04 November 2014

POLIS SELANGOR RAMPAS 5,000 MESIN JUDI HARAM BERNILAI RM10 JUTA!!!...KALAU BUAT KERJA INI HASILNYA?



POLIS SELANGOR RAMPAS 5,000 MESIN JUDI HARAM BERNILAI RM10 JUTA

PETALING JAYA, 4 Nov - Intipan selama sebulan Polis Selangor berjaya membuahkan hasil apabila merampas 5,000 mesin judi komputer bernilai RM10 juta dalam serbuan di sebuah gudang menyimpan barang di Jalan PJU 1A/14 Taman Perindustrian Jaya, Ara Damansara dekat sini, hari ini.

Enam lelaki, termasuk penjaga premis, berusia lingkungan 40 dan 60 tahun
terdiri daripada dua rakyat tempatan dan empat warga India turut ditahan dalam
serbuan pada kira-kira 2 petang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata ia merupakan serbuan terbesar sepanjang tahun dengan nilai rampasan yang banyak.

"Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki sedang memunggah komputer
dipercayai mesin judi dan mereka kelihatan keluar masuk premis. Hasil serbuan,
mesin judi berkomputer termasuk CPU ditemui di dalam gudang berkenaan.

"Seorang daripada lelaki tempatan itu yang ditahan adalah penjaga premis
manakala yang lain merupakan pekerja," katanya kepada pemberita selepas
melakukan serbuan berkenaan.

Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti status
premis berkenaan sama ada ia digunakan untuk memasang perisian judi sebelum
dihantar ke premis judi di sekitar Lembah Klang atau sebagai stor simpanan.

"Kita akan jalankan siasatan terperinci... siasatan awal mendapati setiap
mesin berkenaan bernilai sekurang-kurangnya RM2,000," katanya.

Beliau berkata operasi seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan
objektif 'sifar premis perjudian' dapat dicapai di Selangor. - BERNAMA

BUNG BUAT-BUAT MALU ATAU SINDIR TUN M.......


Bung malu Proton ‘ciplak’ produk Jepun

Beliau turut mencadangkan ada baiknya pihak kerajaan menggunakan Honda Accord dan bukannya kereta 'tiruan' Honda Accord.



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempersoalkan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengapakah syarikat pembuat kereta nasional Proton masih gagal untuk mencipta sebuah kenderaan seratus peratus buatan Malaysia.

Menurutnya, setelah hampir 30 tahun Proton beroperasi, sehingga kini asyik ‘menciplak’ barangan dan produk luar negara.

“Dulu kita ‘ciplak’ enjin dari Mitsubishi, dan untuk Proton Perdana ‘ciplak’ pula dari Honda Accord. Apakah kita tidak ada perancangan untuk mencipta kereta buatan Malaysia sendiri,” katanya dalam soalan tambahan kepada Mustapa.

Jelasnya, bukan hanya rakyat, beliau sendiri turut malu dengan kenyataan bahawa syarikat automobil negara tersebut masih meniru hasil kerja luar.

“Saya cadangkan supaya pihak kerajaan terus menggunakan Honda Accord dan bukannya kereta ‘tiruan’ Honda Accord,” katanya.

Jelasnya lagi, adakah rakyat di negara ini ketandusan idea, dan dengan teknologi yang ada, adakah kita tidak mampu untuk membangunkan industri kereta di Malaysia.

“Jika berterusan begini, nampaknya Proton tidak mempunyai masa depan,” katanya.

Kata Bung kepada Mustapa, sebagai seorang menteri, tentunya malu mempunyai sebuah kereta jenama Malaysia tetapi tidak bermutu tinggi hanya dengan mengubah 19 barangan di dalam kereta tersebut.


“Kenapa kita tidak mencipta badan dan enjin sendiri. Jangan hanya badan dari Malaysia tetapi rohnya dari negara Jepun,” kata beliau lagi.

