28 Februari 2011

Kerajaan lulus kemasukan 45,000 pekerja asing

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Kerajaan bersetuju meluluskan kemasukan 45,000 pekerja asing, kebanyakannya dari India, bagi memenuhi permintaan 13 sektor perniagaan kecil di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata kelulusan itu dibuat selepas kerajaan melihat masalah dihadapi sektor berkenaan seperti restoran, kedai runcit, dan industri tekstil yang kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

“Mereka telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan pihak saya melalui Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di mana mereka minta kerajaan meluluskan 90,000 pekerja asing.

“Tapi selepas berbincang, buat sementara waktu ini kerajaan bersetuju untuk meluluskan kemasukan 45,000 pekerja,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) oleh bekas presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu di sini.

Subramaniam berkata pekerja itu akan diagihkan mengikut 13 sektor perniagaan itu yang dijangka dibuat dalam tempoh sebulan.

Wisma Primas enam tingkat di Jalan Dato’ Haji Eusoff di sini, telah diubahsuai dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana yang menelan kos RM3 juta.

Selain menjadi pusat pengurusan untuk pembangunan persatuan itu, wisma tersebut turut menempatkan Pusat Latihan Kemahiran Primas untuk melatih pekerja-pekerja restoran dari persatuan itu. — Bernama

27 Februari 2011

"Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya"

Pertemuan eksklusif Perdana Menteri dengan ahli-ahli Parlimen BN beberapa minggu lalu -- yang disifatkan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebagai muhasabah perdana -- menghangatkan lagi teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13. Usia penggal Parlimen masih terlalu muda, belum pun mencecah tiga tahun, namun ia tidak menghalang rakyat berbicara soal pilihan raya segera. Apa pun, saya belum dapat melihat keperluan Najib Razak mencadangkan pembubaran Parlimen.

Saya pernah menghujahkan bahawa Umno-BN begitu memerlukan dana politik yang begitu besar bagi "membeli" undi, dan melicinkan jentera kempennya, sebelum menentukan tarikh PRU13.

Usaha mengumpulkan wang berbilion ringgit itu, terutama melalui projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, baru sahaja bermula. Sekurang-kurangnya ia memerlukan masa enam bulan lagi. Lagi pun, seperti ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, rasanya Najib tidak mahu bacaan politiknya terlalu mudah dibaca.

Dalam masa sama, Najib juga tidak dapat menyembunyikan kekhuatirannya terhadap pengaruh Buku Jingga, yang memperincikan janji-janji Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari memerintah, sekiranya dapat menguasai Putrajaya nanti.

Sekali lagi, ia suatu promosi percuma yang baik. Sama ada rakyat sangsi dengan tawaran itu, disebabkan terpengaruh dengan sanggahan Najib bukan isu besar. Yang penting, Najib dan BN dalam situasi terpaksa mempertahankan diri, bukan lagi di posisi penyerang, satu kedudukan yang agak lemah bagi sebuah parti pemerintah.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Pakatan Rakyat harus berada dalam kedudukan selesa. Malah, saya agak bimbang, dengan beberapa "pergolakan dalaman" dan masalah antara-parti dalam Pakatan. Seharusnya diberikan prioriti bagi mencari jalan keluar.

Sering ditekankan, PRU13 adalah kesempatan memilih kerajaan, bukan sekadar meneguhkan peranan pembangkang sebagai "semak dan imbang". Apa jua keraguan -- biarpun kecil -- terhadap keupayaan dan kemampuan Pakatan mesti dipandang serius dan diperbaiki.

Dalam masa sama, usahlah ghairah berkhayal dengan impian indah ke Putrajaya. Saya dimaklumkan, ramai yang kurang senang dengan pemaparan sepanduk, poster dan kain pemidang, yang seolah-olah menonjolkan "kerakusan" petugas Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Ada orang awam yang melahirkan rasa tidak selesa dengan petanda "ketamakan mengejar kuasa" itu.

"Itu 'kan perangai Umno. Bukankah Pakatan ada negeri yang perlu dijaga dengan baik dan ditunjukkan kemampuan berbakti kepada rakyat?" komen seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya.

