03 Januari 2012

Hasan Ali: Tak Pasal Tuan Guru Nik Aziz Pula Dituduh Penipu

POLEMIK berkaitan dengan Hasan Ali ini nampak tidak akan ada penghujung - sekurang-kurangnya selagi PAS menggunakan pendekatan yang sama seperti sekarang untuk menanganinya.

Terbaru, bila Hasan Ali menyanggah kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang disiarkan di dalam Harakah 2 hari lepas berkenaan permohonan maaf pemimpin tersebut kepada kepimpinan tertinggi PAS kerana menyerang dasar parti tersebut berkaitan dengan Negara Kebajikan. Tidak cukup dengan itu, Hasan Ali juga menuduh Harakah memutar belit kenyataan TG Nik Aziz.

Sanggahan Hasan Ali itu mendorong Harakah untuk menyiarkan transkrip penuh temu bualnya dengan TG Nik Aziz dan memang jelas TG Nik Aziz ada menyebut Hasan Ali meminta maaf kepada PAS berhubung isu yang disebutkan di atas.

Kesempatan ini yang diambil oleh kebanyakkan media pro UMNO untuk menuduh TG Nik Aziz sebagai penipu, malah ada juga yang mengatakan TG Nik Aziz sudah nyanyuk kerana tidak mampu memahami percakapan Hasan Ali dengan jelas sehingga membuat kesimpulan yang Hasan Ali meminta maaf sedangkan hakikatnya tidak.

Natijahnya, daripada isu-isu yang berkisar dengan Hasan Ali, kini ia beralih kepada TG Nik Aziz pula.

Penulis dan laman ini dari awal lagi memang tidak menyokong Hasan Ali kerana seperti yang dinyatakan sebelumnya, Hasan Ali sudah membakar jambatan dengan PAS apabila mempersoalkan hala tuju perjuangan parti daripada negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Atas sebab itu penulis percaya, apa pun usaha yang dilakukan kepimpinan PAS pusat untuk ‘menyelamatkan’ Hasan Ali tidak akan berjaya dan polemik terbaru berkaitan dengan dirinya, yang turut sama menyeret TG Nik Aziz di dalamnya, adalah bukti kepada pandangan tersebut.

Penulis sudah biasa dengan jenis orang seperti Hasan Ali dan permainan politik seumpamanya. Justeru penulis tidak faham kenapa kepimpinan PAS pusat masih lagi mahu menghulur tali persahabatan dikala dia sendiri telah memutuskan untuk menolaknya?

Tidak sepertimana biasa, sanggahan Hasan Ali ini tidak mendapat respon segera dari TG Nik Aziz. Begitu juga dengan pemimpin lain yang berada dalam pertemuan tertutup itu seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Ia menguatkan lagi tohmahan yang mengatakan TG Nik Aziz menipu!! Penulis tidak rasa pandangan sedemikian baik untuk TG Nik Aziz, PAS dan Pakatan Rakyat.

Masih belum terlambat untuk kepimpinan pusat PAS memikirkan semula alternatif yang lebih drastik dalam menangani isu berkaitan dengan Hasan Ali ini setelah semua pendekatan diplomasi yang digunakan sekarang, tidak langsung memberi kesan.

Malah lebih teruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan pula.

Sumber: suarapakatanrakyat.com

Safwan akan ambil tindakan mahkamah insiden di UPSI

Safwan akan ambil tindakan mahkamah insiden di UPSI
Oleh Mohd Farhan Darwis


KUALA LUMPUR, 2 Jan — Mohd Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa atas kecederaan yang dialaminya.
Peguam kepada Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ini, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa berkenaan dalam masa terdekat.

“Safwan mendakwa dia dipukul menggunakan lutut oleh anggota polis terbabit sehingga pecah bibir, sakit dada, dan keadaannya sekarang stabil dan dia sudah sedarkan diri.

