05 Mac 2012

DAIM: KABINET NAJIB ,STRUKTUR SALAH ADA KEPENTINGAN

Daim: PM tak harus pegang jawatan menteri kewangan

Seseorang perdana menteri tidak seharusnya juga memegang jawatan menteri kewangan, kata pemimpin veteran Umno dan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, tradisi perdana menteri memegang dua jawatan itu menjadi amalan sejak krisis ekonomi 1997, yang dipantau rapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Daim dalam wawancaranya dengan akhbar harian Cina, China Press yang diterbitkan hari ini, berkata, perdana menteri sebagai ketua pentadbiran sesebuah negara, dan juga selaku pengerusi BN dan ketua Umno mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sebegitu besar untuk turut mengendalikan kewangan kementerian juga.

Katanya, dengan melantik menteri kewangan kedua bagi membantu perdana menteri tidak akan membantu dalam perkara itu.

"Jawatan menteri kewangan kedua diwujudkan bagi menangani krisis ekonomi (1997).

"Sekarang tempoh krisis sudah berakhir tetapi negara masih mempunyai menteri kewangan dan

menteri kewangan kedua pada masa yang sama. Siapa yang membuat keputusan sebenar?” kata Daim yang berkhidmat pada sekitar tahun 1980-an.

Katanya, perdana menteri yang merangkap sebagai menteri kewangan akan tertakluk kepada bidasan dan kritikan sengit jika ekonomi negara merudum.

"Sistem yang baik adalah perdana menteri di atas menteri kewangan. Jadi, jika menteri kewangan membuat keputusan yang salah, perdana menteri boleh tampil dan membetulkan keadaan, "

"Tetapi jika perdana menteri adalah menteri kewangan pada masa yang sama, tiada siapa yang berani untuk menegur atau memperbetulkannya,"
katanya

04 Mac 2012

WANITA TERHANGAT & TERBURUK 2012, TIDAK DILANTIK SEMULA SENATOR

Sin Chew : Shahrizat Mungkin Tidak DiLantik Semula Senator


KUALA LUMPUR, 4 MAC : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mungkin tidak akan dilantik semula sebagai Senator apabila penggalnya berakhir pada 8 April, lapor akhbar Sin Chew.

Jika tidak dilantik semula, Shahrizat terpaksa melepaskan jawatan dalam Kabinet susulan skandal Perbadanan Fedlot Kebangsaan (NFC) yang membabitkan suami dan anak-anaknya.

“Jika tidak ada perkembangaan baru, Shahrizat mungkin tidak dapat melanjutkan tempoh pelantikannya sebagai senator manakala kedudukannya di Kementerian tidak diisi sehingga Parlimen dibubarkan,” lapor akhbar berbahasa Cina itu.

Beliau dilantik sebagai senator dan Menteri Kabinet walaupun tewas pada pilihanraya umum tahun 2008.

Ketua Wanita UMNO itu kerap menegaskan isu NFC tidak ada kena mengena dengannya dan adalah sebuah projek yang diuruskan oleh suami beliau.

Pembangkang mendakwa suami dan anak-anak Shahrizat menggunakan sebahagian daripada pinjaman kerajaan RM250 juta untuk membeli tanah, kereta mewah, kondominium serta untuk pelaburan di luar skop projek ternakan lembu daging.

PRU-13 : GILIRAN NAJIB ' DIHUKUM '

PRU-13: Giliran Najib 'dihukum', kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kesilapan lalu BN tidak membawa sebarang makna melainkan ia disusuli dengan langkah-langkah pembetulan.

Menurut beliau, antara keutamaan Najib kini ia menyelesaikan gejala rasuah dan salah urus dana awam, seperti yang melanda projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Sama ada memohon maaf atau tidak, kata Saifuddin, hukuman sedia menanti pemimpin BN dan

sekiranya rakyat memutuskan bahawa Pakatan Rakyat berkuasa, mereka akan bertindak ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa.

"Kita akan heret mereka satu per satu untuk dibicarakan di mahkamah jika kita mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya pada ceramah di Sungai Petani, malam semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, semalam yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari berhubung kepincangan pentadbiran BN, khususnya Umno sehingga membawa kepada kekalahan mereka di Selangor dan Kedah.

Kali pertama, Najib mengakui kesilapan BN dan Umno itu adalah pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas permohonan maaf itu, Saifuddin berkata, walaupun pengundi di Selangor, Kedah dan tiga lagi negeri lain telah "menghukum" BN pada tahun 2008, namun pilihan raya umum akan datang adalah peluang untuk menghukum Najib pula.

