22 Februari 2011

Gugur anggota: PKR tuntut FMT perbetul laporan


PKR hari ini menuntut sebuah portal berita supaya memperbetulkan satu laporan berhubung sejumlah anggota parti itu yang didakwa akan digugurkan.

Tuntutan itu dibuat oleh pengerusi jawatankuasa audit parti itu Nik Mahmood Nik Hassan melalui satu kenyataan hari ini.Nik Mahmood berkata beliau tidak dihubungi oleh laman Free Malaysia Today walau dinamakan dalam laporan berkenaan.Dakwaan itu diterbitkan dalam laporan portal itu pada hari Ahad lalu

Kenyataan beliau itu dibacakan dalam satu sidang media di ibu pejabat parti hari ini oleh pengarah penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Laporan portal itu antara lainnya mendakwa tujuh ahli parlimen PKR gagal dalam audit yang dijalankan parti itu, antaranya disebabkan prestasi yang lemah.

Nik Mahmood menjelaskan bahawa audit berkenaan dijalankan bagi menilai pendapat umum berhubung prestasi parti di kawasan tertentu
"Kami meneliti fungsi pusat khidmat, perjalanan program dan interaksi antara wakil rakyat, organisasi parti, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum.

"Tiada seorang pun daripada ahli parlimen yang dinamakan dalam laporan FMT diaudit oleh jawatankuasa saya.

"Jelas sekali laporan FMT (Free Malaysia Today) adalah mengelirukan dan tidak berasas," kata Nik Mahmood lagi.

21 Februari 2011

BIZ DADAH BERKEMBANG DENGAN PESAT?

Polis Tahan Dua Wanita Iran, Rampas 6.2 Kilogram Syabu Bernilai RM1.55 Juta

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mencatat kejayaan besar dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini dengan merampas 6.2kg syabu bernilai RM1.55 juta setelah menahan dua wanita Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini Sabtu lepas.

Wanita berusia 21 tahun dan 34 tahun itu, yang dipercayai dijadikan kaldai dadah oleh satu sindiket dadah antarabangsa, cuba menyeludup dadah berkenaan dengan menyoroknya di dalam tempat khas beg pakaian mereka.

Bagaimanapun, helah itu tidak berhasil dan mereka ditangkap polis di lapangan terbang itu pada kira-kira pukul 8.10 malam hari berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata bertindak atas satu maklumat, sepasukan pegawai polis menahan wanita itu dan memeriksa beg mereka.

"Setelah diperiksa dengan teliti, pasukan itu menjumpai dua bungkusan plastik lut sinar dalam bahagian rahsia beg mereka, yang dipercayai mengandungi syabu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Ayub berkata dua wanita itu tiba di Malaysia dengan menaiki pesawat dari Dubai, yang singgah di Singapura, sebelum mendarat di Pulau Pinang.

Beliau berkata polis sedang menyiasat ke mana sebenarnya dadah bernilai kira-kira RM1.55 juta di pasaran gelap itu hendak dibawa.

"Dua wanita ini telah datang ke Pulau Pinang sebanyak dua kali sebelum ini untuk meninjau ciri-ciri keselamatan di lapangan terbang berkenaan," katanya.

Beliau berkata wanita berkenaan - yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan - akan ditahan reman hingga 26 Feb untuk memudahkan siasatan.

Satu laporan Khamis lepas menyebut bahawa pada 16 Feb, Kastam Pulau Pinang menahan seorang lelaki Iran berusia 26 tahun dan merampas 3.4kg syabu bernilai RM875,000 daripadanya di lapangan terbang sama. -MSTAR

BMF senarai 49 firma berkait Taib di seluruh dunia

Sumber: Malaysiakini

NGO yang berpangkalan di Switzerland - Tabung Bruno Manser (BMF) hari ini mengeluarkan senarai 49 firma di empat benua di seluruh dunia yang didakwanya berkaitan dengan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya.

Senarai itu termasuk 13 syarikat di Malaysia, 10 di Australia, sembilan di Kanada, tujuh di Hong Kong, empat di Amerika Syarikat, tiga di British Virgin Islands, satu di pulau Jersey dan dua lagi di United Kingdom.

"Tujuan senarai ini adalah untuk membantu pihak berkuasa pencegahan rasuah dan pengubahan wang haram di negara-negara berkenaan mengenal-pasti dan membekukan aset Taib,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.Senarai itu disiarkan di lamanweb anti-rasuah barunya dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

BMF juga melancarkan petisyen di lamanwebnya mendesak pihak berkuasa di negara-negara berkenaan bagi menyiasat kedudukan kewangan Taib dan keluarganya serta membekukan aset mereka.

Petisyen itu juga akan dihantar ke pihak berkuasa di Australia, the British Virgin Islands, Kanada, Hong Kong, Jersey, Malaysia, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta Kumpulan Pengubahan Wang Haram Asia Pasifik yang mempunyai keahlian 139 negara.

