01 Januari 2012

Tragedi Berdarah UPSI : Polis Akhirnya ‘Mengaku’ Bersalah


Tanjong Malim. 1 Jan : Polis Perak hari ini akhirnya mengaku telah memukul beberapa aktivis mahasiswa dalam kejadian ketika demonstrasi awal pagi tadi dengan alasan perkara sedemikian tidak dapat dielakkan.

Anggota polis telah menyerbu lokasi demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim apabila mahasiswa melakukan demonstrasi aman menuntut kes Adam Adli digugurkan pihak universiti.

“Sewaktu insiden tersebut, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Perkara ini tidak dirancang, dan semasa kejadian itu keadaan mungkin berada di luar kawalan.” menurut pegawai penyiasat yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli dipetik The Malaysia Insider.

“Ini isu lama, masyarakat selalu cuba menjadikannya isu, sama seperti perhimpunan Bersih 9 Julai lalu,” katanya merujuk kepada perhimpunan Bersih yang menuntut pilihan raya yang bersih.
Awal pagi tadi, aktivis mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik mendakwa telah dipukul dan ditahan polis berikutan ingkar arahan bersurai daripada pihak berkuasa.Dapat liputan meluas

Lanjutan daripada insiden berkenaan, 17 siswa ditahan dan Muhammad Safwan Anang, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) telah dikejarkan ke hospital Slim River dan kini dikatakan masih dalam keadaan lemah tetapi sudah boleh berbicara dan melontarkan senyuman.
Beberapa ahli keluarganya termasuk keluarga isterinya, Masturah Abu Bakar turut berada di hospital ketika ini.Diberitakan beberapa giginya juga patah dan mulutnya berdarah serta mempunyai sedikit masalah di bahagian pernafasan.

Berita keganasan anggota polis dalam insiden awal pagi tadi itu mula mendapat liputan meluas di media sosial termasuk Twitter dan Facebook yang mengecam tindakan anggota polis menggunakan keganasan terhadap mahasiswa berkenaan.Kesemua mahasiswa yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis kira-kira 4 petang tadi.Fazli walaubagaimanapun tidak pasti tindakan selanjutnya yang akan dikenakan terhadap mahasiswa terbabit.“Biar pihak atasan yang tentukan selepas keterangan mereka diambil.”

JUHAM mahu saman polis

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) hari ini berkata, tidakan tersebut jelas tindakan yang zalim, tidak munasabah dan bertentangan dengan norma-norma hak asasi manusia.“JUHAM yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah,” kata pengarahnya Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

“Malah, JUHAM bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa ini sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu JUHAM kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.”
Justeru, dalam kenyataannya hari ni, JUHAM menyeru saksi kejadian tampil dan menghubungi JUHAM bagi membantu pihaknya mengumpulkan bukti “keganasan” polis dalam perhimpunan tersebut.
Katanya, lima peguam JUHAM termasuk dirinya sendiri kini sudah berkampung di balai polis Tanjung Malim sejak awal pagi bagi menunjukkan sokongan dan kesediaan mewakili mahasiswa sekiranya polis mahu mendapatkan reman untuk terus menahan.

Jawatankuasa itu juga menyifatkan tindakan polis malam tadi sebagai pilih kasih dan tidak seperti layanan yang diterima oleh Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) yang berhimpun pada 21 Disember lalu. - GZDaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...