24 Februari 2015

KERETA PG1 JADI VIRAL SEMALAM, INI JAWAPANNYA....

Kereta Guan Eng jadi viral


Pemandu terima saman salah parking kereta menteri


Rozali menunjukkan saman dari MPPP yang diterimanya kerana kesalahan meletakkan kenderaan rasmi Ketua Menteri.

GEORGETOWN - Pemandu khas Ketua Menteri Pulau Pinang tampil menjelaskan berhubung kesalahan kereta rasmi itu diparkir sebelah pili bomba yang menjadi viral dalam media sosial kelmarin.

Rozali Ishak, 54, berkata, ketika kereta itu diparkir, dia berada dalam kenderaan itu kerana semua kotak parkir di hadapan Dewan Perniagaan Cina penuh.

“Pada hari kejadian, saya menghantar Ketua Menteri ke Dewan Perniagaan Cina untuk menghadiri sebuah majlis. Bagaimanapun, semua kotak parkir berdekatan sudah penuh dan saya kemudiannya bergerak ke Lebuh King untuk parkir di sana. Saya akui, memang saya parking di sana tetapi saya tidak tinggalkan kereta di situ, saya berada di dalam kereta
untuk menunggu Ketua Menteri.

“Pada waktu itu, saya nampak seseorang mengambil gambar kereta tetapi hanya membiarkan sahaja kerana saya bukannya tinggal kereta itu sebaliknya menunggu di dalam kereta,” katanya kepada media semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Guan Eng jadi viral]

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Rozali sudah menerima saman dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dikeluarkan semalam.

Guan Eng turut meminta agar perkara itu tidak diperbesarkan sebaliknya meminta media menumpukan pada isu besar yang lain.

“Sebelum ini saya ada nyatakan, jika ada yang tidak kena, kita akan minta MPPP ambil tindakan. Tetapi media janganlah menjadikan isu parkir ini satu isu yang besar. Banyak lagi isu besar yang boleh ditulis dan dilaporkan. Saya hairan, banyak isu penting lain, mengapa isu parkir kereta saya diperbesarkan pula. Rozali menjadi pemandu saya sejak 2008 dan dia tidak mempunyai sebarang masalah.

“Saman sudah dikeluarkan MPPP dan pemandu saya sudah terima saman berkenaan.

"Ia menunjukkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang adalah sebuah kerajaan yang cakap serupa bikin selain tidak mengamalkan pilih kasih (double standard).

"Kita juga sebuah kerajaan yang menegakkan undang-undang, apa yang dijanjikan, kita tepati,” katanya.

Guan Eng turut menyindir beberapa orang pemandu khas kepada menteri yang didakwa melakukan perkara sama namun tidak dilaporkan media.

“Kereta rasmi menteri lain pun ada yang parkir di tempat yang tidak dibenarkan tetapi mengapa tidak dijadikan viral?

“Saya mohon agar media tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ apabila menulis laporan berita,” katanya.

Terdahulu, kereta Guan Eng jenis Mercedes Benz S300L dengan nombor pendaftaran PG1 sekali lagi dijadikan viral dan dikecam teruk dalam media sosial berikutan pemandunya meletakkan kereta itu bersebelahan pili bomba di Lebuh King.

Sebelum ini, kereta Guan Eng pernah menjadi viral di internet kerana diparkir di lorong basikal di hadapan Depoh Hin Bus di Jalan Gurdwa ~SH

Menteri ` SYOK SENDIRI' : IPT bertaraf dunia, tapi kenapa graduan tak ada kerja?


IPT bertaraf dunia, tapi kenapa graduan tak ada kerja?


BUKIT MERTAJAM, 24 FEB: Kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bahawa pengajian tinggi Malaysia bertaraf dunia bersifat ‘syok sendiri’ kerana hakikatnya kadar pengangguran graduan IPT Malaysia sangat tinggi kerana kurang kemahiran.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Pemuda DAP Steven Sim hari ini mempersoalkan kenyataan menteri UMNO itu di samping menyifatkannya sebagai satu gejala penyakit kerajaan yang selalu ‘percaya kepada penipuannya sendiri’.

“Jika benar IPT kita bertaraf dunia, 40 peratus graduan tempatan masih lagi menganggur, kenapa?

“Ini, menteri kena jawab,” kata Steven.

