11 April 2015

KWSP CADANG KELUAR CARUMAN UMUR 60 TAHUN, ANDA SETUJU?

KWSP timbang selaras umur pengeluaran


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.

Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.


"Secara kasarnya kira-kira 70 peratus orang yang mengeluarkan simpanan persaraan mereka sepenuhnya akan pada dasarnya menghabiskan wang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Orang Malaysia kini membuat pengeluaran pertama (pada usia 55 tahun) sebelum bersara penuh (pada usia 60 tahun), dan kami sedang mengkaji isu ini bagi maklum balas dasar yang tepat," kata Shahril pada taklimat media di sini, hari ini, sempena dengan pengeluaran Laporan Tahunan 2014 KWSP.

Beliau berkata, walaupun KWSP mencadangkan jumlah sekurang-kurangnya RM196,800 selepas persaraan, perangkaan menunjukkan hanya 22 peratus penyumbang aktif berusia 54 tahun memenuhi minimum ini tahun lepas.

Malahan lebih membimbangkan, 68 peratus daripada ahli KWSP pada usia yang sama memiliki kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, katanya.

Maklumat daripada laporan KWSP menunjukkan simpanan asas ditetapkan pada RM196,800 bagi memberikan pendapatan bulanan RM820 untuk tempoh 20 tahun sehingga usia 75 tahun.

Ia juga menyatakan berdasarkan usia persaraan bagi rakyat Malaysia iaitu 60 tahun, dan jangka hayat 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita, jumlah simpanan (RM196,800) akan memerlukan seorang pesara untuk terus hidup pada hanya RM700 sebulan sepanjang hayatnya.

Ini malahan kurang daripada had kemiskinan iaitu RM830 sebulan pada 2012 seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Perangkaan.

"Adalah penting untuk mula merancang persaraan seawal mungkin kerana memupuk tabiat menabung memerlukan disiplin dan masa yang mencukupi," demikian menurut laporan itu.

Perancangan yang baik memastikan gaya hidup yang dihajati dapat dicapai selepas persaraan disokong oleh pendapatan yang mencukupi, tetapi ketika ini satu-satunya bentuk simpanan utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah jumlah yang mereka simpan dalam KWSP.

KWSP berkata ia merancang satu projek perintis yang bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan asas dan perancangan persaraan dengan menawarkan khidmat nasihat persaraan di dua cawangannya di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. - Bernama

MALAYSIA BILA LAGI? SINGAPURA & INDONESIA LARANG KEDAI SERBANIKA JUAL ARAK DAN MINUM DILOKASI TERTUTUP

Selepas Singapura, Indonesia Larang Kedai Jual Arak



JAKARTA – Ketika kedai serbaneka di Malaysia bebas menjual minuman keras tanpa had, pemerintah Indonesia bertegas tetap tidak akan membenarkan penjualan minuman beralkohol di semua pasar mini dan kedai runcit berkuat kuasa 16 April.

Langkah keras itu disahkan Menteri Perdagangan, Rachmar Gobel dan menjelaskan larangan tersebut termaktub di bawah Peraturan Menteri No. 06/M-DAG/PER/1/2015 mengenai Perniagaan Minuman Beralkohol meliputi seluruh Indonesia.

“Tarikh 16 April nanti akan diterapkan, tiada yang diubah aturannya,” tegasnya ketika ditemui pemberita di kawasan pergudangan Cibitung, Jawa Barat pada Khamis malah, pemerintah daerah boleh mengambil tindakan kepada peniaga ingkar.

Pada dasarnya ujar Rachmat, rasional tujuan larangan penjualan minuman keras di premis kecil sudah jelas kerana lokasi kedai terbabit biasanya berada di tengah pemukiman, dekat pula dengan sekolah dan rumah ibadah dalam kawasan padat penduduk.

“Itukan memudahkan anak-anak muda untuk beli dan minum,” katanya sambil menambah, sebenarnya sebelum diputuskan untuk mula diterapkan pada 16 April, peraturan itu sendiri sudah mulai dihebahkan kepada awam sejak 16 Januari lalu.

Gambar hiasan

Kementerian Perdagangan setakat ini telah memaklumkan isu tersebut kepada semua pengusaha arak, manakala penjualan cuma dibolehkan di pasar raya atau hypermarket,namun pembeli perlu minum di lokasi tertutup bukan di jalanan.

Ketegasan Rachmat menerima pujian masyarakat yang bimbang dengan gejala remaja bebas minum arak selepas habis waktu persekolahan sehingga mencetuskan masalah sosial seperti seks rambang, tingkah laku vandalisme dan pergaduhan geng samseng.

Beliau bahkan tidak mengendahkan amaran pesatuan peniaga dan pengilang arak tempatan yang mendakwa, langkah pemeritah itu menyebabkan Indonesia kehilangan kutipan hasil cukai arak sebanyak 7 triliun rupiah (RM1,974,826,425) setahun.

