31 Januari 2014

Terkini ! Anak-Anak Pasangan Malaysia Di Sweden Sudah Berlepas Pulang Ke Malaysia !!!

STOCKHOLM, 31 Jan. – Empat anak pasangan Malaysia yang kini ditahan reman kerana dakwaan memukul tangan anak lelaki mereka, berlepas pulang ke Malaysia dari Stockholm pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, Jumaat bersama-sama Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Hamzah memberitahu Bernama sebelum berlepas pulang yang mereka akan tiba di tanah air esok.

Semalam, keempat-empat mereka diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini.

Sebelum ini, anak-anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal itu ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam di sini berikutan penahanan pasangan itu pada 18 Dis lepas.

Semalam, selepas 42 hari terpisah daripada ibu bapa mereka, anak-anak itu yang dikenali sebagai Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif,7, dipertemukan dengan saudara mara mereka dari Malaysia di sini pada 4 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

Empat beradik itu, yang kelihatan teruja dan dan gembira, dibawa dari sebuah sekolah ke Kedutaan Malaysia di sini sebelum dipertemukan dengan saudara mara mereka.



Detik gembira 4 beradik

Stockholm: “Saya gembira ketika ini, tidak banyak yang boleh saya kata. Terlalu gembira jumpa sepupu, mak cik dan semua orang.

“Keluarga angkat juga baik dan kami harap dapat kehidupan baru selepas ini,” kata Aisyah, 14, anak sulung kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal sebaik dipertemukan dengan keluarga angkat Islam dari Malaysia menerusi kedutaan.

Dalam pertemuan penuh air mata kegembiraan itu, mereka saling berpelukan terutama apabila berjumpa sanak-saudara dari Malaysia.

Jam 4 petang semalam, Kedutaan Malaysia yang sebelum ini tenang dipenuhi dengan tangisan mereka yang seolah-olah diberi kejutan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin yang menguruskan pertemuan itu.



EMPAT beradik selepas mendapat keluarga angkat Islam, semalam.
Kedutaan Malaysia dijangka menyerahkan mereka kepada keluarga angkat baharu iaitu keluarga Islam Malaysia di sini.

Aishah yang mewakili adik-adiknya turut berterima kasih di atas sokongan padu kerajaan dan rakyat Malaysia sejak kes mereka dilaporkan bulan lepas.

Empat beradik itu juga dilihat seronok berbual dan bergurau senda dengan saudara mara mereka sambil menjamu hidangan nasi lemak yang disediakan pihak kedutaan.




Dalam sidang berita kemudian, Hamzah berkata kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di sini menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri Sweden, Frank Belfrage, pihak Khidmat Sosial Sweden dan semua pihak yang menjayakan usaha itu.

“Mereka faham dan sedar bahawa anak-anak ini patut berada di bawah jagaan keluarga yang memahami budaya kita…mereka sedar mengenai perbezaan ini.

“Ini (kes) kali pertama berlaku pada rakyat kita. Kita perlu rancang strategi dan inilah hasilnya,” katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Daerah Solna melanjutkan tahanan reman Azizul Raheem selama 11 hari lagi sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Difahamkan mahkamah sama akan bersidang esok bagi memutuskan penahanan reman isteri Azizul, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...