Antara syarikat Malaysia yang disenaraikan itu termasuk Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata Sarawak Sdn Bhd, K&N Kenanga, Kumpulan Parabena Sdn Bhd, Mesti Bersatu Sdn Bhd, Sarawak Energy Bhd, Naim Holdings dan Kumpulan Ta Ann.

Sesetengah syarikat berkenaan dimiliki sebahagiannya oleh kerajaan negeri dan terbabit dengan projek yang disokong oleh kerajaan negeri seperti Royal Mulu Resort dan empangan Murum.

Sebahagian besar firma yang disenaraikan itu membabitkan syarikat yang terbabit dalam hartanah, termasuk Sakti International Corporation Incorporated, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Negara-negara UNCAC

Dokumen yang disiarkan oleh lamanweb Sarawak Report menunjukkan syarikat itu bernilai lebih kurang RM250 juta.

Juga disenaraikan adalah kumpulan syarikat-syarikat di Kanada, Sakto yang didakwa Sarawak Report mempunyai hartanah bernilai lebih RM300 juta.

Gesaan yang sama dibuat oleh BMF ke pelbagai pertubuhan di Kesatuan Eropah untuk membekukan aset milik bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang telah melarikan diri ke luar negara.

Semua negara, termasuk Malaysia - di mana syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh BMF itu terletak telah menandatangani dan mengesahkan perjanjian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai pencegahan rasuah (UNCAC).

Semua negara-negara UNCAC diwajibkan untuk menyelaras dengan satu sama lain dan membekalkan bantuan perundangan di mana kes dana-dana tertentu dikaitkan dengan jenayah, termasuk mendapatkan perintah ekstradisi ke atas orang yang dituduh.

Muhyiddin (bakal dicabar Zahid), Anwar dan Wikileaks

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hampir semua parti politik yang dijangka mengadakan pemilihan kepemimpinan pusat pada 2011 menangguhkan agenda penting itu. Tumpuan tentulah mahu difokuskan sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13. Pertandingan dalam parti seringkali mengundang perpecahan, atau sekurang-kurangnya melemahkan kesatuan. Walaupun tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2013 tetapi semua pihak berkepentingan pastinya tidak mahu mengambil risiko.

Umno yang memulakan tradisi penangguhan ini. Selepas 1999, pemilihan MKT Umno tidak lagi dijalankan tiga tahun sekali, tetapi hampir lima tahun, iaitu menyamai usia sesebuah kerajaan. Malah tempoh kerajaan di Malaysia lebih pendek daripada penggal barisan kepemimpinan Umno berkuasa.

Selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim pada September 1998, sebagai langkah mempertahankan kuasanya yang dilihat goyang, kita jarang didedahkan dengan spekulasi kerusi no. 1 dan no. 2 dalam Umno akan dicabar. Era singkat Abdullah Ahmad Badawi juga nampak damai di permukaan. Beliau terpaksa melantik Najib Razak sebagai timbalannya, setelah ditunjuk Mahathir.

Muhyiddin memang regu Najib dalam Team Wawasan 1993, iaitu pasukan yang dibentuk Anwar (bersama Muhammad Muhd Taib dan Rahim Tamby Chik) ketika menawarkan perubahan bagi menghadapi Ghafar Baba (bersama Abdulah dan Sanusi Junid). Meskipun pada awalnya dilihat lebih dekat dengan Abdullah, namun Muhyiddin jugalah merupakan tokoh paling lantang mendesak Perdana Menteri kelima itu meletakkan jawatan lebih cepat daripada jadual awal, selepas prestasi buruk BN dalam PRU12.

Maknanya, Muhyiddin secara berani membawa suara hati Mahathir, yang meletakkan kekalahan BN itu sepenuhnya ke atas bahu Abdullah. Sejak itu, Muhyiddin dilihat rapat dengan Mahathir. Berbanding Abdullah, tentulah Mahathir lebih menyenangi Najib. Namun ia tidak menghalang beliau - secara tertutup - untuk melanjutkan kritikannya, termasuk kepada pemerintahan Najib.

Secara luaran, sokongan terhadap Najib nampak padu. Tiada tanda-tanda beliau akan dicabar daripada dalam. Walaupun usia Muhyiddin lebih tua berbanding Najib, dan dijangka tidak akan menggantikan ketuanya itu, kesetiaannya mungkin boleh dipersoal. Semasa Anwar disingkirkan, Muhyiddin dianggap rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain itu, Muhyiddin juga dianggap lebih pintar, percaya kepada keupayaan diri dan mempunyai kekuatan intelektual tersendiri berbanding Najib. (Malah, ada pemerhati politik melihat isterinya, Rosmah Mansor, lebih ke hadapan dalam isu atau keadaan tertentu). Sementara Najib pula lebih mudah dipengaruhi dan tidak tetap dalam pendirian. Dalam hal ini, Mahathir tentunya lebih cenderung dengan perwatakan Muhyiddin.

