02 April 2014

APA LAGI GAMUDA MAHU....KONSENSI HANYA ANUGERAH OLEH KERAJAAN !!!


Pakatan selar Gamuda, sokong guna WSIA ambil alih konsesi air Selangor


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataan bersama PAS dan DAP mendakwa Gamuda hanya mahukan keuntungan dalam isu penstrukturan air di Selangor. 

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyelar kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling berkenaan isu air Selangor dan berkata beliau hanya mahukan keuntungan "tidak masuk akal" untuk pemegang saham syarikat tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, Lin tidak menghormati "kesucian kontrak" air berkenaan dan hanya mahukan "pembelian yang memeras pengguna".

"PR menyokong penuh usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri untuk meminta kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi menyelesaikan isu dalam penstrukturan air.


"Ia bagi membolehkan kerajaan negeri fokus kepada pelaburan dan meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan air yang disalurkan kepada pengguna," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Lin dilaporkan akhbar The Edge pada Jumaat berkata: Apabila pelabur melihat perjanjian berkenaan, mereka akan mempersoalkan keikhlasan kontrak itu. Kenapa mereka tidak menggunapakai konsep 'willing buyer, willing seller’? Kesalahan akan diletakkan di atas bahu kerajaan pusat kerana hanya mereka yang boleh menggunakan WSIA."

Pemimpin Pakatan berkata, kenyataan Lin itu "hipokrit" kerana mempersoalkan keikhlasan perjanjian, sedangkan dalam kontrak konsesi, anak syarikat Gamuda, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (SPLASH) bersetuju untuk menandatanganinya.

"Terdapat terma yang jelas untuk menamatkan pegangan konsesi dan membeli semula oleh kerajaan pusat/negeri.

“Malah, polisi "willing buyer, willing seller" juga pernah digunakan kerajaan negeri untuk mengambil alih pegangan konsesi air di Selangor selama enam tahun, namun gagal menemui penyelesaiannya,” kata mereka.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menawarkan sejumlah RM9.65 bilion bagi pengambilalihan pegangan konsesi daripada empat syarikat konsesi air Selangor.

Selain Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) yang merupakan anak syarikat Kumpulan Gamuda, syarikat konsesi air di Selangor termasuk dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas); serta Konsortium Abass Sdn Bhd.

Selangor sebelum ini bersetuju menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) air dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air.

Kementerian turut bersetuju untuk menggunakan Seksyen 114 WSIA bagi membolehkan pengurusan air di Selangor diambil alih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd.

Khalid turut bersetuju berkenaan penggunaan WSIA kerana ia bakal memberikan penjimatan sebanyak RM2 bilion kepada kerajaan negeri memandangkan harga pengambilalihan konsesi hanya melibatkan sejumlah RM7.65 bilion.

Pada sidang media di Shah Alam sebelum ini, Khalid berkata, hanya Abass yang menerima kelebihan berdasarkan perjanjian awal RM9.65 bilion kerana syarikat itu memberikan persetujuan semasa dalam tempoh rundingan.

"Lin juga bukan hanya menolak kesucian kontrak konsesi, tetapi juga cuba mengetepikan undang-undang yang dibentuk kerajaan Barisan Nasional melalui perbincangan penswastaan air dengan pemain industri.

"Beliau terlupa, tidak seperti amalan transaksi biasa perniagaan, konsesi ini dianugerahkan oleh kerajaan," kata mereka.

Katanya, Gamuda menjadikan rakyat sebagai "tebusan" apabila menolak untuk menerima tawaran harga yang munasabah daripada kerajaan Selangor.

"Harga yang lebih tinggi berbanding peruntukan undang-undang yang perlu dipatuhi Selangor untuk mengeluarkan perjanjian konsesi.

"Gamuda jelas di sini, menggunakan pemilikan dalam konsesi untuk mendapatkan bayaran lebih lumayan daripada kerajaan negeri," kata mereka.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

gamuda da melampau..
langsung xde pk pasal rakyat...
boikot je projek2 gamuda dalam selangor...

UtaraNews.com berkata...

Apabila Kerajaan Barisan Nasional Mahu Membantu Kerajaan Negeri Selangor Di Dalam Menyelesaikan Masalah Isu Air Yang Meruncing Di Selangor Masih Ada Pihak-Pihak Tertentu Yang Di Lihat Seperti Mahu Menjadikan Bantuan Itu Seperti Bantuan Yang Tidak Ikhlas Daripada Kerajaan BN... Jika BN Tidak Membantu, Pasti Rakyat Selangor Akan Terus Menderita Dengan Penyiksaan Yang Dilakukan Oleh Kerajaan Pakatan Rakyat... PR Juga Kena Berterima Kasih Kepada Khalid Kerana Bersedia Bekerjasama Dengan Kerajaan Pusat...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...