07 Ogos 2012

Negeri Pakatan guna tema alternatif Merdeka


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengesahkan bahawa tiga negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat - Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan - akan menggunakan tema alternatif mereka 'Sebangsa Senegara, Sejiwa' untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Bagaimanapun, sebuah lagi negeri Pakatan - Kedah - akan menggunakan tema yang berbeza, iaitu '55 Tahun Merdeka Terus Berbakti'.

Sinar Harian melaporkan Salahuddin berkata, jawatankuasa Pakatan mengenai tema Merdeka telah membuat keputusan tiga hari lalu untuk menggunakan tema alternatif tersebut.

Anggota exco publisiti Kedah, Abd Ghani Ahmad sebelum ini berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco baru-baru ini.

Pakatan memutuskan untuk menggunakan tema alternatif selepas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim enggan menukar tema 'Janji Ditepati' yang juga merupakan tema kempen politik BN.

Tema kemerdekaan Kedah berbeza dengan negeri Pakatan lain


6 Ogos — Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Kedah akan tetap menggunakan tema kemerdekaan berbeza dari negeri-negeri PR lain, iaitu “55 Tahun Merdeka Terus Berbakti” berbanding “Sebangsa, Sejiwa, Senegara” yang diumumkan oleh pemimpin PR sebagai alternatif kepada “Janji Ditepati” yang digunakan oleh kerajaan pusat.

Abd Ghani Ahmad, exco penerangan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat exco sejurus majlis pelancaran sambutan kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu.

“Kita hormati keputusan Sekretariat PR yang mengumumkan tema ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ pada 1 Ogos lalu. Namun pelancaran tema Kedah dibuat lebih awal dan tidak wajar untuk menarik balik,” katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian.

Abd Ghani percaya tidak timbul pertikaian dalam penggunaan tema itu kerana hasrat asal adalah untuk memilih tema berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu “Janji Ditepati”.

“Kedah kekalkan tema ini kerana sudah diwar-warkan sejak awal, tambahan pula pemasangan kain rentang sudah dibuat. Yang penting tema kita berbeza dengan Pusat, yang jelas membuktikan diselitkan dengan kempen politik Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tema “Terus Berbakti” dicadangkan oleh jawatankuasa induk Sambutan Hari Kemerdekaan dan mendapat persetujuan menteri besar (MB), Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

PR mengumumkan tema “Sebangsa Sejiwa Senegara” pada 1 Ogos lalu, yang dipilih oleh Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan PR daripada 250 cadangan yang diterima daripada orang ramai.

Pengerusi jawatankuasa terbabit, Datuk A. Samad Said berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam “Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa” diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebaik mungkin.

Menurut beliau yang juga pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu, tema itu dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...