Di peringkat barisan Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein memang cukup rapat dengan Najib. Seorang mempunyai hubungan kekeluargaan dan seorang lagi pengikut setia. Naib Presiden seorang lagi, Shafie Apdal, dijangka bermasalah untuk mengekalkan kedudukannya. Rasanya Najib tiada sebarang masalah dengan Zahid, apatah lagi Hisham.

Di waktu "aman", Muhyiddin mungkin tidak menimbulkan kesukaran kepada Najib dan boleh menjadi regunya yang baik. Bagaimanapun, politik selalu mengundang krisis dan ia mungkin muncul secara tiba-tiba. Jika Najib mengharapkan timbalannya yang setia membuta-tuli - sepertimana Mahathir menginginkan Anwar mengikut apa jua kehendaknya - Muhyiddin bukanlah orangnya.

Bagi mengelak Umno ditohmah parti bangsawan baru, Najib lebih selesa dengan Zahid berbanding Hisham, sementalahan pula sepupunya itu gagal menunjukkan prestasi yang baik. Kementerian yang diterajui Hisham kerap menimbulkan masalah walaupun beliau ditempatkan di kementerian-kementerian strategik, seperti Pelajaran dan Dalam Negeri.

Nasib Umno-BN dalam PRU13 seumpama telur di hujung tanduk. Walaupun begitu, ia tetap tidak mampu mengendurkan keghairahan para pemimpinnya untuk mempersiapkan kelengkapan awal bagi pemilihan kepemimpinan parti untuk sessi akan datang.

II. Usah ghairah kuasai Putrajaya

Selamat bersidang perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua, Ahad ini. Sementara banyak pihak mengharapkan perbahasan lebih tertumpu untuk memperkemaskan strategi menguasai Putrajaya dan mengambil alih kerajaan, elok juga beberapa peringatan agar pengukuhan ke atas pemerintahan tiga negeri sedia ada dimantapkan, diberi perhatian serius.

"Saya tidak bimbang Kelantan," kata seorang veteran politik. "Tapi, kita tidak boleh pandang mudah-rendah usaha BN untuk tawan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Usaha pembaharuan di negeri-negeri ini belum nampak merata. Masa berbaki menjelang pilihan raya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan perubahan ke atas kehidupan rakyat. Biar mereka terkesan dengan gaya Pakatan Rakyat memerintah. Potensi besar kita di Perak harus diimbangi dengan sokongan lebih meluas pengundi Melayu. Biar kerajaan negeri nanti mewakili semua kaum."

"Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Mungkin ramai yang marah sebab saya seperti antiklimaks. Tak mengapalah ...," tambahnya lagi sambil meminta saya agar mencatatkan, "tolong ingatkan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan, penyakit yang menimpa Umno-BN kini sudah menjalar kepada kita, iaitu wabak jangkitan KUASA." (Beliau menekankan supaya saya menulis kalimah "kuasa" dalam huruf besar).

"Pencapaian kerajaan negeri kita belum boleh dianggap cemerlang. Apatah lagi sebaran media kita tidak mencukupi dan kurang berkesan," rungutnya lagi.

Saya juga tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, yang juga dikenali sebagai strategis DAP: "Sebenarnya jika kekuatan kita benar-benar tinggi, kita hasratkan untuk menawan Putrajaya, tetapi agenda mengekalkan apa yang telah kita menang itu sangat penting."

Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah pula tidak mahu krisis dalaman KeADILan dipandang ringan pimpinan Pakatan. Beliau membandingkan masalah dalaman yang turut melanda PAS, tetapi katanya, pemimpin parti Islam itu "berjaya menyelesaikan dengan cukup cermat dan bijaksana". Tambahnya, ia barangkali akibat daripada KeADILan yang masih belum dapat menguasai dan membentuk satu organisasi yang benar-benar kukuh dari aspek pentadbiran dan pengurusan.


III. Najib dan Altantuya di Wikileaks

Kalau pendedahan Wikileaks hanya menyentuh komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes sodomi yang didakwa terhadap Anwar semata-mata, tentulah media dan pemimpin Umno-BN riuh-rendah "7 hari 7 malam" menjajanya bagi meraih kepentingan politik. (Secara kebetulan ataupun terancang, Utusan Malaysia rancak menyerang personaliti Ketua Pembangkang itu dengan menemubual kembali Ummi Hafilda Ali, aktor penting di sebalik fitnah besar terhadap Anwar 12 tahun lalu).

