25 November 2014

ASET PELABURAN KWSP MENINGKAT KEPADA RM622.78 BILION

Setakat 30 September 2014, jumlah aset pelaburan KWSP terus berkembang pada kadar positif, mencatatkan peningkatan sebanyak RM54.74 bilion kepada RM622.78 bilion berbanding RM568.04 bilion pada suku ketiga tahun lepas

KWSP catat pendapatan pelaburan RM10.32 bilion




Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pelaburan sebanyak RM10.32 bilion bagi suku ketiga 2014 yang berakhir 30 September lalu, meningkat lebih RM200 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

Momentum positif itu didorong terutamanya oleh pelaburan ekuiti yang mana kelas aset telah menyumbang sebanyak 61 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan suku ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, portfolio ekuiti terus mempamerkan prestasi kukuh untuk dua suku berturut-turut.

Bagaimanapun, pasaran ekuiti domestik dan global mula menunjukkan tanda-tanda pergerakan tidak menentu terutamanya FBMKLCI yang mencapai tahap rendah tahun ini iaitu di bawah paras 1,800 mata pada Oktober.

"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2015 sekaligus menunjukkan keadaan yang sukar pada suku tahun keempat 2014,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shahril Ridza, KWSP menjangka cabaran lebih hebat perlu dihadapi pada tahun-tahun kewangan akan datang.

Namun begitu, entiti berkenaan akan tetap berpegang kepada strategi pelaburan jangka panjang bagi memastikan pulangan sebenar yang mampan dan stabil untuk pencarumnya.

Dalam suku ketiga, pelaburan berisiko rendah dan tetap akan terus menjadi sumber pendapatan stabil kepada pelaburan KWSP.

Setakat 30 September 2014, jumlah aset pelaburan KWSP terus berkembang pada kadar positif, mencatatkan peningkatan sebanyak RM54.74 bilion kepada RM622.78 bilion berbanding RM568.04 bilion pada suku ketiga tahun lepas.

Setakat ini, jumlah pendedahan luar negara entiti berkenaan adalah 23 peratus daripada jumlah aset pelaburannya dan ia memiliki pelaburan di lebih 30 buah negara merangkumi pasaran negara maju dan baru muncul.

Menurut Shahril Ridza, sebagai pemegang amanah simpanan persaraan bagi 14 juta ahli, KWSP menyasarkan sekurang-kurangnya dua peratus pulangan melebihi kadar inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut selaras dengan objektif KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli.--MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...