20 Jun 2009

BANGUNLAH ANAK MUDAKU!!!!!

Berita Buruk Buat Pemuda Umno

Oleh HASMI bin HASHIM

Belum ada sebuah parti politik yang begini progresif dalam menentukan usia muda untuk pimpinan sayap ‘kanannya’. Keadilan muncul sebagai parti pertama yang meletakkan syarat umur di bawah 35 tahun di negara ini–berbanding misalnya dengan Umno yang tidak mempunyai syarat sedemikian.

Meskipun Umno meletakkan syarat ahli pemuda di bawah 40 tahun, tapi usia ketua pemuda Umno boleh melewati tahap umur tersebut. Amalan Umno yang sudah bersarang ini, jelas menyekat bakat muda untuk menjadi pemimpin, memegang amanah. Mudah kata, akhirnya yang memimpin anak muda, adalah orang tua… bukan di kalangan orang muda itu sendiri.
Kita lihat, bagaimana misalnya pertubuhan yang mengatasnamai generasi muda dipimpin orang-orang tua. Belia 4B dipandangan mata orang muda adalah antara pertubuhan yang paling hipokrit–menjadikan anak-anak muda hanya sebagai sumber sokongan kepada pemimpin tua, di mana pemimpin itu pula kemudiaannya menjadikan pertubuhan itu sebagai tunggangan untuk mencapai cita-cita politik sempit mereka.

Begitu juga banyak pertubuhan lain, yang diam-diam tidak lebih hanya menjadi proksi Umno di tengah-tengah ‘pasaran’ generasi muda, termasuklah pertubuhan mahasiswa yang sama sekali jauh daripada semangat kemahasiswaan dan idealisme orang muda. Paling menjelekkan apabila calon ketua pemuda Umno (yang kini menjadi ketua pemuda) memakai bola sepak sebagai sukan popular untuk mempopularkan diri–sekonyol-konyol beliau dipilih sebagai naib presiden FAM.
Apakah mutu dan pencapaian bola sepak negara meningkat? Tidak! Bahkan semakin dan semakin buruk! Apakah beliau peduli? Juga tidak! Hanya buat diam dan langsung tidak bertanggungjawab untuk, misalnya merasa malu dan melepas jawatan–disamping beliau sudah berjaya memenuhi serakah politik menduduki kerusi ketua pemuda.
Citarasa zaman dan aroma perubahan, pasti lebih mudah dapat dirasai dan dihidu oleh orang muda–ia laksana fitrah alam. Bukan oleh orang tua, di mana rata-rata sudah memasuki “zon selesa”–yang ‘pancainderanya’ juga sudah tidak sesegar anak-anak muda.
Mengungkap sejarah pra-kemerdekaan, kita pasti insaf menyaksikan bagaimana perkumpulan anak-anak muda juga menyumbang kesedaran hebat kepada masyarakat agar bangkit menentang penjajahan, sama ada di Malaysia (seperti Kesatuan Melayu Muda: KMM) mahupun di Indonesia seperti Angkatan 45.
Generasi muda ini sama-sama berjuang jauh daripada matlamat memperolehi kuasa politik untuk diri sendiri, atau mengekalkan kedudukan politik pribadi yang sementara. Mereka berjuangan tak lain hanya untuk membebaskan bangsa daripada kongkongan dan penjajahan, memerdekakan rakyat sehingga memungkinkan wujudnya keadilan.
Oleh itu, hampir mustahil, ketua yang tua-tua itu, yang masih memimpin generasi muda dapat mengenalpasti, dapat mengetahui akan angin perubahan di sekeliling mereka. Hampir mustahil, misalnya lagu Dewa atau musik independen bakal menjadi kegilaan ramai hari ini dapat terdengar dek telinga ‘dinaso’ seperti Ali Rustam yang masih tidak mahu melepaskan jawatan tertinggi Belia 4B.
Akhirnya, pertubuhan mahupun sayap parti politik itu juga berwajah tua dan melelahkan. Sedikit demi sedikit, anak-anak muda akan menjauhkan diri daripada wadah yang sebegitu. Lahirlah istilah seperti “belia baju batik” yang jadi ejek-ejek kepada pimpinan tua yang tak sedar diuntung selama ini…
Hanya dengan ketetapan undang-undang mandatori seperti yang diluluskan dalam Kongres Khas dan bakal dilaksanakan oleh Parti Keadilan ke atas sayap Angkatan Muda-nya, barulah pimpinan tua (yang menguasai sumber seperti rangkaian hubungan dan sedikit-sebanyak dana) dapat ‘disingkirkan’. Maknanya, mereka yang berusia lebih 35 tahun perlu berpencak-silat di peringkat cabang atau pusat.
Memang ada sebahagian pandangan menyatakan bahawa had umur 35 itu juga masih terlalu ‘tua’. Ada yang mahu mengurangkannya lagi menjadi di bawah 30, atau yang lebih ekstrem, di bawah 25. Saya tidak fikir perubahan yang begitu mendadak dapat dilakukan, dan paras 35 itu sangat wajar berbanding parti-parti dan pertubuhan lain yang masih menjadikan ukuran yang digunapakai oleh Umno sebagai rujukan.
Berita baik ini dan kesempatan yang dimiliki oleh anggota-anggota AMK wajar digunakan untuk cepat belajar, mempersiap diri sebagai pemimpin. “Mempersiap diri” merujuk dalam semua aspek karena kita juga tidak mahu perangai sepertimana lazimnya pimpinan tua yang memimpin anak muda sebelum itu dianggap sebagai model kepimpinan terbaik.
Anak-anak muda yang bakal memimpin AMK kelak harus sahaja mengekalkan sifat keremajaan dan kemudaan mereka–cergas, bijak, berani, jujur meskipun kadangkala naif sebagaimana lazimnya sifat anak muda.
Itu tidak mengapa. Tentunya anak-anak muda yang menganggotai AMK tidak akan dibiarkan terkapai-kapai seolah-olah terpisah dengan parti induk. AMK adalah sayap parti dan bukannya sebuah badan yang berasingan. Oleh itu, kekurangan anak-anak muda di dalam AMK wajar dianggap sebagai lumrah dan resam untuk terus bertatih dan belajar.
Impak besar kepada parti, perjuangan bahkan bangsa ini hanya akan dapat terasa dalam tempoh, barangkali sedekad selepas perubahan berani ini dilaksanakan oleh Keadilan. Kesan-kesan segera juga akan dapat dilihat menjelang pemilihan parti hujung tahun ini, sebelum kesan kedua di dalam Pilihanraya Umum kelak, inshaalah.
Ketetapan umur keanggotaan dan pimpinan di bawah 35 tahun, sangat-sangat menjadi buah pukul kepada parti pemerintah, khususnya Umno yang masa terkial-kial membuat perubahan kosmetik semata. Ini adalah berita buruk, lebih-lebih lagi kepada pemuda Umno.
Ketua Pemuda Umno sekalipun nampaknya nanti akan dikeroyok dan dikerumi oleh jutaan “laskar muda” Keadilan. Pemuda Umno-BN pada mata laskar ini hanya seperti raksaksa yang besar dan gemuk sosoknya–dan karena ia besar dan gemuk, meskipun nampak ‘menakutkan’, tetapi ia lebih berat dan payah bergerak. Kakinya akan dijerat dan diikat. Ia akan tersembam ke bumi, disentap laskar-laskar yang lebih cerdas dan lincah gerak-gerinya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...