05 Januari 2012

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN ANJUR KRUSUS POLITIK

KBS ‘cuci’ minda anak muda

Program Penggerak Muda bertujuan mendoktrinasi generasi muda dan meracuni pemikiran mereka supaya membenci PAS, PKR dan DAP.



SEREMBAN: Jika Program Penggerak Muda anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) dijadikan rujukan, maka bolehlah dirumuskan bahawa jabatan tersebut di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menjadi salah sebuah komponen Barisan Nasional (BN) atau mungkin lebih tepat ahli bersekutu Umno.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek membuat pendedahan ini kepada FMT selepas beberapa anak muda Melayu sekitar Seremban yang menghadiri program tersebut membuat aduan kepada beliau kerana tidak puas hati dengan pengisian program tersebut.
Program tersebut berlangsung di A’Famosa Resort, Melaka pada 27 dan 28 Disember 2011 dan seterusnya di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada 29 Disember 2011.

“Beberapa hari yang lepas saya didatangi beberapa pemuda dan mengadu kepada saya bahawa program tersebut sebenarnya adalah sebuah program mendoktrin generasi muda dan diadakan bertujuan untuk meracuni pemikiran anak muda untuk membenci PAS, PKR dan DAP.“Saya juga diberitahu oleh pemuda-pemuda ini bahawa dalam salah sebuah sesi penerangan yang bertajuk ‘Senario Politik Semasa
Setempat’, penceramah tersebut dalam usaha untuk cuba menegakkan benang yang basah, menghina Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat”, ulas Mohamad Rafie yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban.

Penceramah terbabit dikatakan berkata: “Nik Aziz cakap orang bukan Islam boleh guna perkataan ALLAH tapi jangan salah guna. Senang sahaja lepas ni jumpa Nik Aziz bagi tahu dia, “Tok Guru saya nak pinjam anak dara Tok Guru semalam sahaja, Insya Allah saya tak salah guna”.
“Ini satu penghinaan yang melampau yang merentasi adat susila Melayu dan hukum Islam. Malah saya yakin mana-mana bangsa dan agama di dalam dunia tidak membenarkan penganutnya melafazkan kata-kata lucah seperti ini,” jelas Mohamad Rafie.


Saya dimaklumkan program selama tiga hari itu langsung tidak ada kena mengena dengan tajuk atau nama program itu. Sebaliknya ianya program berunsur mendoktrin peserta.“Persoalannya sejak bila JBSNS di bawah KBS menjadi tukang kempen dan mencuci otak dan minda anak muda untuk menyokong kerajaan BN? Saya mempunyai beberapa bukti bahawa program ini telah disalah guna untuk kepentingan parti pemerintah.

“Anda boleh baca sendiri kandungan di dalam buku program yang jelas menunjukkan KBS ini bekerja seolah-olah untuk Umno-BN.“Saya minta Menteri KBS, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menjelaskan isu yang saya anggap amat besar kerana ia membabitkan wang rakyat yang digunakan untuk agenda politik Umno-BN.“Saya juga dimaklumkan pada hari pertama dan pada sesi pertama program dimulakan, penceramah tersebut bertanya adakah mana- mana peserta yang berbangsa Cina dan India. Didapati peserta dalam lingkungan seratus orang itu seratus peratus adalah Melayu.
Apatah lagi difahamkan antara pengisian program ini juga ada unsur seperti memecah belahkan orang Melayu dengan Cina dan India.“Kenapa program ini diadakan untuk anak muda Melayu sahaja. Kenapa tidak dibuka kepada anak muda Cina dan India? Apa agenda sebenar KBS dalam penganjuran program ini?,” tanya Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie mendesak Ahmad Shabery menjelaskan berapakah kos penganjuran setiap siri program ini yang mana program yang dihadiri oleh pemuda-pemuda ini adalah siri yang kedua.
“Saya percaya program sedemikian mungkin juga diadakan di negeri-negeri lain. Berapa banyak lagi siri program ini akan diadakan untuk pemuda-pemudi Negeri Sembilan?
“Tidak mungkin Ahmad Shabery tidak tahu pengisian program ini adalah untuk mendoktrin anak muda agar menyokong kerajaan Umno- BN. Ahmad Shabery harus bertanggungjawab untuk menjawab semua persoalan ini.

“Seharusnya dana kementerian digunakan untuk pengisian program membina jati diri generasi muda menjadi produktif, berdisiplin, menggerakkan ekonomi dan membentuk keperibadian sahsiah yang baik”, kata Mohamad Rafie.Cerita politik, fitnah memfitnah, Sementara itu dalam pertemuan dengan FMT, Mohamad Rafie memperkenalkan salah seorang pemuda yang menyertai program tersebut.
Enggan nama beliau dicatat dan imej beliau dirakam, pemuda tersebut berkata beliau menyertai program itu dengan harapan mungkin akan ditawarkan program atau peluang berniaga atas program khidmat nasihat untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan atau sekurang -kurangnya program motivasi untuk mempertingkat kerjaya atau menambah sumber pendapatan.

“Malangnya apa yang disajikan ialah cerita politik dan fitnah menfitnah dengan memburukkan pemimpin Pakatan Rakyat.“Penceramah juga meminta kami harus pastikan Umno-BN kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum akan datang,” kata pemuda itu lagi.

Mohamad Rafie juga menunjukkan buku program kepada FMT dan meminta FMT menyiarkan tiga perenggan dalam buku program itu yang menurut Mohamad Rafie terang-terang membuktikan KBS sudah menjadi alat Umno-BN.Menurut beliau, kandungan ulasan dalam buku program itu, di antara lain menyebut:

Berasaskan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12), satu analisa terhadap sokongan generasi muda terhadap kerajaan telah menunjukkan tanda aras penurunan yang ketara iaitu sebanyak 36% berbanding dengan PRU 11 pada 2004.

Sehubungan dengan itu, KBS telah mengambil tindakan proaktif, iaitu dengan merangka strategi-strategi mendekati generasi muda secara terus di peringkat akar umbi dalam usaha mengenalpasti kehendak dan keperluan serta trend dan pola sokongan pengundi muda dalam usaha mencapai matlamat kelangsungan kerajaan.

Penglibatan ini dijayakan melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Manik Urai (Kelantan), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Sibu (Sarawak), Batu Sapi (Sabah) dan Galas (Kelantan).-FMT

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...