“Sehubungan itu, keluarganya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis dalam masa terdekat, dan antara defendan adalah Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak, dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian awal pagi tahun baru itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Khairuddin, keluarga Safwan akan membuat pemeriksaan kesihatan lanjutan berikutan pihaknya kini masih lagi belum memperoleh sebarang laporan kesihatan daripada Hospital Hospital Slim River.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyatakan bahawa polis telah menafikan dakwaan mereka memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI dan menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan sementara itu berkata “tindakan perlu” diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa “tercedera sendiri”.

“Kumpulan mahasiswa tidak mendengar arahan polis supaya bersurai dan kami terpaksa bertindak dengan menangkap mereka.

Menurut Khairuddin lagi, seorang pegawai penyiasat pihak polis hari ini ada berjumpa Safwan dan mengambil keterangannya.

“Keadaan Safwan masih lemah, dan sementara ini kami akan kumpulkan bukti, apabila Safwan sudah pulih sepenuhnya, kami akan membawa kes ini ke mahkamah,” katanya lagi.

Awal pagi tahun baru lalu, sekumpulan 60 mahasiswa telah mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pintu masuk UPSI dan mendakwa telah berlaku pergelutan dengan pihak polis.

Ketika insiden tersebut, seramai 17 antara mahasiswa terbabit telah ditahan polis Tanjung Malim, dan kemudiannya dibebaskan.

Sementara itu, PKR dan DAP terus mengkritik tindakan polis terhadap mahasiswa, semasa demonstrasi aman untuk memberikan sokongan kepada aktivis mahasiswa dan menuntut kebebasan akademik di UPSI, Tanjung Malim selepas tengah malam kelmarin.

Parti pembangkang mendakwa polis termasuk dua anggota dari Unit Cawangan Khas menggunakan tindakan kasar terhadap mahasiwa yang didakwa mereka seramai 100 orang berbanding 60 orang yang dikatakan peguam hak asasi Fadiah Najwa Fikri apabila kumpulan itu enggan bersurai.

Ketika kejadian berkenaan, Safwan dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

-sumber The Malaysian Insider

02 Januari 2012

PRESIDEN MCLM LETAK JAWATAN


PETALING JAYA: Peguam Haris Ibrahim meletak jawatan sebagai Presiden Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM).

Peletakan jawatannya itu diumumkan dalam blog beliau pada Isnin, dua hari selepas Pengerusi MCLM dan penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengadakan temu bual dengan media tertentu untuk mengkritik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Haris berkata, dia kecewa kerana rakannya itu terus menilai segelintir individu menerusi sentimen perkauman.

Beliau membidas tembu bual Raja Petra dengan mendakwa MCLM tidak menurunkan sebarang calon pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya boleh mengesahkan sekarang bahawa tiada keputusan dibuat selepas rundingan," katanya.

Beliau turut membantah kenyataan Raja Petra yang dipetik sebagai berkata," pengundi Cina tidak mahu perubahan seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

"Ekoran itu, saya merasakan adalah mustahil untuk saya terus memegang jawatan sebagai Presiden MCLM," katanya,

Haris turut mendedahkan bahawa dia mengetahui rancangan mengenai temu bual itu kira-kira seminggu lalu sebelum kedua-dua keluarga pergi bercuti sempena Krismas tetapi tidak menyedari apa yang diperkatakan Raja Petra.

Susulan itu, katanya, beliau mahu terus komited untuk melakukan transformasi bagi mewujudkan kerajaan baru di Putrajaya yang membela nasib rakyat.

MCLM ditubuhkan pada 2010 sebagai ruang untuk menawarkan calon berkelayakan untuk bertanding mewakili pembangkang pada pilihan raya umum.-mstar

DEMO SISWA ; SAYA DIPUKUL

Siswa: Saya dipukul ketika bantu rakan


Mahasiswa yang tercedera dalam perhimpunan prokebebasan akademik di Tanjung Malim semalam mendakwa beliau beliau dipukul di bahagian muka ketika membantu rakannya yang diseret polis.