Bagi menjawab persoalan Bung itu, Mustapa tidak menafikan bahawa sebahagian komponen kereta Proton Perdana itu diambil di Jepun manakala, 33 peratus komponen tersebut adalah buatan dari Malaysia.

“Iriz umpamanya adalah kereta asli buatan Malaysia. Iriz adalah sebuah kereta yang mana enjnnya 90 peratus buatan Malaysia.

“Tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai kereta buatan Malaysia,” katanya lagi. ~FMT

PENIAGA BESI DISEMBELIH KERANA PERSAINGAN PERNIAGAAN!!!



Disembelih selepas tegur

SUBANG JAYA – Hanya kerana menegur pesaing perniagaannya dengan panggilan ‘hey cameraman’ seorang peniaga barang lusuh maut disembelih berhampiran sebuah kedai di Taman Pinggiran USJ, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 6.30 petang, rakan mangsa pula menerima 27 jahitan selepas berlaku pertengkaran disusuli pergaduhan di lokasi kejadian.

Pertengkaran dipercayai berlaku susulan mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan suspek melaporkan aktiviti perniagaannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perselisihan faham antara suspek berusia 55 tahun dan mangsa dipercayai sudah lama berlaku kerana persaingan berikutan kedua-duanya menjalankan perniagaan sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya maut akibat ditetak dan cedera parah.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan mengatakan adiknya berusia 38 tahun yang menjalankan perniagaan besi buruk sebelum itu diserang seorang lelaki di depan sebuah pasar mini di Jalan Mutiara Subang 1.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.25 malam kelmarin ketika menerima rawatan kecemasan di hospital.

Yahaya berkata, menurut rakan mangsa, ketika kejadian, dia, seorang kawan dan si mati sedang minum di kedai berdekatan sebelum ternampak kelibat suspek menunggang motosikal berdekatan lokasi.

Mangsa, menegur suspek menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

“Semasa bertengkar, suspek melibas si mati dengan pisau di bahagian leher. Rakannya cuba membantu tetapi turut ditoreh dengan pisau di bahagian muka.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera di bahagian leher dari anak tekak hingga ke bahagian belakang tengkuk manakala rakannya pula cedera di dahi kanan, hidung dan bibir,” katanya.

Menurut Yahaya, hanya kesan darah dan serpihan mata pisau pemotong kertas ditemui di lokasi kejadian.

Polis sebelum itu menerima laporan awal daripada suspek yang mengatakan dia diserang tiga lelaki dan cuba dicederakan dengan pisau namun berjaya mengelak.

“Suspek diburu untuk bantu siasatan berhubung kes ini,” katanya.

RUMAH MAMPU MILIK (PR1MA) - PUSAT DIGESA HENTI DOLAK DALIH



Pusat digesa henti dolak dalih, jelaskan pembinaan rumah PR1MA di Pulau Pinang



 Pulau Pinang hari ini menuntut kerajaan BN berterus terang dan tidak berdolak dalik berhubung pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri itu.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo berkata, penjelasan wajib diberikan berikutan Kerajaan Persekutuan sendiri telah berjanji untuk membinanya di dua kawasan di negeri ini pada 26 Oktober lalu.

Menurut Jagdeep, kerajaan mengumumkan pembinaan rumah PR1MA di Bukit Gelugor (2,100 unit) dan Balik Pulau (9,564 unit) di Pulau Pinang.

“Kami ingin tahu apakah kerajaan benar-benar akan meneruskan perumahan mampu milik PR1MA, kerana segala janji-janji yang dibuat kepada rakyat harus dihormati.

“Kami juga menggesa kerajaan agar memberi maklum balas secara rasmi, supaya projek tersebut dapat dikemukakan dan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan bercanggah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rahman Dahlan berbanding keputusan sebelumnya dibuat pihak kerajaan termasuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rahman pada 2 September lalu dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan membantu mengenal pasti tanah untuk projek perumahan mampu milik terbabit.

Sebelum tu, pada Januari 2014, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman menyatakan lokasi PR1MA telah dikenal pasti, tetapi beberapa isu perlu ditangani sebelum kelulusan diperoleh pihak berkuasa negeri.


Manakala pada Disember 2012, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Mutalib Alias memaklumkan bahawa kerajaan akan membina PR1MA dan beberapa bidang tanah, di Bukit Gelugor telah dikenal pasti untuk tujuan itu termasuk tujuh lagi lokasi lain..

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Najib Razak sendiri menyatakan bahawa 20,519 unit rumah PR1MA akan dibina di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Adalah jelas semua kenyataan-kenyataan itu mencerminkan bahawa kerajaan sedang dalam proses mengenal pasti tanah disini.

“Dalam pembentangan Belanjawan 2015 baru-baru ini, Najib turut menyatakan RM1.3 bilion telah diperuntukkan untuk membina 80,000 unit rumah PR1MA.

“Tetapi dia tidak menyebut langsung tentang bagaimana unit-unit terbabit akan dibina di Pulau Pinang?

“Saya berulang kali mengutarakan perkara ini. Apakah projek perumahan PR1MA di Pulau Pinang akan dibina?,” soalnya.


BERITA LAIN YANG BERKAITAN:

Zainal sedia jumpa exco perumahan PP

Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd, sedia bertemu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bagi membincangkan isu perumahan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman juga mengalu-alukan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meluluskan Pelan Kebenaran Merancang oleh Perda dan JKP Sdn Bhd yang tidak melibatkan isu penempatan semula setinggan dan harga siling.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi kelulusan segera bagi membolehkan agensi-agensi persekutuan memulakan projek pembinaan unit perumahan yang sudah lama tertangguh mengakibatkan kerugian disebabkan peningkatan kos.

"Diharapkan ketua menteri berniat baik dan ikhlas apabila menyatakan kerajaan negeri sedia meluluskan permohonan Perda dan JKP Sdn Bhd membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah berjumlah 2,447 unit," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zainal Abidin yakin kemelut yang berlaku dapat diselesaikan jika kerajaan negeri telus, ikhlas dan sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada agensi persekutuan menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan.

"Saya juga berharap ketua menteri akan memegang kata-kata beliau untuk berjumpa saya sekiranya kemelut ini tidak dapat diselesaikan melalui perjumpaan dengan Exco Perumahan," kata Zainal Abidin.

Dalam sidang media pada 31 Oktober lepas, Lim meminta Zainal Abidin berjumpa dengan Jagdeep untuk menyelesaikan isu permohonan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Lim juga meminta Zainal Abidin menjelaskan istilah rumah mampu milik kerana didakwa ada rumah yang dijual pada harga RM1.85 juta dan menegaskan bahawa segala masalah berkaitan perumahan dapat diuruskan setelah bertemu Jagdeep.

- Bernama

FITNAH II : ADAKAH ANWAR KE PENJARA LAGI? -LINTAS LANGSUNG



Liwat II: Apakah nasib Anwar diketahui hari ini?


LAPORAN LANGSUNG:

3.00pm: Shafee berkata Saiful tidak bersubahat kerana pemuda itu adalah mangsa jenayah seks.

“DNA Anwar ditemui di beberapa bahan bukti, maka terdapat sokongan,” katanya.


Shafee menamatkan penghujahannya dan berkata rayuan balas akan dijalankan kemudian jika Anwar mendapati Anwar bersalah.

Gopal memohon agar persidangan mahkamah ditangguhkan ke hari lain, dan mencadangkan hari Khamis.

Hakim bersetuju persidangan ditangguhkan dan bersambung hari Khamis.
2.50pm: Shafee berkata Karpal mahu mendapatkan salinan kenyataan beramaran Saiful permohonan itu tidak bermakna Anwar memohon untuk mencabar saksi utama tersebut.

"Gerak hati sahaja tidak memadai. Jelas sekali permohonan Karpal bukan untuk mencabar Saiful tetapi untuk mendapatkan kenyataan beramaran Saiful,” katanya.

2.40pm: Shafee seterusnya berkata, seluar dalam Saiful berwarna kelabu menyokong hujah tersebut.

Katanya, tiada siapa yang peduli tentang Saiful ketika bekas pembantu Anwar itu bertemu dengan pegawai kanan polis, Mohd Rodwan Mohd Yusof sehinggalah selepas kejadian itu berlaku.

"Ini boleh menjelaskan mengapa Saiful ahanya membuat laporan polis dua hari selepas kejadian itu kerana tiada siapa yang mengambil berat tentang masalah Saiful,” katanya.

2.35pm: Shafee merujuk kepada gambar yang menunjukkan Saiful berada di majlis jamuan teh Anwar.

Ketua pembelaan, Gopal Sri Ram dalam hujah sebelum ini mengemukakan bahawa kamera tidak menipu, dan ia menujukkan perilaku Saiful.

Shafee berkata gambar tersebut tidak boleh dikemuka sebagai bukti dan jurugambar tersebut perlu dipanggil.

"Ini bukan bukti dokumentari dan peraturan terguna pakai. Ini bukan dokumentari dengar cakap,” katanya.

Shafee berkata Gopal mendakwa Saiful kelihatan normal, namun beliau berpendapat pengadu kelihatan susah hati.

“Maka perkara ini sangat subjektif,” katanya.

1.20pm: Seramai 50 penyokong Saiful berhimpun di luar Istana Kehakiman dengan membawa kaid rentang dan poster.

Antaranya, Salahuddin Abdullah, 22, dari Sepang yang memberitahu Malaysiakini bahawa beliau berpendapat, Anwar mencemarkan agama Islam.

"Kita mesti lawan orang yang mencemarkan Islam,” katanya.

Sementara itu, seramai 20 orang penyokong Anwar yang berhimpun dekat sekatan polis menimbulkan sedikit kekecohan apabila mereka meminta dibenarkan melepas sekatan.

Kumpulan itu diketuai ketua PKR cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam.

1.09pm: Hakim Ariffin mengumumkan mahkamah berhenti rehat dan persidangan akan diteruskan semula pada jam 2.20pm.

12.50pm: Shafee menekankan bahawa kenyataan Anwar daripada kandang tertuduh tidak bernilai kerana tertuduh mengemukakan alasan yang tidak boleh dipertahankan.

Beliau berkata data yang disediakan oleh pendakwaan adalah berdasarkan data daripada analisis ahli kimia.

Peguam yang dilantik kerajaan itu berkata, ia disalin bulat-bulat daripada sumber.

12.40pm: Shafee seterusnya berhenti daripada mengemukakan hujah berdasarkan artikel bahasa Thai.

12.30pm: Shafee mengemukakan hujah bahawa sampel daripada dubur akan tahan lebih lama daripada kawasan peri-anal.

Katanya, ada rekod menunjukkan sampel boleh tahan sehingga 65 jam di kawasan dubur.

"Dalam kes Anwar, sampel berkenaan diambil selepas 56 jam," katanya.

Shafee seterusnya mengemukakan satu tulisan dalam bahasan Thai, dengan rumusan dalam bahasa Inggeris, yang dibantah oleh Ram Karpal.

"Artikel ini sudahpun diteliti oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kita tidak boleh membenarkan satu tulisan dalam bahasa Thai di mahkamah.

"Jika tidak, kita boleh sahaja mengambil satu tulisan dalam bahasa Sepanyol, kata peguam itu.

Hakim Arifin merekodkan bantahan berkenaan.

Shafee seterusnya mengemukakan hujah berdasarkan atikel Thai itu namun disekat oleh Hakim Suriyadi kerana beliau tidak dapat menafsir kandungan artikel berkenaan, walau ia berkaitan dengan kesalahan seksual.

"Kita tidak tahu sekiranya ia dilakukan ke atas seekor ayam," kata hakim tersebut.

Shafee bagaimanapun menegaskan bahawa ia bukan ke atas seekor ayam.

Hakim Suriyadi seterusnya berkata: "Kita tidak tahu sekiranya ia mengenai KFC", yang menyebabkan galeri mahkamah gamat seketika dengan gelak ketawa.

12.07pm: Dalam hujahan mengenai seluar dalam Saiful, yang digunakan semasa pengadu pergi ke HKL, Shafee berkenaan bukti berkenaan bukanlah perkara yang mustahil.

Kesan mani didakwa milik Anwar ditemui di seluar dalam terbabit.

Katanya, perkara itu dipersoalkan oleh pembelaan, dan seterusnya menjelaskan bahawa ia mungkin berlaku kesan daripada Dr Osman yang memasukkan protoskop untuk memeriksa dubur Saiful.

Katanya, ia mungkin cairan yang diambil daripada Saiful oleh doktor HKL, kata pendakwa itu lagi.

11.50am: Beliau seterusnya membincangkan mengenai gambar yang diambil daripada lokap Anwar, yang menunjukkan ubat gigi, berus gigi dan juga tuala yang sudah digunakan.

Katanya, rumusan boleh dibuat bahawa Anwar membuka bungkusan barangan berkenaan, yang diserahkan kepada polis.

Shafee berkata allele 18 yang ditemui di kawasan peri-anal mungkin berasal daripada Dr Osman.

"Allele 18 hanya muncul sekali dan apa yang PW6 katanya bahawa ia adalah permulaan. Permulaan adalah bacaan yang salah,” katanya.

11.40am: ‎Dalam hujahnya mengenai allele 18, Shafee berkata Saiful periksa oleh Dr Mohd Osman Abdul Hamid dan tiada bukti bahawa protoskop yang digunuakan itu telah disteril.

"Tiada bukti sama ada Dr Osman memakai sarung tangan memandangkan beliau memeriksa keseluruhan dubur Saiful.

“Ada kemungkinan bahawa DNA Osman tertinggal pada Saiful,” katanya.

Shafee berkata ini mungkin menjelaskan menenai pencemaran sampel.
11.32am: Keterangan McDonald ditolak sejak 2007 dan juga dalam dua kes pada 2014, kata Shafee.

Katanya, McDonald akan memberi keterangan mengenai apa saja “di muka bumi”.

11.22am: Shafee berkata kaedah digunakan Malaysia setanding dengan Singapura daalam soal ujian DNA.

Katanya, McDonald tidak boleh dipercayai kerana mahkamah Australia juga tidak menerima keterangannya.

"Beliau ditolak oleh banyak mahkamah di Australia dan Brunei,” kata Shafee.

11.15am: Shafee membacakan keterangan saksi Dr Brian McDonald bahawa sampel yang ditemui dari dubur Saiful adalah segar.

Katanya, bukan hanya Mahkamah Rayuan, malah pihak Australia juga menyifatkan McDonald sebagai seorang yang bukan pakar.

10.42am: Shafee berkata ekor sperma mungkin akan cair, namin kepalanya tetap utuh.

Ahli kimia berjaya mendapatkan bacaaan daripada kepala sperma dan bacaannya sempurna, katanya.

Shafee dilihat cuba mempertikaikan hujahan Ram Karpal bahawa sampel mesti dalam keadaan segar untuk membolehkannya dalam keadaan tulen.


Hakim Arifin mengarahkan mahkamah berhenti rehat sehingga jam 11 pagi.

10.25am: Shafee mengemukakan hujahan balas mengenai kemerosotan mutu bahan bukti yang dikemukakan.

Katanya, sekiranya bacaan tersebut dapat diperolehi maka ia tidak sepatutnya dipersoalkan.

