Gantung semua lembaga pengarah, pengurusan kanan Sime Darby
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Sebagai pemegang saham terbesar, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepatutnya bertindak menggantung jawatan kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby Berhad, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar).
"Berdasarkan prinsip akauntabiliti, kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby hendaklah berundur apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion.
"Jika mereka enggan berbuat demikian, sebagai pemegang saham terbesar dalam Sime Darby, PNB hendaklah mengambil tindakan ke arah menggantung jawatan mereka," tegas beliau.
Berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam kumpulan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.
Mengulas lanjut tentang kerugian itu, Salahuddin mempersoalkan, di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.
"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?
"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanannya?
"Sebab itulah PNB sepatutnya bertindak ke arah memecat Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby dan melantik audit luar untuk membuat penyiasatan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Salahuddin juga mempersoalkan kesan kepada sumbangan Sime Darby dalam memberikan dividen kepada pelabur-pelabur PNB.
"Bolehkah PNB mengekalkan kadar dividen yang telah diberikannya kepada pelabur-pelabur sebelum ini berikutan kerugian besar Sime Darby itu?" soal beliau.
Beliau juga menyarankan agar selepas ini Sime Darby melihat kembali kekuatannya dan membina perniagaan berteraskan kekuatan dan kepakarannya dalam sektor perladangan dan hartanah.
"Sime Darby tidak sepatutnya melibatkan diri dalam sektor tenaga, minyak dan gas atau penjualan kenderaan.
"Bidang-bidang tersebut tidak dilihat sebagai core business kumpulan itu," katanya.
Sime Darby patut mengambil Nestle sebagai contoh yang semakin berkembang maju dalam industri pemakanan di mana pada tahun 2006 sahaja ia mencatat keuntungan kira-kira US$75 bilion.
"Sepatutnya dengan kepakaran Sime Darby dalm bidang perladangan dan komoditi, ia boleh melakukan natural progression untuk maju dalam bidang industri pemakanan halal, contohnya berasaskan kelapa sawit," kata Salahuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan