08 Oktober 2013

GERAN RM1 BILION HANGUS TAMPA IMPAK.......

Pelaburan RM1b tiada impak?


SEPERTI disebut dalam Laporan Audit Negara 2012, selain menguruskan pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) juga menerima geran daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan program atau projek yang diluluskan kerajaan.

Dari 2009 hingga Jun 2012, Khazanah menerima sembilan geran berjumlah RM984 juta daripada kerajaan bagi beberapa projek termasuk RM200 juta untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi graduan dan RM54 juta untuk projek ternakan udang di Setiu, Terengganu.

Namun menurut Laporan Audit Negara 2012, impak pelaksanaan geran itu tidak ditetapkan Khazanah, sekali gus menyukarkan penilaian prestasi dan keberkesanan geran tersebut.

"Sebagai contoh, pemberian geran KKU-Nursing adalah bagi mewujudkan pusat latihan jururawat tidak bermotifkan keuntungan di Koridor Utara. Bagaimanapun, tiada penetapan impak seperti sejauh mana pusat latihan ini sepatutnya memberi manfaat kepada industri penjagaan kesihatan di Malaysia," menurut laporan itu.

Khazanah dalam jawapan kepada Jabatan Audit Negara berkata, semua geran diberikan kepada Khazanah dengan mandat dan objektif tertentu.

"Khazanah mengambil maklum atas syor Audit dan bersedia menjalankan perbincangan dan penilaian impak selepas pelaksanaan geran, jika diminta oleh Kementerian Kewangan," menurut Khazanah.

Kos operasi penerima geran terlalu tinggi

Hasil siasatan Jabatan Audit Negara juga menunjukkan ada syarikat penerima geran Khazanah yang membelanjakan sehingga 50 dan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk membayar gaji, elaun, sewa pejabat, yuran audit dan lain-lain berbanding berbelanja untuk melaksanakan program yang ditetapkan.

Antara contoh diberikan Jabatan Audit Negara adalah Pintar Foundation, yang ditugaskan membantu sekolah berprestasi rendah telah membelanjakan RM440,498 untuk mengubah suai ruang pejabat di Tower A, Menara UOA Bangsar.

"Semakan lanjut terhadap butiran perbelanjaan pentadbiran mendapati jenis perbelanjaan lain yang dilibatkan adalah pembayaran gaji dan elaun, yuran profesional, perjalanan dalam dan luar negeri serta belanja am pejabat.

"Peratus perbelanjaan pentadbiran terlalu tinggi boleh memberi kesan kepada pelaksanaan program utama geran," menurut laporan itu.

Khazanah dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara bagaimanapun memberi jaminan operasi dan belanjawan Pintar dipantau melalui laporan kewangan bulanan kepada Khazanah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...