Pendakwaan seterusnya menambah (ahli kimia) Seah tidak menyatakan bahawa sampel berkenaan dalam keadaan tulen namun bacaannya sempurna.

Katanya, Mahkamah Rayuan juga menangani isu sampel dan ini tidak dipertikaikan.

Beliau memetik kes pembunuhan di Australia, R vs Butler di mana sampel DNA diambil daripada tuala yang ditanaam selama 13 tahun.

"DNA ditemui di tuala di mana mani ditemui. Bacaannya dianggap sepadan dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan membunuh,” katanya.

Shafee seterusnya memetik sumber artikel di Internet, namun Hakim Arifin mempersoalkan bagaimana mahkamah dapat menilai artikel di Internet.

“Dalam kes saya, bacaannya sempurna”.

10.20am: Turut hadir di galeri awam ialah naib presiden PKR, Rafizi Ramli dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungib.

Shafee berkata Mahkamah Rayuan menyabitkan Anwar dan sekiranya ketua pembangkang itu berkata sampel mani itu bukan kepunyaannya, maka dia perlu membuat ujian DNA sendiri untuk membuktikan sebaliknya.

10.15am: Dengan mengaitkan contoh kes warga India terbabit, Shafee mengemukakan hujah bahawa kes Anwar bukanlah kes pertama yang didakwa melibatkan konspirasi.


"Bagaimana kita menjelaskan sampel mani Anwar ditemui (di dubur Saiful). Tuduhan yang luas berhubung konspirasi mestilah boleh dipercayai dan logik, dan mahkamah harus menilai perkara ini.

"Pembelaan tidak menjelaskan bahawa mani Anwar berada di situ,” kata pendakwa yang dilantik kerajaan itu.

10.05am: Shafee mengemukakan hujah bahawa Anwar mendakwa kes liwat tersebut merupakan fitnah paling besar ke atasnya, namun Anwar tidak menafikan kehadirannya di kondominium tersebut.

Shafee seterusnya menunjukkan rakaman kehadiran Anwar dan Saiful daripada kamera litar tertutup.

"Ini menjadi tanggungjawab Anwar untuk mempertikaikannya (kehadiran di unit kondo).

Memandangkan pembelaan tidak mengemukakan bukti alibi, Shafee berkata ini akan memberi natijah buruk ke atas tertuduh.

10am: Shafee berkata, berdasarkan kes ahli politik di negara India itu, keterangan yang menyokong perlu dibuat ke atas Anwar apabila ketua pembangkang itu gagal memanggil saksi alibi beliau.

"Kami (pendakwaan) membuktikan kehadiran Anwar di unit (kondominium) tersebut,” katanya.


Hakim Suriyadi menyoal sama ada tertuduh memberi keterangan dari kandang tertuduh atau sebaliknya dalam kes warga India tersebut.

Shafee berkata ahli politik India tersebut memilih untuk berdiam diri.

Pendakwaan seterusnya mengemukakan dua gambar yang menunjukkan Anwar dan Saiful di unit kondominium tersebut ketika kejadian liwat didakwa berlaku.

9.36am: Shafee selanjutnya memetik pelbagai kes undang-undang di mana "adverse inference" boleh dibuat terhadap Anwar kerana tidak memanggil saksi-saksi pembelaan.

Dia memetik keputusan Mahkamah Agung India berhubung kes seorang ahli politik yang membunuh isterinya menyimpan rahsia rumah tangga mereka dan cuba untuk membuang mayat itu dengan membakarnya dalam "tandu".

Ahli politik itu, kata Shafee, memberikan senarai saksi alibi tetapi tiada seorang pun saksi dipanggil untuk membuktikan alibi itu.

Tetapi, katanya, terdapat bukti untuk membuktikan kehadiran ahli politik itu ketika mayat itu dibakar di restoran miliknya.