Bukankah sejak awal lagi kes liwat itu "direkacipta" Dr Mahathir semata-mata demi survival kuasanya, dan ia tiada kena mengena langsung dengan soal moral ataupun perundangan? Imej Anwar, yang dilihat seteru paling ketat BN dalam PRU13 nanti, cuba direndahkan sehina-hinanya, terutama pada kaca mata orang Melayu, iaitu khalayak yang masih dipercayai mungkin memberi sokongan kepada Umno.

Malangnya, keghairahan itu tertunda disebabkan Wikileaks turut memuatkan "maklumat" tentang Najib, yang pastinya begitu "menggerunkan" Perdana Menteri. Laporan hasil pandangan peribadi pegawai diplomatik Singapura itu menyebut tentang "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa dan Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa". Ia secara jelas mengaitkan Najib dengan skandal pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dengan menekankan "Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu".

Sebenarnya pendedahan laman kontroversi itu sekadar bersumberkan komen peribadi orang-orang tertentu dalam kabel sulit yang dipintas, tetapi belum dapat dipastikan kesahihan faktanya. Media yang dikawal mutlak Umno pula hanya menyiarkan apa yang dirasakan menguntungkan pemiliknya, dan meninggalkan kandungan yang mampu merosakkan imej taukehnya itu. Ibarat orang kelemasan, apa jua yang dianggap mampu menyelamatkannya akan dipergunakan seoptimum mungkin.

Saya tidak menjangkakan komen-komen dalam Wikileaks itu akan membawa masalah besar buat Anwar. Beliau sudah melalui tribulasi yang jauh lebih dahsyat-kejam dan dapat melepasinya. Bagaimanapun, rasa ingin tahu rakyat terhadap isu yang disensasikan itu wajar dimanfaatkan untuk menggemblengkan satu momentum baru, yang tidak terbatas kepada persoalan batang tubuh Anwar. Masyarakat yang dahagakan ketepatan maklumat lebih terdorong untuk mengikuti penjelasan Anwar, dan ini boleh membantut misi jelajah Najib ke seluruh negara yang dijangka bermula awal tahun depan.

"Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita," kata Anwar ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju, 14 Disember lalu, mengulas serangan media berikutan pendedahan Wikileaks.

UTUSAN RAKYAT SAING UTUSAN MELOYA?

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang sedang bergelut dengan siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu (M) Berhad, kini berazam untuk menubuhkan akhbar sendiri yang benar-benar bebas, beretika dan profesional.

Untuk tujuan itu, beliau malah menjual tanah bernilai RM1.2 juta milik keluarganya di Mentakab, Pahang yang kini merupakan ladang ternakan lembu.

"Ini bukan akhbar politik. Kita mahu tunjukkan sebuah akhbar sebenar yang bebas, beretika dan profesional serta tidak memihak kepada mana-mana pihak," katanya yang menjadikan kebebasan media sebagai agenda utamanya di NUJ.

Hata sebelum ini dilaporkan membentangkan kertas kerja pada forum forum tertutup bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bagi membincangkan hasrat menerbitkan akhbar khusus untuk orang Melayu yang dinamakan Utusan Rakyat untuk menyaingi Utusan Malaysia.

Cadangan PKR untuk menerbitkan akbar itu - Utusan Rakyat - dilaporkan dipercayai mempunyai kaitan dengan kajian mengenai tahap sokongan rakyat kepada parti itu, yang turut dibentangkan, yang mana kira-kira 40 peratus daripadanya membaca akhbar arus perdana.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hata menegaskan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sebaliknya tujuan pembentangannya cuma bagi mendapatkan jaminan tidak dihalang menghadapi acara parti.

Malah, tambahnya, permohonan yang sama dibuat kepada pihak Umno melalui sepucuk surat kepada ketua penerangan parti Melayu itu Datuk Ahmad Maslan.

"Bagaimanapun, Ahmad Maslan belum memberikan jawapan. Itu yang saya jumpa Nurul Izzah dulu," katanya sambil memberitahu sudah berjumpa dengan beberapa pelabur yang menunjukkan minat.

Tambahnya, akhbar bersaiz tabloid 14 halaman yang memfokuskan isu sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak itu dijangka berada dalam pasaran pada Mac depan dengan harga RM1.20 untuk edisi cetak dan RM10 sebulan untuk muat turun daripada internet.

Buat permulaan, kata Hata, beliau akan dibantu oleh beberapa anggota keluarga terdekatnya yang menolong secara sukarela.

Ditanya sama ada beliau akan berhenti daripada Utusan utuk mengepalai pasukan editorial akhbar baru itu, Hata berkata perkara itu tidak mungkin kerana beliau masih wartawan di akhbar Umno itu.

"Saya hanya membantu daripada aspek pengurusan. Untuk saya jadi wartawan, tak boleh. Saya kan masih wartawan utusan," kata wartawanan kanan yang terkenal dengan kelantangannya itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...