Ini, kerana menurut Saifuddin, Najib selepas mengambil-alih pentadbiran Putrajaya daripada Tun Abdullah Badawi yang digulingkan oleh Umno pada tahun 2009, tidak mengambil sebarang tindakan bagi memperbetulkan segala kepincangan BN.

"Kita masih belum menghukum Najib. Kita akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang ini," katanya, seambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.

Mengapa Dr Rosmah dibenci, sehingga menjejaskan kredibiliti BN


Marilah kita berterus-terang. Ingat, ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa tetapi kita harus jujur pada diri sendiri.

Persoalnya ialah, mengapa pasangan Perdana Menteri kita sekarang – yang dikenali sebagai 'Wanita Pertama Malaysia' begitu banyak mendapat liputan buruk di media alternatif?

Sudah lebih 50 tahun sejarah negara kita, tidak pernah sekalipun keadaan di mana rakyat begitu benci akan isteri seorang pemimpin.

Isteri perdana menteri pertama Malaysia tidak pernah diadili oleh rakyat. Tun Hussein Onn mahupun Tun Abdul Razak, malah Tun Doktor Mahathir yang begitu teruk dikecam rakyat pun, isterinya tidak pernah sedikitpun dikritik oleh rakyat.

JIka diamati, Badawi yang dilabel rakyat sebagai 'Mr. Sleepy Snoopy’ ' tidak juga pernah mendapat kritikan terhadap isterinya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Semua pasangan pemimpin yang lalu tidak pernah dikritik oleh rakyat sama ada dalam media mahupun menjadi topic perbualan peribadi.

Tetapi lain pula dengan Rosmah ...

Dalam kes Datin Dr. Rosmah - isteri kedua Perdana Menteri kita kini, dia saban hari menjadi sasaran kritikan rakyat. Setiap tindak-tanduknya, sama ada kehidupan peribadi mahupun penampilan awam tidak pernah terlepas dari mata rakyat. Mengapakah begitu?

Malah dalam dunia korporat - terutamanya dikalangan GLC, para eksekutif bercerita bagaimana sulitnya keadaan mereka kerana acara rasmi perlu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri. Benarkah begitu?

Malah pada mula-mula Najib mengambil alih tampuk kepimpinan negara, telah ada gosip liar bahawa Lee Kuan Yew berjumpa isteri Najib dan bukan timbalan PM. Rakyat mempersoalkan 'kenapa?'Yang lain pula bertanya "kenapa tidak Timbalan PM?" Benar atau tidak, bukan ini persoalannya. Sebaliknya, mengapa mereka mensasarkan FLOM?

Pelbagai rencah peristiwa yang diperdengarkan. Hanya dengan membuat pencarian di internet sahaja sudah cukup membuat anda terkejut.

Walaupun kita tidak boleh menerimanya seratus peratus, marilah kita mengambil contoh media aliran perdana. Adakah FLOM tahu bahawa walaupun media memberikan liputan yang luas dan positif terhadapnya, ia bagaikan berpaut pada sejengkal tali sahaja. Tanyalah pada mereka yang diberi gaji oleh kompeni media ini. Mereka akan memberi senyuman sinis; berkumpul sesama orang media dan bergosip tentang cerita-cerita yang disajikan.

Jadi mengapa?

Kenyataan yang paling sukar untuk difahami ialah MENGAPA? Mengapa isteri Perdana Menteri kita menjadi mangsa ejekan rakyat? Mengapa dia menjadi sasaran rakyat? Mengapa orang ramai begitu tidak bertimbang rasa terhadapnya? Atau dalam erti kata lain, mengapa orang ramai "cemburu" akan kemenangan, kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadapnya?

Apa kena mengena dengan rakyat sama ada mereka suka atau tidak pada Rosmah?

Bagi rakyat Malaysia, mereka jenis yang cukup bersopan santun. Bukan menjadi kebiasaan mereka untuk mencemarkan nama baik isteri seorang pemimpin untuk sekadar suka-suka sahaja. Sudah semestinya ada sesuatu yang tidak kena.

Mungkin, Datin Dr Rosmah perlu segera berundur dan bermuhasabah, mungkin dia perlu menjauhkan diri dari mata awam buat seketika untuk mengetahui mengapa rakyat begitu jelik padanya.

