09 Ogos 2012

Panas!!! Graduan Unisel Paling Laris Di Sektor Pekerjaan disebalik Konflik


SHAH ALAM – Walau dihimpit pelbagai spekulasi, Universiti Selangor (Unisel) berjaya membuktikan keunggulannya apabila berjaya melahirkan graduan berkualiti untuk pasaran pekerjaan negara.

Ini dibuktikan berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila hanya 23.3 peratus graduan lepasan Unisel masih belum mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Angka ini adalah yang paling rendah berbanding dengan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain.

Naib Cancelor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sepanjang tempoh enam majlis konvokesyen diadakan bermula pada tahun 2006 sehingga tahun 2011, Unisel sudah melahirkan 14,626 graduan dari pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

“Peratusan pelajar Unisel yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa dan GLC adalah tertinggi jika dibandingkan dengan keseluruhan IPT,” katanya.

Antara graduan Unisel yang berjaya mendapat pengiktirtafan badan profesional adalah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sufi Habibullah Roslan yang mendapat pengiktirafan pelajar terbaik daripada Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), di Majlis Anugerah 2012 kali ke-53 IEM baru-baru ini.

Sufi mendapat keputusan Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) cemerlang serta kejayaan projek tahun akhir yang melayakkannya menerima pingat emas IEM.

Anuar mengakui, kejayaan ini dipengaruhi oleh peningkatan kemasukkan pelajar untuk setiap sesi pengajian kesan daripada beberapa kontroversi yang melanda Unisel.

“Saya beranggapan semua ini ada hikmahnya. Di sebalik semua spekulasi atau dakwaan selama ini membawa kebaikan kepada universiti.

“Tanpa disangka-sangka, jumlah kemasukan pelajar untuk semester pendek Unisel pada April tahun ini berjaya mencatatkan jumlah kemasukan cukup tinggi iaitu 1,400 orang pelajar berbanding kemasukan yang sama pada tahun lepas iaitu hanya 400 orang pelajar,” katanya.

Tambahnya, perkara ini berlaku sebelum keputusan UPU dikeluarkan untuk kemasukkan IPTA.

Jelasnya, keadaan ini membuktikan Unisel merupakan pilihan utama pelajar sekaligus menafikan dakwaan kononnya Unisel merupakan pilihan terakhir pelbagai pihak bagi melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Jawatankuasa Timbang Tara berkuatkuasa hari ini bagi menyelesaikan konflik antara Universiti Selangor (Unisel) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).


SHAH ALAM, 8 OGOS : Kerajaan Negeri memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Timbang Tara berkuatkuasa hari ini bagi menyelesaikan konflik antara Universiti Selangor (Unisel) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Jawatankuasa ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berhubung dakwaan hutang hampir RM15 juta Unisel kepada JNSB yang mengawal selia asrama di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diputuskan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Exco yang berlangsung di sini, tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan keputusan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan segala kontroversi dan dakwaan yang dilemparkan ke atas universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu secara adil.

“Masalah ini hanya boleh diselesaikan melalui mesyuarat dan perbincangan bersama Datuk SUK, bukan dengan memberi kenyataan balas kepada akhbar. Saya memaklumkan perkara ini kepada Khusrin dan beliau bersetuju untuk bertemu dengan wakil Unisel serta pihak JNSB supaya perkara ini dapat di atasi segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan asrama berkenaan gagal mendapatkan sijil kelulusan bangunan (CF) ekoran kegagalan JNSB membinanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, menerusi perjanjian yang dibuat pada Jun 2008, Unisel juga perlu membayar sewa menduduki asrama tersebut kepada JNSB 100 peratus walaupun ia tidak berpenghuni.

“Pada saya nampaknya ia satu perkara berat sebelah untuk Unisel. Kita sudah maklumkan pada JNSB untuk dibincangkan sebagai timbang tara. Bangunan asrama dan Unisel secara keseluruhannya juga tiada CF.


“Sekarang JNSB kata dia tiada duit untuk betulkan kesemua asrama itu. Kalau tiada duit, serahkan pada Unisel. Tetapi ia dikira sebagai pembayar hutang kerana Unisel terpaksa menanggung beban tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tunggakan bayaran itu membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...