05 Februari 2012

Zaid Ibrahim batal hasrat bubar Kita


SHAH ALAM - Datuk Zaid Ibrahim menarik balik keputusan untuk membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), tiga hari selepas beliau mengejutkan banyak pihak termasuk ahlinya akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Sinar Harian Online difahamkan Zaid menerusi pegawai kanannya telah memaklumkan beberapa pengerusi negeri pagi ini.

Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, pegawai penyelaras parti ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan," kata beliau.

Justeru kata Mohd Zaid, jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab Kita harus dibubarkan. -Sinarharian

GUNA DANA RM1.5B KWSP: WAKIL KESATUAN WAJAR TOLAK

Skim guna dana RM1.5b KWSP:Kesatuan diminta tolak


Pemimpin kesatuan dan perwakilan profesional yang menganggotai Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta membuat penjelasan sekiranya mereka membantah rancangan kerajaan bagi menggunakan dana RM1.5 bilion KWSP membiayai skim perumahan kos rendah dan mampu dimiliki untuk rakyat.

"Kami gesa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai ahli dalam Lembaga KWSP untuk ambil pendirian rasmi bagi membantah salah guna dana itu. Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan menganggotai lembaga itu bersama tiga lagi orang bagi mewakili pihak pekerja.

"Mereka yang lain ialah Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Pheng, Hadiah Leen dari Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) dan setiausaha agung Kesatuan Pekerja Perdagangan Sabah (SCEU) Azlin Awang Chee," kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (atas, kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, tiga perwakilan profesional lain yang turut menganggotai lembaga KWSP ialah Lee Lam Thye, Heng Hock Cheng dan Halim Din. Mereka juga kata Pua perlu membuat jelas berhubung pendirian mereka berhubung skim perumahaan itu.

Isnin lalu, akhbar The Sun melaporkan bahawa dana KWSP sebanyak RM1.5 bilion akan disalurkan untuk "skim pembiayaan mudah" bagi penjualan rumah-rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Wakil-wakil mesti menyuarakan bantahan mereka yang terhadap skim pinjaman perumahan itu kerana ia akan meletakkan simpanan pekerja Malaysia pada risiko tinggi dan tindakan berkenaan juga melanggar Akta KWSP.

Memetik laman web KWSP, Pua berkata, tujuan dana berkenaan ini adalah untuk mengurus dan menambahkan simpanan ahlinya secara berhemah, selaras dengan amalan terbaik pelaburan dan korporat.

"Oleh itu, ia tidak harus dieksploitasi dan diambil risiko dengan program perumahan kos rendah untuk individu yang penilaian kredit dianggap lemah," katanya.

Sebelum ini, Pua berkata meskipun DAP menyokong inisiatif kerajaan menyediakan skim perumahan kos rendah dan mampu dimiliki untuk rakyat, namun, program tersebut tidak perlu dibiayai oleh KWSP.

Ini kerana, katanya misi KWSP adalah untuk menjamin 11 juta warga kerja Malaysia mempunyai wang hasil titik peluh mereka selepas bersara manakala tugas utama KWSP adalah memaksimumkan pulangan dengan pelaburan yang paling rendah risikonya.

DEPA REKA FITNAH PASAL CERAMAH DI LANGKAWI MALAM NIE............


mai dedah cerita BOHONG & FITNAH BN : Buat cerita awai nak cover kisah kat langkawi malam nie..!!!
Oleh: Che Nad

Secara teorinya, apabila terlalu banyak seseorang itu berbohong... maka rakyat akan makin kuat menolak mereka. Sebab itu bagi Che Nad, blog pro PR di samping godam BN sampai rapat ke dinding, kena dedahkan banyak2 pembohongan UMNO/BN supaya apa yang disampaikan selepas itu maka orang tak pikiaq banyak kali... sepatah saja orang komen.."Bohong aihh!"

Pagi ni Che Nad petik pembohongan terbaru UMNO dari sebuah blog upahan Najib. Cha pakat baca tengok...


Sedang Kulaan beratur menunggu giliran untuk membeli tiket feri ke Langkawi, tiba-tiba datang sebuah bas berstikerkan Kerajaan Negeri Kedah.