"Memang rakyat resah dengan kenaikan harga barang. Mereka diasak pelbagai masalah harian. Tetapi, soal kita nak tawan Putrajaya tak perlulah heboh-heboh, tak perlulah misalnya dikaitkan ucapan selamat tahun baru pun dengan matlamat politik kita. Nanti orang meluat," tambahnya.

Keputusan PRU12 menunjukkan rakyat tidak dapat menerima sikap angkuh-sombong pemimpin politik. Mereka akan menolak wakil rakyat yang dilihat mementingkan diri.

Dalam politik, seringkali persepsi adalah segala-galanya. Justeru, jangan sesekali memberi mesej atau isyarat yang mungkin ditafsirkan rakyat daripada sudut negatif. Sudah ada kritikan terhadap gaya hidup wakil-wakil rakyat Pakatan, yang meninggalkan kesederhanaan dan mula berjinak-jinak dengan kemewahan.

"Di peringkat akar umbi, di kampung-kampung, yang amat memerlukan sokongan orang Melayu bagi mencetuskan perubahan di peringkat pusat, saya tidak nampak kesungguhan petugas PAS untuk mendaftarkan anak-anak muda sebagai pengundi. Ia berbeza dengan gerakerja DAP yang lebih proaktif. Kalau hal paling asas itu pun terabai, usah mimpilah nak tawan Putrajaya," tegur seorang bekas pemimpin pelajar, yang kini menetap di desa kelahirannya, di selatan tanahair.

Saya cuba melihat segala pandangan dan teguran itu daripada sudut positif. Masih ada ruang untuk penambahbaikan baik kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan mahupun wakil-wakil rakyat yang sentiasa diperhatikan.

Persiapan menghadapi PRU13 tidak sepatutnya menonjolkan keghairahan Pakatan terhadap kuasa yang dikejar, tetapi sewajarnya mendekatkan diri dengan rakyat, sehingga denyut nadi kesempitan hidup golongan bawahan dapat dirasai dengan ikhlas.-A.Lutfi Othman

Pilihanraya Sarawak : BN boleh menang tetapi tidak mustahil akan tumbang.

Pilihanraya negeri Sarawak kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit bagi negeri itu. Pembangkang nampaknya siap sedia untuk menghadapi kekuatan kuasa Taib Mahmud dan kali ini Taib tidak boleh lagi merasa keyakinan yang berlebihan yang beliau akan membawa kemenangan mutlak seperti yang beliau pernah berikan kepada BN.

Kesungguhan pihak yang membangkang untuk mengambil alih dari BN Sarawak pimpinan Taib kali ini lebih nyata kerana suara-suara halus yang inginkan perubahan dan peralihan kuasa di kalangan rakyat negeri itu semakin hari semakin kuat. Oleh kerana BN pimpinan Taib begitu bermaharajalela pada pandangan masyarakat maka banyak idea yang innovatif muncul untuk mendekati rakyat bagi memujuk mereka untuk melakukan perubahan untuk kebaikan negeri itu.

Masalah parti-parti pembangkang ialah untuk menghampiri rakyat pengundi di kawasan pedalaman yang mudah dilakukan oleh BN yang berkuasa. Blog ini telah menyebutkan bagaimana parti-parti pembangkang selama ini menghadapi kesulitan untuk mendekati pengundi di kawasan pedalaman seperti di rumah-rumah panjang dan kawasan penempatan-penempatan rakyat yang miskin.

Setiap kali pilihanraya pengempen-pengempen bagi parti pembangkang tidak dapat mendekati pengundi dengan mudah kerana penekanan yang dilakukan oleh Taib Mahmud dengan kuasa politik dan wang yang ada kepada beliau. Kalaulah negara kita melaksanakan demokrasi secara tulin dengan memberikan pembiayaan kepada parti pemerintah dan alternatif dan dibenarkan kedua-dua pihak mendekati rakyat dengan terbuka, perubahan di Sarawak sudah lama berlaku.

Kali ini pembangkang yang begitu serius untuk menolak kepimpinan BN di bawah Taib telah menggunakan kaedah mendekati rakyat dari jauh dengan menggunakan perkhidmatan radio, ‘Free Sarawak Radio’ yang beroperasi dari Convent Garden, London yang diharapkan dapat mendekati hati rakyat yang ingin diperjuangkan oleh pihak yang ingin melihat tamatnya pemerintahan kuku besi Taib selama ini.

