11 Januari 2012

Parti KITA Cawangan Melaka Bubar, Ahli Masuk Keadilan


MELAKA -- Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) cawangan Melaka pada Rabu dibubarkan apabila 60 ahlinya keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Borang keahlian kesemua mereka diserahkan oleh bekas pengerusi cawangan tersebut Kol (B) Hashim Puteh kepada Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Hashim memberitahu pemberita pihaknya tidak lagi yakin dengan pucuk pimpinan KITA, Datuk Zaid Ibrahim yang dilihat tidak konsisten dalam perjuangannya.

"Ahli akar umbi mula keliru dengan perjuangan Datuk Zaid yang ada kalanya menyebelahi Umno dan Barisan Nasional, kadang-kadang mirip Pakatan Rakyat. Jadi kita merasakan sebenarnya beliau (Zaid) berpolitik untuk diri sendiri," katanya.

Beliau berkata kepimpinan KITA di peringkat pusat juga tidak mempunyai gerak kerja serta program untuk dijalankan bagi mengatasi isu rakyat yang menjadi teras kepada perjuangan parti itu.

Katanya kepimpinan pusat juga tidak mengendahkan cawangan itu sehingga beliau sendiri tidak mengetahui sama ada cawangan berkenaan telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau masih di peringkat jawatankuasa penaja.

Bekas Setiausaha Agung KITA, Abdul Latif A. Tambi berkata beliau yakin cawangan lain akan mengikut jejak langkah cawangan Melaka.

"Daripada enam cawangan parti ini di seluruh negara, hanya cawangan Kedah yang aktif manakala cawangan lain iaitu Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Kelantan tidak ada program," katanya.

-- BERNAMA

KOMEN : JANGAN JADI IBRAHIM ALI....SUDAHLAH LOMPAT RATA...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...