Mengikut peratusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan sekitar 30 hingga 40 peratus graduan masih menganggur atau berada di bidang kerja yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka, ujar Steven.

“Bank Dunia pula menyatakan pada 2013 kadar pengangguran pemegang ijazah sarjana muda di Malaysia adalah yang paling tinggi, satu dari lima orang graduan muda berusia bawah 25 tahun adalah penganggur.

“25.6 peratus dari 220,527 graduan tidak mempunyai kerja walaupun setelah enam bulan selesai pengajian mereka.

“Paling terkini laporan dari jabatan perangkaan 2014 mendedahkan 31 peratus dari penganggur Malaysia mempunyai ijazah pengajian tinggi mewakili jumlah 130,000 orang,” jelas Steven.

Graduan IPTA kurang kemahiran

Sehubungan dengan itu, Steven menambah penganggur yang mempunyai ijazah kebanyakannya adalah produk IPTA yang dikatakan Idris Jusoh sebagai universiti bertaraf dunia.

“Mengikut ‘Perangkaan Pendidikan Nasional: Sektor Pengajian Tinggi’ majoriti penganggur Malaysia adalah graduan IPTA.

“Ini kerana mengikut laporan Bank Dunia 2014, 62 peratus firma di Malaysia merungut tentang payahnya mencari pekerja berkemahiran walaupun peluang pekerjaan ada.
“Laporan itu menyimpulkan adanya jurang antara kemahiran yang diajar di IPT dengan keperluan majikan,” tambah Steven lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, kerajaan sebenarnya tahu realiti pengangguran di kalangan graduan ini. Kerana itulah kerajaan menjalankan “program-program pelatihan semula” kepada graduan seperti Skim Kebolehpasaran Siswazah (GEMS) dan Pasukan Kebolehpasaran Siswazah (GET).

Namun, program-program berkenaan menelan biaya sehingga berbilion ringgit, sedangkan IPTA seharusnya menyelesaikan masalah tersebut.

“Jika benarlah IPT negara kita bertaraf dunia, kenapa perlu belanja bilion ringgit lagi untuk pasarkan graduan kita?

“Malang sungguh apabila Idris Jusoh sanggup mengeluarkan kenyataan tidak jujur mengenai mutu IPT kita.

“Penafian berterusan terhadap krisis yang melanda sistem pendidikan kita oleh kerajaan hanya akan terus menyebabkan masalah ini semakin parah,” tegas Steven lagi.

NOMBOR ' RM ' DIBIDA LEBIH RM2 JUTA

JPJ Perlis Buka Nombor ‘RM’, Jangka Terima Bidaan Lebih RM2J 



Seorang pelanggan Sia Tiong Ming, 56, memasukkan borang tender nombor pendaftaran kenderaan siri 'RM' ke dalam peti tender ketika tinjauan fotoBERNAMA ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri dekat Kangar, hari ini. - Foto BERNAMA

KANGAR – Seorang kontraktor sanggup datang dari Muar, Johor semata-mata untuk membida nombor pendaftaran ‘RM’ yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis di sini, hari ini.

Sia Tiong Ming, 56, berkata beliau memperuntukkan RM100,000 semata-mata untuk mendapatkan nombor idamannya.

Beliau nampaknya tidak kisah beratur panjang untuk mendapatkan borang dan mengemukakan bidaan.

“Huruf RM membawa maksud Ringgit Malaysia, istimewa bagi saya dan mesti dimiliki.

“Untuk itu saya membida satu nombor yang sama bagi dua digit, tiga digit dan empat digit (nombor kahwin),” katanya semasa ditemui selepas mengemukakan bidaannya.

Seperti pembida lain, Tiong Ming merahsiakan nilai bidaannya.

Katanya beliau pernah membeli nombor sama untuk pendaftaran negeri Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kontraktor itu berkata, ‘mengumpul’ nombor pendaftaran menarik adalah hobinya.

Beliau sanggup membeli kenderaan baru untuk nombor pendaftaran yang dimenanginya dalam bidaan.

Pengarah JPJ Perlis, Zulhasmi Mohamad yang ditemui di pejabatnya berkata JPJ menjangka bidaan untuk nombor pendaftaran RM akan meningkat berbanding nombor pendaftaran sebelum ini.

Katanya JPJ Perlis pernah menerima bidaan sebanyak 1,797 bernilai lebih RM2 juta, tertinggi setakat ini.