Sebelum ini Singapura pada 1 April lalu menguatkuasakan undang-undang baharu mengenai peminuman arak di tempat awam hanya dari pukul 10.30 malam sehingga 7 pagi setiap hari manakala pembelian cuma dibenarkan sebelum 10.30 malam.

Minuman keras yang dibeli sebelum waktu itu hendaklah dibawa pulang dan tidak boleh diminum secara terbuka di jalanan bagi mengelakkan kes insiden mabuk dalam kalangan orang awam, sekali gus menjejaskan ketenteraman penduduk.

Akhir 2013 lalu, Singapura gempar dengan rusuhan terburuk pekerja dari rantau Asia Selatan di kawasan Little India akibat sekumpulan lelaki terbabit mabuk dan mencetuskan suasana kacau bilau selain memusnahkan harta awam. – Agensi/A.AMREE

10 April 2015

MP BN NAK TUNJUK PANDAI TAPI KANTOI DAN MEMALUKAN

Kenyataan Bung Mokhtar didakwa jejaskan nama baik Proton - Sumber


Bung Mokhtar Radin

Datuk Bung Mokktar Radin didakwa tersilap memberi fakta mengenai kenyataan kononnya Proton Holdings Berhad (Proton) tidak mahu menaja kereta untuk digunakan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan ini.

Sumber yang mengetahui perkara tersebut memberitahu MalaysiaGazette, kenyataan Bung Mokhtar adalah tidak tepat dan salah sama sekali.

Malah, dakwanya, kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangaan itu telah menjejaskan nama baik Proton.

"Beliau tidak tahu fakta sebenar mengenai isu tajaan itu tetapi membuat kenyataan.

"Sangat mustahil Proton tidak mahu memberi kerjasama dalam bentuk tajaan dengan kerajaan, apatah lagi dalam majlis besar seperti itu.

"Apa pun kenyataan beliau (Bung Mokhtar) telah mencalar nama baik Proton," katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, difahamkaan DRB-HICOM yang merupakan pemilik Proton terkejut dengan kenyataan Bung Mokhtar.

Semalam Bung Mokhtar memberitahu, kerajaan menggunakan enam buah kereta mewah BMW 5 siri dan 7 siri untuk Sidang Kemuncak ASEAN kerana Proton tidak mahu menaja. 


Kereta itu bakal digunakan oleh pemimpin dan delegasi kehormat ASEAN yang hadir pada sidang kemuncak itu yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 24 dan 28 April ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut Bung Mokhtar telah menafikan kereta nasional tidak selesa maka terpaksa menggunakan BMW.

Isu tersebut berbangkit apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli yang mendesak kerajaan dan BMW memberi penjelasan berhubung kewujudan kereta itu tanpa nombor pendaftaran tetapi menggunakan jata negara. - MalaysiaGazette

BEBAN GST, CUEPACS MINTA GAJI MINIMUM RM1,200

Pautan kekal imej terbenam
GST beban penjawat awam, Cuepacs saran gaji minimum RM1,200

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda menggesa Putrajaya menangani isu kenaikan harga yang mendadak sejak GST dilaksanakan. 

Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membebankan penjawat awam selepas harga barang naik mendadak sejak ia mula dilaksanakan 1 April lalu.

Secara keseluruhannya, hampir semua barang keperluan barang naik ekoran peniaga yang didakwa mengambil kesempatan selepas pelaksanaan cukai tersebut, kata Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.

"Semua selepas pelaksanaan GST, berlaku kenaikan kos, dan ini termasuk sebatang jarum, termasuk segelas air. Mereka ambil cukai kenakan GST. Nak masuk kolam renang di hotel pun kena GST.

"Cuepacs melihat apa yang berlaku ini bukan sahaja kerana kesan pelaksanaan GST, tapi bagaimana kumpulan tertentu mengambil kesempatan. Barang yang tidak kena GST pun dikenakan GST.

"Apa yang kami minta, kerajaan mesti serius membantu kumpulan sasar ini dan pastikan mereka yang ambil kesempatan ini didakwa, diambil tindakan, supaya rakyat tidak merasa terbeban," katanya.

Azih berkata penjawat awam yang rata-rata berpendapatan rendah sudah pasti terbeban dengan tempias daripada kenaikan tersebut dan menggesa supaya Putrajaya menangani isu itu supaya rakyat tidak tertekan.

Katanya, hari ini, sedikit sebanyak rakyat merasa terbeban.

"Harga susu naik. Di luar bandar, kedai runcit menaikkan harga susu sehingga 20 sen, menaikkan harga gas RM3, menaikkan harga teh tarik 20 sen, menaikkan harga barang runcit, semua naik.

"Jadi, kita lihat semacam ada agenda lain yang mengambil peluang pelaksanaan GST ini untuk memberi satu tekanan kepada rakyat. Penjawat awam juga rakyat, dan kesan pengguna juga dirasai kami golongan yang berpendapatan rendah ini.