Bercakap kepada sidang media selepas dibenarkan keluar daripada hospital hari ini, Muhammad Safuwan Anang, 23, juga mendakwa beliau tidak melawan langsung pasukan keselamatan dalam insiden di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Saya akan ambil tindakan mahkamah.Memang dalam kejadian semalam saya dipukul oleh salah seorang anggota polis. Dan sekarang saya masih mengalami kecederaan dimana telah mengakibatkan saya sukar untuk bernafas," tegasnya.

"Kita sedang mengumpul bukti-bukti untuk ambil tindakan terdahap pegawai polis berkenaan.Diharap semua pihak tunggu kenyataan yang akan saya buat dan kenyataan rasmi untuk tindakan selanjutnya selepas ini," katanya

Tampil lemah dengan kerusi roda yang disorong isterinya, Muhammad Safuwan mendakwa, dalam kejadian semalam, polis juga menekan rusuknya menggunakan lutut dengan keras.

Pihak polis Perak semalam bagaimanapun menafikan menggunakan kekerasan dan mendakwa kecederaan peserta perhimpunan disebabkan "rempuhan sendiri" ke klinik berdekatan.

POLITIK SABAH: " INI KALI LAH....." KAMI SOKONG ABU

'Ini kali lah...Najib perlu gusar politik Sabah

Written by Kelapa Mawar


Ramai yang mempercayai bahawa Tsunami politik 2008 yang berlaku di Tanah Besar Semenanjung Malaysia tidak pernah berlaku di Sabah. Media alternatif atau media ketiga seperti blog, Facebook dan Twitter yang menjadi pemangkin kepada tercetusnya tsunami politik 2008 itu masih berada pada tahap baru berkembang di Sabah pada waktu tersebut. Justeru, ledakan politik pembaharuan yang menyaksikan BN hampir-hampir kehilangan kuasa tidak berlaku di Sabah dan Sarawak. Sebab itu kedua negeri di kepulauan Borneo ini masih gah dengan "fixed deposit" buat BN dan sekutunya.

Setelah 4 tahun berlalu, Sabah dan Sarawak mula 'menerima' kehadiran media alternatif ini, bersama bahang Tsunami politik 2008 yang masih panas dan membara di semenanjung. Ertinya, tsunami politik di kepulauan Borneo ini mungkin akan tercetus pada PRU 13 iaitu 2012. Itupun setelah menerima media alternatif ini sebagai ruang fikir politik baru di kedua-dua buah negeri yang menyertai Gagasan Malaysia pada tahun 1963 di mana termaktubnya perjanjian 20 perkara yang dikatakan tidak pernah ditunaikan oleh Kuala Lumpur.

Di Sabah di tahun mendatang ini, langit semakin terbuka. Di mana-mana, generasi yang berumur atau yang baru 'menetas' usianya sudah mengenali dunia internet berupa blog, Facebook dan Twitter. Begitu banyak timbunan maklumat dihujung jari yang diakses saban waktu terutama melibatkan soal politik dan kuasa. Justeru itu, Sabah mula berubah paradigma politiknya, tidak lagi seperti tahun-tahun kebelakangan dimana maklumat hanya didengar dan ditonton dalam media arus perdana.

Ramalan pemerhati politik di Sabah, BN dan UMNO akan menyaksikan beberapa kawasan terlepas dari genggaman kuasa mereka. Beberapa trend pengundi di Sabah mula mencetuskan kegusaran di kalangan pemimpin di peringkat negeri. Golongan berumur sekitar 50-80 tahun ini mewakili kek politik sekitar 50%. Mereka ini terdiri daripada golongan yang mewarisi idealisme perjuangan USNO. Setelah USNO di bubarkan, maka mereka menyertai UMNO pada tahun 1991. Tetapi ini bukan bererti UMNO akan memperolehi undi mereka pada PRU akan datang, kerana ura-ura penyertaan USNO yang dipelopori oleh Datu Badaruddin Tun Mustapha pada PRU 13 ini, memungkinkan golongan ini memberi sokongan semula kepada USNO, setelah UMNO dilihat tidak banyak mendatangkan faedah kepada peribumi di Sabah.