Yang penting sekali, isteri seorang pemimpin mesti mendapat sokongan dan penghormatan dari rakyat. Bangsa dan agama dan parti politik tidak penting di sini. Dia mesti dilihat sebagai seorang wanita yang prihatin dan menyokong aspirasi negara - bukan pembela kesinambungan politik suaminya dan tidak hanya seperti memperjuangkan kepentingan sendiri.

Dia tidak boleh nampak seperti memusuhi pembangkang seperti apa yang dikhabarkannya. Dia juga bukanlah 'mangsa' yang perlukan pembelaan.

Sukar bukan? Ya, sudah pasti. Inilah isteri kepada tokoh politik sebenar di mata rakyat.

Belajar daripada wanita lain

Caranya ialah untuk belajar daripada isteri-isteri tokoh yang lepas. Yang paling penting ialah personaliti, perwatakan, integriti dan sikap merendah diri dan ikhlas yang nampak pada diri isteri pemimpin itu.

Ingatlah bahawa kita hidup dalam zaman dimana semuanya boleh nampak dari mata kasar manusia, diluar mahupun didalam. Maklumat begitu mudah tersebar tanpa kita boleh menghalangnya. Orang ramai mempunyai kuasa dan cara untuk menampakkan sikap 'dalaman' seseorang kepada dunia luar. Mereka juga tahu niat seseorang melalui tindakan dan kata-kata.

Oleh itu kita hidup dibawah penelitian umum. Kita tidak boleh bersembunyi. Mungkin ada yang akan mengeluh, "Wah, jika macam tu,susahlah nak hidup '.

Ia sebenarnya senang jika anda mempunyai niat, motivasi dan kesedaran yang betul. Pada dasarnya ia berkaitan dengan peranan dan cara memainkan peranan itu.

Najib mesti mengawal tindakannya

Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak boleh membiarkan sahaja semua kritikan yang dilontarkan terhadap isterinya. Begitu juga dengan mengatakan ini adalah kerja 'pembangkang'.

Selain daripada bekerja keras untuk diterima rakyat akan kepimpinannya, dia juga mempunyai tugas yang berat untuk memastikan bahawa isterinya bukan sesuatu masalah yang dia tidak boleh atasi.

Lagipun, bukankah benar bahawa di sebalik setiap lelaki yang berjaya atau gagal ada seorang wanita dibelakangnya? PM mesti bersikap ambil tahu tentang pendapat umum dan tidak hanya menolak semua ini sebagai sesuatu yang tidak berasas. Dia tidak boleh berbuat demikian kerana demi kepentingan parti politik dan keprihatinan negara, mengabaikan atau menolak kritikan-kritikan ini seolah-olah ia hanya datang dari rakyat yang tidak berpuas hati.

Harap maklum balas ini diterima dengan baik sangka dan tidak ditolak sebagai sesuatu yang membuang masa sahaja!

Written by J. D. Lovrencie -Malaysia Chronicle

Salahuddin: Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai'


[TERKINI 4.30 PAGI] ALOR SETAR - Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di sini, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi, telah mencapai satu penyelesaian yang diputuskan "secara sebulat suara", kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub awal pagi ini.

Menurut beliau, keputusan itu yang diterima semua pihak akan diumumkan dalam waktu terdekat, kemungkinan tengah hari ini, pada sidang media khas.

Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sekitar jam 4 pagi tadi.

Wartawan yang menunggu sejak 8 malam tadi dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan hari ini. Lokasinya akan diberitahu kemudian.

Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Negeri.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.

Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi ini, apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco pula berkata, biar Pas Pusat memberikan kenyataan terlebih dahulu.

Difahamkan kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin.

Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak dipanggil untuk memberi hujah.

Kedua-dua pertemuan ini, sebahagian daripada usaha Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri, diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri.

Dalam laporan awal Sinar Harian Online, disebutkan bahawa pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis, tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad. Banyak pihak meragui sama ada pertemuan misi damai akan membawa formula penyelesaian.

Dalam pada itu, antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal pada pertemuan kali ini di Seri Mentaloon ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Salahuddin serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz merupakan pemimpin dari Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pun begitu, Sinar Harian Online difahamkan hampir sebahagian besar ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah menghadiri pertemuan kali ini.

Pertemuan misi damai ini hanya bermula sekitar jam 10 malam tadi, lewat sejam berbanding maklumat yang diperoleh sebelum ini.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar untuk membuat liputan, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama Seri Mentaloon.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pertemuan sejak 8 malam tadi juga melaporkan bahawa setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk.

Sinar Harian Online juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar.
Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat.

Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...