Dengan adanya gerakan seperti ini terhadap sesuatu pemerintahan ianya hanya membawa satu kefahaman bagi mereka yang mempunyai pemikiran siasah yang serius; iaitu mereka serius untuk memperbetulkan keadaan yang begitu serius yang dihadapi oleh rakyat. Bagi rakyat Sarawak yang tidak boleh berbuat apa-apa oleh kerana kuasa politik yang menekan yang dilakukan oleh Taib, kumpulan yang sedar dan insaf akan tanggungjawab mereka terhadap negeri kelahiran mereka terpaksa melakukan gerakan yang mereka anggap sebagai tanggungjawab yang patut dipikul oleh mereka untuk membetulkan keadaan.

Kalau gerakan yang begitu seirus dilakukan oleh anak-anak Sarawak dengan kaedah yang betul-betul disiplin, selalunya gerakan itu akan berjaya. Banyak contoh-contoh yang boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri yang perubahan boleh berlaku dengan sekelip mata sahaja.

Banyak perubahan telah berlaku dengan pantas dan apa yang berlaku di keseluruhan Semananjung Arab dan Utara Afrika sekarang ini adalah contoh yang sedang kita lihat dengan begitu jelas. Keruntuhan Tembuk Berlin yang telah memisahkan Jerman kominis dengan Jerman yang demokratik pada tahun 1989 dahulu berlaku dalam masa sebulan dua sahaja.

Di negara-negara Arab tidak ada parti-parti politik yang dibenar beroperasi secara halal pun boleh melakukan perubahan dengan cepat tetapi mereka melakukannya dengan cara berkonfrontasi yang merbahaya. Tetapi di negara kita, rakyat tidak perlu melakukan demonstrasi jalanan kerana kita mempunyai banyak parti-parti politik yang dihalalkan oleh perlembagaan negara dan rakyat hanya perlu memberikan undi kepada mereka melalui pilihanraya yang diadakan setiap 45 tahun sekali.

Rakyat tidak perlu berpenat lelah untuk berdemonstrasi dan melumpuhkan sistem kehidupan seharian kita. Walaupun begitu banyak kenyataan pemimpin-pemimpin kita membuat kenyataan untuk menyedapkan telinga dan hati sendiri, hakikatnya tetap yang BN di Sarawak tidak lagi sebuah ‘coalition’ yang semantap dahulu.

Penolakan rakyat semakin hari semakin jelas dan dengan adanya kesempatan untuk melakukan perubahan secara aman di negara ini maka kesempatan inilah yang memungkinkan BN kecundang dalam masa yang terdekat ini. Alasan untuk menolak kepimpinan BN oleh Taib ini adalah merupakan asas yang tidak lagi boleh dipersoalkan kebaikan niat pihak yang inginkan perubahan ini.

Dalam masa dan zaman ini mana-mana pemerintahan yang dikendalikan oleh seorang individu yang seperti pemerintahan sistem Raja dan Maharaja seperti di negara-negara Arab akan mendapat tentangan dari rakyat yang inginkan cara pemerintahan yang tidak rasuah yang menerbitkan sistem krnism yang begitu menebal. Di Sarawak elemen ini jelas kedapatannya.

Jika ada pihak yang serius yang melakukan pembelaan kepada rakyat maka isu penekanan Taib dan parti pemerintah terhadap rakyat dan siasah negeri itu, pihak itu akan mudah mendapat sokongan dan dukungan rakyat yang ramai.

Hanya yang perlu dilakukan oleh parti-parti pembangkang ini ialah untuk mendekati rakyat dengan waktu dan masa yang mencukupi untuk melakukan perubahan itu. Alasan untuk rakyat memberikan sokongan terhadap usaha mereka adalah kuat dan jika ada apa-apa perubahan di Sarawak, itu adalah perubahan yang akan membawa keabikan dan faedah kepada negeri dan rakyat negeri itu.

Kita perlu ingat, perubahan drastik dan cepat memang tidak mustahil untuk berlaku dan dialami dizaman sekarang ini. Perubahan memang tidak lagi mustahil.-Aspan alias

RAIS YATIM SAMAN BLOGGER LAGI


Oleh: KREW SABAHKINI.NET

BAGAIKAN cuba menegak benang yang basah, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim hanya berani menyaman laman web dan blog amatur dan separa professional seperti Sabahkini.net; namun tidak berani menyaman Rocky Bru yang mula mendedahkan kes ‘Menteri Rogol Amah’.

