05 Februari 2014

PKNS NAFI PECAT CUMA TAK SAMBUNG KONTRAK !!!


PKNS: Tak lanjut kontrak elak pertindihan tugas

SHAH ALAM, 5 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjelaskan perkhidmatan 20 kakitangan perbadanan itu yang ditamatkan kontrak ekoran kepakaran dan pengalaman mereka sudah sedia ada dengan pegawai tetap di situ.

PKNS berkata, keputusan itu dibuat ekoran penyusunan semula oraganisasi sumber manusia bagi mengelakkan pertindihan tugas selaras dengan polisi tadbir urus yang mengutamakan perkhidmatan cekap dan “value for money”.

Dalam kenyataannya, PKNS berkata perkhidmatan 20 anggota itu dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 untuk mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baru antaranya pemasaran, pembangunan bisnes, strategi dan media, pelaburan, dan pengurusan organisasi dan integriti.


“Bagaimanapun, selepas mengkaji keputusan itu, PKNS berpandangan tidak ada keperluan untuk meneruskan perkhidmatan 20 pegawai terbbait kerana kepakaran dan pengalaman yang sama sudah ada di kalangan pegawai tetap di PKNS.

“Sehubungan itu, anak syarikat PKNS; PKNS Holdings membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menurut terma yang terdapat dalam kontrak perkhidmatan masing-masing,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Semalam, dilaporkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) iaitu anak syarikat PKNS memecat kira-kira 30 kakitangan tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam.

Semua kakitangan PHSB itu menerima surat pemecatan yang ditandatangani Pengerusinya, Datin Paduka Norazlina Zakaria dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan, pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan pembabitan beliau dalam pemecatan hampir 30 kakitangan PHSB dan menganggap tidak ada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan kontrak mereka tidak dilanjutkan.


MP PKR: Tamat kontrak, Khalid wajib ditukar


Selaku pentadbir tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab terhadap penamatan kontrak lebih 20 pekerja kontrak anak syarikat PKNS, kata pengerusi biro pekerja PKR, Abdullah Sani.

Abdullah yang juga MP Kuala Langat membidas sikap Khalid yang menurutnya tidak menghormati hak pekerja dengan menamatkan serta-merta kontrak tanpa memberi peluang kepada pekerja terbabit mencari pekerjaan lain.

Semalam anak syarikat PKNS - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) - dilapor memecat 30 kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuatkuasa serta-merta.

Kesemua kakitangan PHSB - anak syarikat PKNS - menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata: "Ini pengkhianatan yang cukup menjijikkan dan tak boleh diterima.

"Inilah sebab Khalid wajib ditukar ganti," kata Abdullah yang juga timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Abdullah Sani menganggap tindakan menamatkan kontrak pekerja terbabit sebagai tindakan zalim ibarat negara 'kunta-kinte'.

Beliau berkata PKNS telah melanggar Akta Pekerja kerana tidak memberi justifikasi penamatan kontrak justeru melanggar kontrak yang ditandatangani sendiri oleh syarikat dan pekerja.

"Saya difahamkan ada perjanjian kontrak bersamaan seksyen 10 (Akta Pekerja) yang wajib diikuti tak kira siapa pun.

"Pihak PKNS telah melanggari Seksyen 12 iaitu pelanggaran kontrak," katanya yang juga MP Kuala Langat.

"Ini bukan negara 'kunta-kinte'. Perlu ada undang-undang sebelum berbuat sesuatu," kata beliau lagi di hadapan Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor di Shah Alam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...