Namun beliau menjangka bidaan untuk nombor RM akan jauh lebih tinggi.

Zulhasmi berkata bidaan untuk nombor pendaftaran RM bermula dengan nombor 2 hingga RM 9999 dibuka hari ini sehingga pukul 12 tengah hari 10 Mac depan.

Bidaan minimum adalah RM300 untuk nombor popular, RM2,000 untuk nombor menarik dan RM10,000 untuk nombor yang dikateogori bernilai utama, katanya.

Beliau berkata keputusan bidaan akan diumumkan pada 30 Mac depan dan setiap pembida akan diberitahu mengenai keputusan bidaannya

RINGGIT TERUS TURUN


Ringgit terus turun, dibuka rendah hari ini


Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.


KUALA LUMPUR, 23 Februari:

Ringgit meneruskan arah aliran menurun apabila dibuka rendah berbanding dolar AS, pada hari dagangan kembali dibuka hari ini selepas cuti panjang.

Pada 9.07 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 3.6440/6460 berbanding dolar daripada penutupan Rabu 3.6180/6230.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.6778/6813 daripada 2.6597/6653 sebelumnya dan jatuh berbanding yen kepada 3.0604/0628 daripada 3.0363/0407.

Mata wang tempatan turut jatuh berbanding pound kepada 5.6037/6083 daripada 5.5580/5671 yang dicatat pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.1447/148 daripada 4.1267/1335 minggu lalu.

Read more: SINI

23 Februari 2015

PANAS: MAHFUZ TUNJUK BUKTI SIRUL HUBUNGI BELIAU HARI INI





Selepas hampir 2 jam, Sirul hubungi kembali Mahfuz



Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menunjukkan teks pesanan ringkasnya dengan Sirul Azhar Umar kepada media pada sidang media pagi tadi di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur. 

Selepas hampir 2 jam, pembunuh Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar Umar berjaya dihubungi Datuk Mahfuz Omar kira-kira jam 1.10 petang tadi.

Ketua Penerangan PAS itu berkata, Sirul membuat 'missed call' padanya dan apabila Mahfuz cuba menelefonnya, bekas anggota Unit Tindakan Khas itu memberitahu sudah bersiap sedia menunggu panggilan ahli Parlimen Pokok Sena itu sejak pagi tadi untuk telesidang yang dijanjikan pada 11.30 pagi tadi.

Dalam perbualan telefon itu, Sirul mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepadanya dan turut berterima kasih pada kerajaan Australia kerana melindungi dirinya.

"Sirul juga ada mengatakan beliau akan mematuhi peraturan di pusat tahanannya di Australia.
Namun, beliau tidak akan bercakap lebih daripada apa yang diberitahu kepada Malaysiakini," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Mahfuz berkata, Sirul hanya akan memberitahu perkara selebihnya pada waktu yang sesuai.

Minggu lepas, Sirul memberitahu Malaysiakini beliau bersama Ketua Inspektor Azilah Hadri hanya menerima arahan dan pembunuh sebenar masih bebas.

"Walaupun kebanyakan pihak media yang sudah pulang dan hanya tinggal beberapa saja, tetapi bagi saya inilah masanya untuk menelefon Sirul kerana pagi tadi kebanyakan daripada kami tidak berjaya menghubunginya disebabkan gangguan talian.

"Saya kata padanya, saya sudah cuba menghubungi beliau dengan tiga nombor yang berlainan namun tidak berjaya kerana gangguan talian," katanya.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu dijadualkan mengadakan telesidang secara langsung bersama media Malaysia anjuran PAS pada jam 11.30 pagi ini tidak berjaya dihubungi apabila ketua Penerangan PAS itu cuba menghubunginya untuk beberapa kali gagal.

Pada masa sama, pihak media yang menunggu sejak jam 11 pagi mempersoalkan bagaimana mereka dapat mengenal pasti individu yang dihubungi Mahfuz itu adalah benar-benar Sirul yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Mahfuz bagaimanapun menunjukkan perbualan akhir beliau bersama Sirul menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) di pusat tahanan Imigresen di Australia sebagai bukti.

Sirul dan Azilah disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu.

Bagaimanapun Sirul tidak hadir semasa mahkamah menjatuhkan hukuman dan berada di Australia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...