Kes rampasan tanah adat, sikap pemimpin yang semakin kaya dan harga barang yang semakin tinggi, menyebabkan golongan ini menuntut perubahan setidak-tidaknya mahukan USNO kembali menerajui Sabah.

Golongan kedua ialah golongan muda yang baru mengenal dunia politik tetapi terdedah kepada maklumat dalam media alternatif ini. Mereka di Sabah terbahagi kepada beberapa sub golongan yang membawa gelombang perubahan. Sub golongan pertama ialah mereka yang memang mahukan perubahan, terlibat secara langsung dalam kempen-kempen politik yang beraliran pembangkang. Jumlah mereka tidak ramai tetapi boleh mempengaruhi rakan yang lain.

Golongan inilah yang membawa slogan "INI KALI LAH...". Sub Golongan kedua ialah mereka yang terdedah kepada maklumat media blog dan fcb tetapi berada pada kedudukan atas pagar. Mereka ini juga lebih ramai dari yang pertama tadi. Golongan ini mewakili sekitar 40% kek politik di Sabah. Mereka kurang berminat dengan politik tetapi mengambil tahu perkembangan terbaru melibatkan keadaan politik dan ekonomi negara. Golongan ini sangat 'merbahaya' kepada UMNO dan BN di Sabah kerana pada bila-bila masa sokongan golongan ini boleh tergelincir kepada pembangkang, lebih-lebih lagi bila naluri dan keperluan mereka tidak dipenuhi.

Di Sabah, isu penagngguran masih menjadi isu besar. Biarpun Datuk Musa Aman dalam ucapan bejet 2012 yang diumumkannya memperuntukkan lebih RM4 billion ringgit, namun ia tidak menjadi asas kuat kepada penarikan sokongan golongan ini, kerana apa yang berlaku angka RM4 billion itu hanya sekadar menghiasi ekonomi peringkat atasan, di peringkat akar umbi ia tidak mendatang banyak kesan. Pengangguran masih berlaku, kekurangan pekerjaan dan kenaikan harga barang masih menghimpit kehidupan rakyat. Dan, golongan ini mahu kerajaan lebih bertanggungjawab dalam soal itu dan bukan bermain dengan nombor dan angka semata-mata.

Rata-rata golongan ini mahu agar kepimpinan di peringkat Pusat harus berubah..! manakala di peringkat negeri masih mahukan kesinambungan dari kepimpinan terdahulu. Ada yang berpendapat bahawa peringkat Pusat perlu diubah supaya masalah yang masih bertaburan boleh diselesaikan. Kes-kes seperti perjanjian 20 perkara dan peruntukan kerajaan persekutuan kepada Sabah menjadi asas kepada keinginan itu. Golongan ini bagi UMNO dan BN di Sabah adalah penanda aras kepada penerimaan kepimpinan mereka.

Slogan “INI KALI LAH...” yang mula berkumandang di kedai-kedai kopi dan serata pelusuk negeri Sabah membawa makna yang berkait dengan tsunami politik akan berlaku. Slogan “INI KALI LAH...” ini membawa pengertian bahawa PRU 13 inilah yang akan membawa perubahan dalam soal penggantian kepimpinan negara.

Justeru merebaknya slogan “INI KALI LAH...” ini seharusnya menjadikan Najib semakin gusar, risau dan menggelabah. Kerana jika semangat dan roh slogan “INI KALI LAH...” ini benar-benar diterjemahkan pada PRU 13, maka pemerhati politik akan melihat Najib sebagai Perdana Menteri UMNO yang terakhir.-HD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...