Shafee berkata, kegagalan untuk memanggil saksi-saksi alibi dianggap sebagai bukti sokongan (corroborative evidence) bebas.

9.30am:Shafee membaca transkrip mahkamah.

Beliau berkata Karpal ketika itu berkata notis alibi telah diberikan.

Shafee berkata, itu tidak kekal kerana tiada seorang pun daripada mereka dipanggil.

Beliau memetik satu kes undang-undang di mana "adverse inference" boleh digunakan berikutan kegagalan pihK pembelaan untuk memanggil saksi alibi itu.

9.22am: Mahkamah mula bersidang dengan dipengerusikan oleh Hakim Arifin.

Shafee menyambung hujahnya mengenai alibi Anwar.

Katanya, 13 saksi dinamakan termasuk Wan Azizah dan pemilik kondominium Hasanuddin.

8.57am: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memasuki dewan mahkamah.

Balu mendiang Karpal - Gurmit Kaur - duduk di sebelah Wan Azizah sementara Anwar dilihat berbincang dengan Azmin.

8.50am: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di mahkamah bersama isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bersama mereka ialah peguambela Gobind Singh Deo.

Turut kelihatan ialah balu mendiang Karpal Singh - Gurmit Kaur - dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Beberapa pemerhati dari kedutaan Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman juga hadir.

8.30am: Kira-kira 200 penyokong Anwar berkumpul di luar Istana Kehakiman di Putrajaya di mana kes rayuan Liwat II akan didengar.

Sudah berada di mahkamah ialah peguam Tan Sri Gopal Sri Ram, Sangeet Kaur Deo, N Surendran, R Sivarasa, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Di pihak pendakwa pula, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria sedang bersiap bersedia.

MP PKR Wangsa Maju, Dr Tan Kee Kwong memasuki dewan mahkamah.

[Berita lanjut menyusul

Dengan pendakwa yang dilantik oleh kerajaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka menyelesaikan penghujahannya hari ini dan pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim pula membuat hujah balas, persoalan terbesar ialah sama ada Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusannya hari ini.

Rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dalam kes Liwat 11 dan hukuman penjara ke atasnya memasuki hari keenam yang mendengar penghujahan oleh pihak pendakwa dan pembelaan.

Anwar semalam memuji lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang sabar dan memberi penuh perhatian mendengar semua hujah yang dikemukakan oleh peguamnya.



Pasukan peguambela Anwar yang diketuai oleh bekas Hakim
Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram (kanan), telah menimbulkan pelbagai isu yang mempersoalkan kredibiliti Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa menjadi mangsa dakwaan liwat itu.

Peguam N Surendran berhujah bahawa kes itu adalah satu konspirasi politik, manakala Ram Karpal Singh pula membangkitkan isu berkaitan dengan keputusan DNA.

Peguam Sangeet Kaur Deo pula mempersoalkan cara sampel diambil dari lokap dan mempersoalkan kesahan penangkapan Anwar pada 16 Julai 2008.

Shafee pula mempertahankan kredibiliti Saiful sebagai saksi dan meminta mahkamah menerima bahawa dakwaan insiden liwat di Desa Damansara bukanlah yang pertama dan satu-satunya di antara Anwar dan Saiful.



Beliau juga memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa walaupun jika penangkapan Anwar menyalahi undang-undang dan cara polis mengambil sampel Anwar dari lokap adalah melalui "tipu daya", namun katanya, bukti DNA itu masih boleh diterima, dengan memetik satu kes undang-undang Singapura yang diterima di Singapura, Malaysia dan Komanwel.

Shafee (kiri) dijangka menyambung hujahnya tentang isu DNA hari
ini, dan selepas itu pasukan pembelaan akan membalas hujah berhubung perkara yang dibangkitkan oleh pihak pendakwa.

Oleh itu, persoalan terbesar ialah sama ada panel yang diketuai Hakim Arifin akan mengumumkan keputusannya dengan segera, atau mengumumkannya pada hari yang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...