Kulaan sempat bersembang dengan seorang pakcik yang turun daripada bas tersebut bertanyakan tujuan beliau ke Langkawi. Pada mulanya Kulaan ingat ada rombongan kakitangan Kerajaan Negeri Kedah nak melancong sama ke Langkawi.

Alangkah terkejutnya Kulaan bila jawapan yang diberikan adalah "nak pegi ceramah Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz mai ceramah kat Langkawi esok malam..." Terlopong mulut Kulaan seketika. Kulaan bertanya lagi, itu bukan ka bas Kerajaan Negeri Kedah. " Dah Pas pegang Kedah, mesti la Kerajaan Pas yang bagi guna".

"Asal tak naik kat Kuala Kedah?" Tanya Kulaan lagi. "Entah, takut orang UMNO nampak kot. Kat Kuala Perlis nie depa tak perasan kot" jawab pakcik tu lagi tanpa mengenali siapa Kulaan sebenarnya. Mungkin pakcik tuh ingat Kulaan pelancong macam yang lain.

Siapa kata Pas tak menyalahgunakan kenderaan kerajaan negeri demi kepentingan parti seperti yang sering dilaungkan Pas kepada kerajaan BN. Ini antara bukti penyalahgunaan kuasa yang diberikan oleh rakyat yang memberi undi kepada Pas kononnya parti yang memperjuangkan Islam tapi hakikatnya mereka juga manusia biasa yang punya nafsu.

Sah! Esok akan keluar di Harakah lidah rasmi Pas dan di blog-blog pro pakatan yang datang ke ceramah Nik Aziz beribu. Hakikatnya yang datang bukanlah orang Langkawi tapi "Pendengar Ceramah Hantu", orang luar sama seperti ceramah-ceramah mereka yang lain.

Ulasan Che Nad:

Cerita di atas adalah BOHONG semata-mata kerana di zaman PAS menjadi kerajaan jentera kerajaan tidak digunakan untuk urusan politik kepartaian. Kerja jahat seperti ini hanya berlaku di zaman BN dulu.

Kononnya hantar 1 bas... elehh kalau takat 1 bas pi dengar ceramah Tok Guru, lekat celah gigi jerr.

Tak logik langsung orang nak dengar ceramah sampai kena pulun lintas laut pi Langkawi. Kat tanah besaq ni pun bersepah ceramah PAS/PR yang dihadiri oleh ribuan rakyat Kedah hingga mengecutkan telor para pemimpin UMNO. Tok Guru Nik Aziz baru mai ceramah saja dalam konvensyen PR di Suka Menanti yang dihadiri oleh lebih 50 ribu rakyat Kedah.

Cerita ni dibuat oleh UMNO sebagai strategi nak cover siap2 bila nanti orang Langkawi berhimpun beribu orang dengar ceramah Tok Guru maka tergugatlah UMNO Langkawi yang laa ni tengah nyawa2 ikan nak mampoih pi dah. Kalau rakyat Malaysia pakat terkejut, ramainya orang pakat pi dengar ceramah Tok Guru maka depa jawab.. Kan aku dah habag, penyokong import dari seberang.

Tapi kalau kita tengok pembohongan yang dibuat tu begitu kreatif, siap dengan dailog bagi nampak real. Itulah kelebihan blogger UMNO yang mendapat latihan khusus dari Yahudi APCO di Institut Latihan Propaganda UMNO (ILPO) di Janda Baik.

Sapa ada lagi cerita2 bohong dari blogger upahan Najib, mai laporkan kad Kedah La.. kita londeh Umno sampai tinggai telog.

http://kedahla.blogspot.com/2012/02/fitnah-bn-kedah-dedahkan-banyak2.html

PILIHAN RAYA 13 DITUNDA KERANA ISU NFC & SKIM GAJI AWAM

PRU-13 mungkin separuh kedua 2012 untuk pastikan BN menang besar, kata sumber BN


KUALA LUMPUR, 5 Feb — Pilihan raya umum mungkin akan diadakan seawal separuh kedua tahun ini kerana Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan kemenangan lebih besar dengan pegawai Barisan Nasional (BN) berkata perdana menteri percaya kemenangan tipis akan diperoleh sekiranya diadakan sekarang.

