29 Oktober 2014

LELAKI 'Y' BUKAN ANWAR -KATA PEGUAM

'Bukti diperoleh secara tak sah juga diterima'

LAPORAN LANGSUNG:

11.35pm: Sangeet berkata, hakim perbicaraan memutuskan bahawa barang-barang itu diperoleh dengan tujuan tidak adil.

Katanya, keputusan awal dibuat ketika beliau memilih menggunakan budi bicara tetapi perbicaraan utama menerima bukti-bukti itu.

“Kemasukan barang itu melalui cara tidak sah,” katanya.

Hakim Mohd Zabidin pada mulanya tidak menerima tiga barang itu – tuala, berus gigi dan botol air – sebagai bukti semasa perbicaraan dalam perbicaraan tetapi berubah selepas itu.

10.47am: Bagaimanapun, Hakim Arifin berkata, memperoleh bukti secara tidak sah juga diterima di Malaysia.

Sangeet berkata, pihak perayu ditahan di Jalan Segambut dan bertemu Jude di balai polis kira-kira ham 8 malam dan dibawa ke HKL.

“Anwar enggan beri DNA dia di hospital. Dia menggunakan hak yang dijamin perlembagaan untuk tidak berbuat demikian.

“Keseluruhan prosedur adalah salah kerana ia bertentangan dengan peraturan lokap (kerana tahanan harus berada dalam lokap sebelum jam 6 petang).”

Sangeet berkata, polis menahan Anwar semalaman ketika mereka tahu mereka berada di sana hanya untuk merakamkan kenyataan.

Tetapi, kata Sangeet, Anwar diberika tiga barang itu dan kemudian dikeluarkan secara berhati-hati.
'Lelaki Y' boleh jadi siapa saja, kata peguam

10.40pm: Sangeet berkata, perbicaraan dalam perbicaraan diadakan untuk menentukan kebolehterimaan tiga barang itu.

“(Peguam pembelaan) Sankara Nair dan R Sivarasa memberi keterangan dan mereka menceritakan bagaimana kereta Anwar diserbu (polis) ketika tahanan.

“Seorang superintenden Taufik memberi keterangan bahawa dia mendapat arahan untuk menangkap Anwar.

“Tiada alasan diberikan oleh Taufik untuk membuat tangkapan, yang memberi keterangan sebagai satu-satunya saksi dalam pendakwaan,” kata Sangeet.

10.30am: Sangeet berkata 'Male Y' boleh jadi sesiapa sahaja dan tidak semestinya Anwar.

Sangeet berkata, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, penyiasat di tapak berlaku jenayah Supt Amidon diminta memberikan bukti dan timbalan pendakwaraya (DPP) meminta tiga barangan itu diserah.

“Bagaimanapun (ketua pembelaan ketika itu) Karpal Singh membantah. Penerimaan tiga barang itu adalah salah. Mahkamah Tinggi tidak mahu menerima barang-barang itu.

“Bagaimanapun, hakim menyemak semula permohonan sejurus sebelum pendakwaan menutup kes.”

10.20am: Hakim Abdull Hamid bertanya, bilakan botol itu diberikan. Sangeet berkata ia diberi ketika soal siasat.

10.15am: Hakim Arifin bertanya sama ada terdapat sebarang barang ditinggalkan dalam sel sebelum Anwar memasukinya.

Peguam pembelaan Sangeet merujuk diari lokap yang menyebut ia kosong dan tiada tahanan lain.

Seorang lagi panel, Hakim Md Raus berkata, ketiga-tiga barang itu diberikan kepada Anwar tetapi Sangeet bertanya kembali sama ada ia digunakan oleh dia.

10.10am: Peguam pembelaan Sangeet berkata, penghakiman Mahkamah Tinggi menyatakan pegawai polis melihat Anwar menggunakan toilet sel dan memberus gigi pada 17 Julai 2008.

Bagaimanapun, kata Sangeet, pegawai polis itu hanya mendengar dan tidak melihatnya sendiri.


10.05pm: Sangeet, diari lokap menyatakan Anwar tidur pada waktu malam, bangun dan bersandar pada palang lokap sebelum mengambil air sembahyang dan bersembahyang sunat.