Bagaimanapun Ketua Pengarang dan C.E.O Sabahkini.net, Mutalib M.D enggan mengulas tindakan Rais kerana beliau hanya menerima saman berkenaan secara tidak sah iaitu melalui email dan mengakui akan mengabaikan sahaja saman berkenaan.

“Saya tidak ingin mengganggu siasatan polis berhubung kes berkenaan ekoran laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu. Jika Rais ingin meneruskan saman beliau terpulanglah, tetapi saya rasa tidak perlu respon kerana Sabahkini.net menyiarkan berita yang berdasarkan sumber yang sahih,” ujar Mutalib melalui email yang dikirimkan kepada editorial Sabahkini.net.

Mutalib yang kini sedang bercuti turut mengirimkan saman yang di’forward’kan kepadanya melalui email oleh Tetuan Shahbudin & Rozima namun belum disampaikan ke tangannya secara peribadi.

“Biarlah kalau dia mahu saman. Itu hak dia. Tetapi berdasarkan salinan yang diemail kepada saya, No Case To Answer,” kata Mutalib ringkas melalui email selanjutnya.

Berikut, salinan Writ Saman yang dikemukakan Rais melalui peguamnya untuk tontonan pembaca Sabahkini.net yang menunjukkan bahawa Rais hanya mahu mengalihkan perhatian umum terhadap reputasinya dan belajar menjadi pendeta yang cuba menterjemahkan bahasa mengikut fahaman Minangkabaunya yang cetek!

salinan Writ Saman:

http://sabahkinimirror.blogspot.com/2011/02/rais-yatim-saman-sabahkininet.html

'Jabatan agama ambil alih semua masjid di Kerdau'


Sejurus selepas mulanya tempoh rasmi berkempen, calon PAS Hassanuddin Salim mendakwa Jabatan Agama Islam Pahang kini mengambil alih secara sementara semua 22 masjid di DUN Kerdau.

Dakwanya, tindakan itu akan memberikan kelebihan kepada lawannya Syed Ibrahim Syed Ahmad daripada BN yang mudah berkempen di rumah ibadat tersebut dan tidak memberikan peluang sama rata kepadanya."Kita tidak marah dia hendak kawal semua. Tetapi saya menyeru kepada kerajaan supaya memberika peluang sama rata kepada kita supaya rakyat dapat menilai (hujah masing-masing)," katanya.

Berceramah pertama kali sebagai calon yang disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, Hassanuddin berkata, jika dibandingkan dengan calon BN yang berlatarbelakangkan pengajian Islam, beliau yang didik dalam parti Islam juga tidak kurang pengetahuan agamanya.

"Kalau setakat berkhutbah dan memberikan tazkirah itu, selepas didik dalam parti Islam (PAS), saya rasa saya juga mampu. Saya menyeru, berilah supaya rakyat dapat menilai (kedua-dua calon)," katanya di hadapan kira-kira 100 penyokong PAS dalam ceramah dan perlancaran Buku Jingga Pakatan Rakyat di DUN Kerdau.

Turut sama dalam majlis itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin penting Pakatan Rakyat lain, termasuk Naib Presiden PKR Fuziah Salleh dan pengarah strategik parti itu Rafizi Ramli.

Hassanudin juga menyeru penyokong parti itu bekerja bersungguh-sungguh memenangkan wakil PAS supaya ia memberika isyarat kesediaan mereka merampas teraju pemerintahan Pahang dan negara ini daripada BN."Kemenangan di Kerdau ini juga penting untuk kita tunjukkan pelaksanaan dalam Buku Jingga," katanya sambil mengingatkan kebangkitan rakyat di Timur Tengah seperti di Tunisia dan Mesir.

Dalam pilihan raya kecil pada 6 Mac ini, Hassanuddin menggalas tugas berat untuk menewaskan Syed Ibrahim yang juga penasihat agama kepada menteri besar Pahang dan seorang yang berpendidikan agama daripada Universiti Al-Azhar - pusat pengajian paling berpengaruh dalam dunia Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...