Pengerusi BN mengetepikan kata-kata agar dibubarkan Parlimen awal minggu ini, beberapa hari selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan agar mengambil masa untuk mendapatkan sokongan.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa suntikan dalam telah meletakkan BN akan mengulangi kemenangan dengan bilangan yang sama seperti pilihan raya umum 2008 jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi. BN memenangi 140 kerusi Parlimen, hilang majoriti dua pertiga dan tewas di empat negeri.

“Datuk Seri Najib tidak akan mengambil risiko untuk mengadakan pilihan raya. Beliau boleh tunggu memandangkan ramai yang belum bersedia,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider menambah pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sehingga April 2013.

Sumber itu menambah pentadbiran Najib percaya terlalu berisiko untuk memanggil pilihan raya umum sekarang disebabkan isu Pusat Fidlot Nasiona (NFC) dan mengenai soal kenaikan gaji untuk 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam.

“Skandal NFC menjejaskan BN. Perlu mencari jalan penyelesaian segera,” katanya,

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan mempunyai kaitan dalam projek itu walaupun keluargnya menerima pinjaman kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek ternakan lembu.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati projek itu tidak mencapai matlamat, sehingga membawa kepada pendedahan penyelewengan oleh pembangkang.

Shahrizat mengambil cuti daripada jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga minggu semasa pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal itu yang diberikan pada 2007.

Selain itu, sebab lain pilihan raya umum tidak diadakan kerana kakitangan awam tidak setuju dengan skim gaji baru yang memberikan keutamaan kepada bahagian pengurusan. Kira-kira 2,000 kakitangan di bahagian pengurusan memperoleh sekurang-kurangnya RM5,000 peningkatan tetapi di bahagian lain mendapat kenaikan hanya RM1.70 tambahan bulanan.

Sumber berkata Najib terkejut apabila kenaikan berjumlah RM2.7 bilion dalam skim gaji baru tidak dapat memuaskan kakitangan awam. Beliau kemudian mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas yang akan membuat semakan gaji sehingga 16 April, yang mana sumber BN berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan sehingga kakitangan awam mendapat apa yang mereka mahukan.

“BN perlukan sokongan kakitangan awam. Ia tidak boleh membangkitkan kemarahan mereka,” tambah sumber itu.

Najib juga berharap dapat mempertahankan “peti deposit” di Sabah dan Sarawak selain bekerja keras mendapatkan semula Selangor yang kini dipimpin Pakatan Rakyat. Parti perikatan itu juga turut menawan Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

“Ada sedikit harapan untuk mengambil semula Selangor dan mempertahankan Perak. Tetapi BN perlu bekerja keras,” kata anggota strategi BN yang enggan dinamakan.

“Selain itu, BN juga tidak mempunyai sesiapa untuk meletakkan calon sesuai untuk menjadi menteri besar Selangor,” tambahnya. Najib merupakan Pengerusi Umno Selangor sementara timbalannya Datuk Seri Noh Omar.

Selain itu, BN juga berhati-hati tentang peluangnya di Sarawak memandangkan ia tewas tujuh kerusi Parlimen. DAP kini memperoleh dua daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu.

Anggota strategik BN bagaimanapun berkata gabungan pemerintah yakin memenangi kesemua tetapi dua kerusi di Sabar, yang mempunyai 25 kerusi Parlimen.

“BN boleh menang besar jika semua isu besar diselesaikan. Sekarang Parlimen akan bersidang pada Mac dan akan meminda beberapa transformasii pilihan raya.

“Sebaik sahaja diselesaikan, mereka akan selesaikan skim gaji dan isu NFC,” katanya.

Zaid 'kuasa ketiga' baru pro-Pakatan?


ULASAN Spekulasi berhubung parti pilihan Datuk Zaid Ibrahim selepas mengumumkan hasratnya untuk membubarkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) terus diperkatakan. Namun, jika diambilkira perkembangan terkini, ia mungkin tidak menjadi satu kenyataan.