Anwar ditahan pada 16 Julai 2008 selepas pergi ke Hospital Kuala Lumpur dan tidur semalam di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

“Terdapat bukti langsung dan pendakwaan tidak boleh bergantung kepada bukti keadaan ketika terdapat bukti langsung.”

10am: Sangeet berkata, berus gigi, sabun dan tuala diberikan kepada Anwar semasa di dalam lokap.

Sangeet berhujah, tiada sebarang bukti daripada saksi polis menunjukkan bahawa Anwar menggunakan barang-barang itu.

“Diari lokap hanya menyatakan Anwar berada dalam penjara dan bersembahyang pada waktu pagi,” katanya,

“Tuala Good Morning”, berus gigi dan botol air mineral didakwa digunakan oleh polis bagi mendapatkan DNA Anwar tanpa pengetahuannya.

9.50am: Peguam pembelaan Sangeet Kaur Eeo pula memulakan penghujahannya.

Katanya, peguam utama Gopal Sri Ram berhujah bahawa Saiful bukan saksi berwibawa.

angeet menegaskan tindakan Mahkamah Rayuan mendapati Saiful sebagai saksi berwibawa tidak boleh dipertahankan kerana dia tidak membuat pengakuan.

Sangeet berkata, DNA daripada Anwar diperoleh daripada sel tempat dia ditahan sebelum ini.

Pendakwaan, katanya, gagal menghubungkan “male Y” kepada kes itu.

“Mahkamah Rayuan tidak boleh bergantung kepada keadaan di mana bukti langsung datang daripada pengakuan pegawai polis yang menjaga sel itu,” katanya.

9.45am Surendran memulakan penghujahan dengan memetik kenyataan pelbagai pihak berhubung keadaan daripada kandang tertuduh yang turut memberi kesan.

Anwar satu-satunya pihak yang memberi kenyataan daripada kandang tertuduh, yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati beliau tidak bersalah sebelum ini.

Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk pembelaannya sama ada memberi keterangan daripada kandang saksi, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah daripada kandang yang tidak boleh disoal balas.

“Mahkamah patut mempertimbangkan kenyataan Dr Mohd Osman yang bertentangan dengan Saiful. Mahkamah Rayuan patut mengambil kira kekuatan pengakuan Anwar di mahkamah yang mana ia sepenuhnya tidak endahkan.

“Ini menyebabkan penyalaharahan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan,” kata Surendran.

9.40am: Mahkamah mula bersidang selepas ketua hakim negara mengambil tempat.

9.30am: Shafee tiba.

Anggota Parlimen Sepang Mohd Hanipa Maidin yang juga seorang peguam turut berada dalam mahkamah.

Turut kelihatan naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.

9.20am: Mahkamah kini padat dan pihak tidak mendapat pas masuk diminta keluar.

Peguam utama Anwar Gopal Sri Ram semalam membayangkan beliau akan tiba lewat hari ini dan membenarkan peguam lain menjalankan penghujahan terlebih dahulu.

Peguam pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah dijangka tiba tidak lama lagi.

Prosiding mahkamah dijangka bermula 9.30 pagi.





9.00am: Keadaan sedikit kecoh ketika Anwar ingin memasuki kawasan Istana Kehakiman apabila penyokong mula menolak kembali pagar halangan.

Bagaimanapun pihak polis segera membuka pagar tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar dan menghalang orang awam daripada melepasi pagar tersebut.

Anwar yang berbaju kemeja putih dan kot hitam ditemani isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua orang anak perempuannya kemudian melambai kepada penyokong sebelum memasuki mahkamah.

8.57am: Anwar tiba di perkarangan Istana Kehakiman untuk bertemu penyokong sebelum menghadiri sesi pendengaran rayuan kes liwat II.

Kesemua penyokong kini mula mengerumuni Anwar untuk bersalaman dan bergambar dengannya.

8.50am: Naib Presiden PKR Tian Chua kini berucap di hadapan penyokong Anwar.

Tian berkata, beliau sebentar tadi telah cuba meminta kebenaran daripada pihak polis untuk berhimpun di hadapan Istana Kehakiman tetapi tidak dibenarkan.

"Tadi saya minta untuk berada berdekatan dengan mahkamah. Hari ini kita lagi jauh. Hari ini kita diarah untuk berada di belakang sini.

