04 Februari 2014

Selangor Perlukan Anwar dan Khalid Ibrahim



Kenyataan Media
3 Februari 2014

Selangor Perlukan Anwar dan Khalid Ibrahim

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) lahir dari semangat perlawanan anak muda, menegaskan perubahan itu tidak datang bergolek dan tidak boleh ditunggu. Perubahan harus direntap sebagaimana kita mengasak dan terus mengasak dengan matlamat menumbangkan mana-mana regim penindas rakyat.

PRK Kajang hadir dalam suasana politik yang tidak menentu. Ramai yang menyokong langkah ini demi kestabilan dan kelangsungan perlawanan, namun tidak kurang juga yang membantah dengan alasan tersendiri. Selepas penjelasan demi penjelasan diutarakan, akhirnya kata putus dari semua pimpinan Pakatan Rakyat dicapai dengan nilai positif – tumbangkan Barisan Nasional demi perubahan.

SAMM juga tidak terlepas dari pertembungan pendapat. Sebagai anak muda, kita meraikan perbezaan pendapat dan membuat keputusan dasar di atas persetujuan kolektif. SAMM merakam beberapa perkara dalam kenyataan ini, adalah termasuk;

1. Pakatan Rakyat harus berani melambung bola untuk dimainkan oleh pihak lawan, maka Langkah Kajang adalah keputusan yang sangat berani, mempertaruhkan reputasi kekuatan sebuah parti dan gabungan Pakatan Rakyat. Ia juga berupa satu serangan untuk mematahkan serangan pihak musuh yang pelbagai.

2. TS Khalid Ibrahim telah menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan cemerlang, namun asakan hebat dari musuh yang penuh tipu helah melangkau bidang kekuatan TS Khalid. Bagi mengekang kemaraan musuh ini, sosok Anwar menjadi pertaruhan terbaik untuk memimpin negeri Selangor dari asakan seteru utama iaitu Najib Razak yang menjadi pengerusi BN Selangor.

3. TS Khalid Ibrahim juga mempunyai jasa yang amat besar di Selangor, dan antara jasanya yang paling besar ialah memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim untuk memimpin Selangor dan seterusnya menjadi faktor penyatu yang paling berpengaruh. Maka SAMM turut mencadangkan supaya TS Khalid menjadi orang paling kanan dalam pengurusan kewangan di negeri Selangor, dan diangkat menjadi Pengarah Pilihanraya.

4. Soal ‘amanah’ telah dijadikan senjata utama oleh pihak musuh selepas Adun Kajang meletak jawatan. Sedarkah semua bahawa Barisan Nasional telah pecah amanah selama lebih 50 tahun lamanya? SAMM nasihat kepada Umno dan BN supaya melihat kekayaan dan pemborosan Rosmah Mansor sebagai simbol ‘amanah’.

5. Pertembungan Mahathir dan Najib menjadikan negeri Selangor sebagai medan penilaian dalaman Umno. SAMM tidak menolak kemungkinan isu perkauman dan kebencian agama akan dilancarkan dalam skala besar yang di luar jangkaan. Maka wajar untuk SAMM nyatakan bahawa Selangor memerlukan seorang Anwar Ibrahim.

Justeru itu, SAMM dengan ini menyokong cadangan meletakkan DS Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat dan TS Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya. SAMM juga akan menggerakkan kekuatan jentera SAMM dalam usaha membuahkan kemenangan Pakatan Rakyat di PRK N25 Kajang.

Isamuddin Sanusi
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...