Setelah beberapa siri perbincangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, bekas menteri Umno zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi itu dikatakan diberikan tugas lain menggunakan formula yang hampir sama dengan yang didakwa dilakukan BN melalui “kuasa ketiga”.

Menurut sumber, Zaid akan terus bergerak secara bebas tetapi bersikap 'mesra Pakatan' dan berperanan menjawab kritikan agresif kumpulan seperti NGO seperti JATI yang ditubuhkan Dr Hasan Ali, kumpulan pendesak Melayu PERKASA dan beberapa anggota parlimen bebas 'mesra BN'.

Peranan Zaid itu, jika menjadi kenyataan, akan menguatkan kuasa ketiga yang dilihat memberi manfaat kepada Pakatan, seiring dengan gerakan Asalkan Bukan Umno-BN (ABU) dan Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) yang disertai penulis blog 'dalam buangan' Raja Petra Kamaruddin.

Ia juga sekaligus mengukuhkan sektor-sektor lain, seperti kumpulan NGO, mahasiswa dan peguam, yang walaupun tidak mendokong Pakatan secara langsung tetapi memperjuangkan isu hampir sama, seperti pemansuhan akta anti hak asasi manusia, termasuk ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagi pemerhati politik, pertembungan kuasa-kuasa ketiga daripada kedua-dua pihak BN dan Pakatan amat menarik diperhatikan dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Besarnya pertembungan itu sehingga menjalar sampai kepada penubuhan beberapa NGO kecil tetapi konsisten, seperti Jaringan Melayu Muda (JMM), Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) di pihak BN dan JINGGA 13 di sebelah lagi.

Bagaimanapun, Zaid juga dilihat menghadapi dilema dengan keengganan beberapa pemimpin KITA yang menolak hasratnya membubarkan parti yang kini berusia setahun.

Malah, terdapat usaha daripada dalam untuk menentang hasrat Zaid mengadakan mesyuarat agung khas pembubarannya, terutamanya dari Kedah.

Pada 2 Februari lalu, KITA negeri itu secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk bekerjasama dengan kuasa ketiga yang diterajui Hasan yang dipecat PAS baru-baru ini – hasrat yang sama sekali bertentangan dengan usaha Zaid.

Sementara itu, sumber-sumber juga memberitahu, hasrat Zaid membubarkan KITA tidak lama lagi dan berikrar bersama pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 dikatakan langkah awal memulakan tugas barunya itu.

“Lagi pun, KITA tidak akan sampai ke mana-mana,” kata sumber yang dekat dengan PKR kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan DAP pula memberitahu, paling awal Zaid kembali secara rasmi dalam Pakatan selepas pilihan raya umum nanti, kemungkinan besarnya ke DAP.

Walaupun ada cakap-cakap bahawa ada suara kecil yang mahukan beliau kembali kepada PKR, tetapi penolakan dalaman – akibat serangan berterusannya kepada parti itu bermula dari isu pemilihan langsungBsebelum ini – menjadi halangan besar.

DAP pula walaupun sebelum ini dikatakan kuat menentang penyertaan Zaid dalam PKR pada Jun 2009, kini dikatakan lebih bersikap lunak ekoran dasar barunya yang mahu menarik seramai mungkin pemimpin Melayu.

Bagaimanapun, DAP – yang menghadapi masalah persepsi 'parti Cina' – juga perlu mempertimbangkan keselesaan rakan gabungannya, terutama PKR yang dilihat masih ragu-ragu terhadap usaha Zaid mendekati Pakatan.

“Melihat apa yang sudah dilakukan Zaid, sukarlah untuk parti menerimanya kembali,” kata sumber PKR sambil memberitahu isu itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik mereka beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, walau apa pun spekulasinya, karier politik Zaid yang dilihat berubah-rubah amat sukar diramal, sejak beliau meletakkan jawatan secara mengejut daripada Umno dan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Septermber 2008.

Melalui KITA pula, beliau sebelum ini pernah memohon maaf kepada perdana menteri kerana tidak pernah yakin pada keupayaannnya memansuhkan ISA tetapi tidak lama selepas itu kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

Kesemua ini dipertimbangkan dengan teliti oleh Pakatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...