"Kita minta supaya kita berada di depan mahkamah untuk lakukan himpunan tapi polis tak benarkan," kata Tian.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Kesemua penyokong pro-Anwar kini dianjak kira-kira beberapa meter ke belakang berbanding semalam.

Jarak penyokong berhimpun daripada Istana Kehakiman kira-kira 300 meter.

8.40am: Peguam wakili Anwar mulai masuk ke mahkamah. Antara mereka Eric Paulsen, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal.

Wartawan pula duduk di bahagian kiri mahkamah sementara pemerhati antarabangsa, yang mula sampai, di sebelah kanan.

Semalam, hari permulaan pendengaran rayuan akhir, dewan mahkamah padat dengan kira-kira 80 orang hadirin, termasuk wartawan, pemerhati dan penyokong Anwar.


8.38am: Ketika tiba di perkarangan Istana Kehakiman, penyokong mula menolak pagar halangan yang diletakkan oleh Perbadanan Putrajaya bagi menghalang orang ramai daripada memasuki mahkamah.

Mereka mula menarik pagar halangan itu dengan menjerit "tolak".

Bagaimanapun pasukan polis menahan pagar berkenaan daripada dirempuh.

Seramai kira-kira 50 orang anggota polis mengawal di pagar halangan.

Selepas itu, keadaan mulai terkawal selepas Nik Nazmi meminta supaya semua penyokong bertenang.


8.25am: Kira-kira 300 orang berpakaian kemeja-t merah dan hitam, diketuai pemimpin PKR Nik Nazmi Ahmad dan Tian Chua berarak daripada Masjid Tuanku Mizan ke Mahkamah Kehakiman tidak jauh daripada tempat itu.

Mereka membawa kain rentang bertulis “Rakyat Hakim Negara” dan plakad “Keadilan untuk Anwar”.

Kira-kira 200 orang lagi berkumpul di kompleks mahkamah.

8.20am: Sudah berada di dewan mahkamah ialah timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria dan peguam Saiful Zamri Idrus.

8:05am: Kakitangan mahkamah tiba awal dan mereka melalui sekatan yang dibuka oleh polis di pintu masuk belakang kompleks mahkamah.

Beberapa ahli politik PKR dan PAS yang sudah berada di dalam bangunan. Ia termasuk MP Kelana Jaya Wong Chen, Naib Presiden PAS Sallehuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, ADUN Batu Buruk Syed Azman Syed Mohamad dan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

8.00am: Jumlah penyokong di luar Masjid Mizan Zainal Abidin Tuanku semakin ramai dan kini mencecah 100. Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli.

Adam dan empat orang lain bermain muzik untuk memberi semangat kepada orang ramai pada awal pagi.

Turut kedengaran teriakan 'Allahuakhbar', 'Reformasi' dan 'Bebas Anwar'.


7.20am: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di seberang jalan dari Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Antara mereka ialah anggota NGO Royalti dari Kelantan. Yang lainnya datang dari Kedah dan Pulau Pinang semalam dengan menaiki bas sewa khas.

Ramai yang menjangkakan keputusan dibuat hari ini walaupun prosiding boleh berlarutan sehari lagi atau lebih.

Sepertimana semalam, kelihatan kehadiran anggota polis yang ramai dan kawalan keselamatan yang ketat dengan sekatan di jalan-jalan utama menuju ke kompleks mahkamah.

Latar kes

Rayuan terakhir terhadap sabitan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung hari ini di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.


Pasukan pembelaan akan turut merayu terhadap hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar dan pendakwaan akan membuat rayuan balas untuk memanjangkan tempoh penjara terhadap ketua pembangkang.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai panel lima anggota dalam perbicaraan yang turut menyaksikan kehadiran pemerhati antarabangsa di samping sambutan luar biasa hadirin dalam mahkamah.

Paling mengejutkan semalam apabila bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang bersara pada 2010, mengepalai pasukan pendakwaan Anwar.

Beliau menggantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang tidak sihat.

Gopal semalam menyampaikan hujahnya dengan mencabar kewibawaan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi utama.

Peguam pembelaan N Surendran akan meneruskan hujahnya hari ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Anwar bijak. Keengganan beliau memberi sample DNA dulu telah menyelamatkan beliau dari disabit kesalahan secara teknikal... namun sesungguhnya Allah itu lebih Maha mengetahui. Dan azab Allah itu amat sakit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...