"Kita tidak salahkan dasar, cuma pelaksanaan itu harus dilihat secara lebih komprehensif, memastikan tidak ada agenda lain dalam pelaksanaan dasar ini untuk memberi tekanan kepada rakyat," katanya.

Beliau juga memberitahu, banyak rungutan daripada penjawat awam diterimanya susulan pelaksanaan cukai baru tersebut.

Dalam mengatasi keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, Azih mencadangkan kerajaan melihat semula memperkenalkan gaji minimum dalam sektor awam bagi memastikan penjawat awam terbela.

"Sampai masanya di bawah transformasi kerajaan untuk melonjak kepada negara berpendapatan tinggi, kita nak kerajaan memperkenalkan gaji minimum dalam sektor awam di mana ia hendaklah bermula daripada RM1,200 atau berada atas garis kemiskinan.

"Walaupun hari ini hidup di bandar raya Kuala Lumpur, gaji RM3,000 ke bawah dianggap miskin, susah. Tetapi kalau siling ditetapkan pada RM1,200, adalah ruang untuk pekerja kita bernafas, merasakan nasib mereka terbela," kata Azih.

Beliau juga menyentuh mengenai isu perumahan untuk penjawat awam, menyifatkan dengan kadar gaji yang masih rendah, mustahil mereka mampu memiliki sebuah rumah sendiri.

Pada Rabu, kerajaan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 100,000 rumah akan dibina di seluruh negara dalam lingkungan harga antara RM150,000 ke RM350,000.

"Persoalannya, adakah pembantu am yang gaji RM820 boleh beli rumah ini?" soalnya.

Azih berkata, kerana itulah, Cuepacs mahu dilihat semula dasar yang sedia ada.

"Walaupun ada rancangan projek ini, tetapi dengan gaji RM820 pasti tidak dapat beli rumah harga RM300,000 ini.

"Kalau boleh beli, bererti mereka tidak boleh makan di rumah, minum air suam sahaja. Kalau dengan keadaan sekarang tidak boleh, apa lagi nak beli rumah yang dilancar oleh perdana menteri itu," katanya.

Sebelum ini, Cuepacs juga menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30% bagi menghadapi GST.

Kerajaan juga akan mengkaji impak GST terhadap penjawat awam termasuk dari segi gaji dan elaun bermula Julai depan.

Pada 1 April, GST mula dilaksanakan dengan tujuan menambah hasil pendapatan kerajaan, tetapi ditentang pembangkang kerana sistem percukaian itu dilihat membebankan rakyat. ~ TMI

09 April 2015

CAJ PERKHIDMATAN DI HOTEL & RESTORAN WAJAR DIHAPUSKAN

Caj Perkhidmatan Di Hotel, Restoran Tidak Wajar


PUTRAJAYA – Caj perkhidmatan yang diamalkan kebanyakan restoran dan hotel di negara ini bagi menggantikan konsep memberi tip, dilihat tidak lagi relevan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad.

Katanya, caj perkhidmatan bukan sesuatu yang wajib dikenakan pengusaha hotel dan restoran dengan mengambil contoh Carlton Holiday Hotel, Shah Alam yang tidak mengenakan caj berkenaan kepada pelanggan mereka.

Alias berkata, kutipan caj perkhidmatan itu juga berkemungkinan tidak disalurkan kepada pekerja.

“Tidak semua pengendali restoran dan hotel yang mengenakan caj perkhidmatan mengamalkan konsep sama seperti ‘tipping’ dengan memberi wang yang dikutip itu kepada pekerja mereka…ini salah,” katanya dalam sidang media berkenaan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Antipencatutan) di sini, hari ini.

Beliau berkata caj perkhidmatan juga tidak wajar dikenakan memandangkan dasar gaji minimum telah dilaksanakan sejak Januari tahun lepas.

Alias berkata, kerajaan dalam proses mengeluarkan polisi baharu berkaitan caj perkhidmatan berkenaan dan peniaga harus mempamerkan notis perjanjian bersama di premis mereka berkenaan caj yang dikenakan.

Katanya negara maju seperti Amerika Syarikat, Mexico dan Emiriah Arab Bersatu, tidak lagi mengamalkan konsep ‘tipping’ di negara mereka.

“Banyak negara telah berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, tujuh kesalahan membabitkan aktiviti pencatutan, tidak meletakkan tanda harga dan tanda harga mengelirukan dikesan hasil pemeriksaan ke atas 98 restoran dan 37 hotel.

“Notis telah dikeluarkan kepada mereka dan tempoh tujuh hari diberikan untuk mereka menjawab notis tersebut sebelum siasatan dilakukan,” katanya.

Alias berkata sepanjang seminggu pelaksanaan GST, sejumlah 320 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga atau caj perkhidmatan yang tidak munasabah di pasaran. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...