbagai kaum dan agama di Selangor khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...