10 Januari 2012

PKR DAKWA PENGAWAL WAN AZIZAH ' DIGANGGU ' POLIS


Polis didakwa mengganggu pengawal peribadi presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kenyataan bahawa lelaki itu mungkin diberi suntikan beracun pada satu ceramah di Pulau Pinang, minggu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mansor Othman, Fayyadh Afiq Albakry Jaafar Sidek, 26, keluar tanpa arahan doktor dari Hospital Seberang Jaya dan mendaftarkan dirinya ke sebuah hospital lain untuk mengelakkan "gangguan" polis.

Walau bagaimanapun, Mansor, yang juga Ketua PKR Pulau Pinang tidak mendedahkan di mana Fayyadh Afiq sedang dirawat.

Apabila ditanya mengapa pengawal peribadi itu berpindah ke hospital lain, Mansor mendakwa bahawa "beliau diganggu oleh anggota polis".

"Pihak polis menyoal pelbagai soalan sedangkan beliau masih tidak sihat," kata Mansor, ketika ditemui pada ceramah di Seberang Jaya malam semalam.

Mengenai sama ada Fayyadh Afiq harus memberi kerjasama polis sepenuhnya, Mansor berkata bahawa tidak salah untuk mengambil kenyataan daripada beliau tetapi anggota polis perlu menunggu sehingga beliau benar-benar sihat untuk menjawab soalan.

Sabtu lalu, pengawal peribadi itu mendakwa bahawa tangan kirinya cedera selepas ditikam dengan objek tajam ketika beliau mengiringi Wan Azizah majlis pelancaran LANG-GAR 901 di Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun Pulau Pinang.-MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...