24 September 2014

BAHAYA: Jika UPSR bocor macam mana nak bina loji nuklear?

 Kerajaan patut memberi jaminan dalam menangani insiden kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya tidak berulang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kebimbangan berhubung rentetan insiden ‘bocor’ yang berlaku terhadap prasarana awam di Malaysia kini merebak hampir ke seluruh sistem pentadbiran negara, malah kepada soalan peperiksaan UPSR.


Lim turut mempersoalkan sekiranya kerajaan masih gagal menangani kebocoran kertas UPSR, adakah jaminan perkara yang sama tidak berlaku sekiranya loji janakuasa nuklear dibina di negara ini

“Ini adalah sesuatu yang memalukan dan kita perlu menilai kembali dengan berterus terang. Masalahnya ialah sistem kawalan dalaman. Selama ini tidak ada tindakan diambil apabila kelemahan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengingatkan bahawa Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mendedahkan ketirisan, pembaziran dan kebocoran yang berlaku sistem kewangan dan pentadbiran negara, namun tidak ada sebarang perubahan drastik diambil.

“Kita tengok LKAN, setiap kali laporan dibuat tidak kira sama apa sahaja benda, dari jam (dinding) hinggalah kepada scanner (alat pengimbas) yang harganya dari RM100, tetapi dibeli pada harga RM3,000.

“Kita (pernah) menghadapi masalah kebocoran dalam bangunan Parlimen yang kos (pembaikan) menelan belanja jutaan ringgit. Sekarang kita nak bina loji nuklear?,” soalnya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanatan berkata Kementerian mengesahkan laporan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi matapelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.

Manakala minggu lalu, kertas peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris turut dilaporkan bocor.

Susulan itu beberapa laporan polis dibuat dan 14 orang ditahan bagi membantu siasatan.

Kerajaan turut menggantung tugas Pengarah Lembaga Pengarah Peperiksaan Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.

Kebocoran kertas soalan itu menjejaskan hampir 470,000 murid Tahun Enam yang terpaksa mengambil semula peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris yang dijadualkan pada 30 September.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...