27 Januari 2014

TERKINI ! Adun PKR Kajang Letak Jawatan Wakil Rakyat

Surat peletakan jawatan Adun Kajang Lee Chin Cheh. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut berkuatkuasa serta-merta pada Isnin.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dalam satu sidang media tergempar di Dewan Annexe di sini petang Isnin.

“Pada hari ini, 27 Januari 2014 saya telah menerima perletakan jawatan daripada Adun Kajang. Lee Chin Cheh berjumpa dengan saya dan menyerahkan surat pelepasan keahliannya hari ini.

“Selaras dengan undang-undang tubuh perkara 68 bahawa seseorang Adun boleh melepaskan keahliannya melalui surat dibawah tandatangannya yang ditujukan kepada speaker.

“Maka dengan ini saya isytiharkan kerusi N25 Kajang telah dikosongkan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata selaras dengan Fasal 5 perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut.

Menurut Hannah, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pagi Selasa.

“Hari ini dah tak sempat nak beritahu. Saya akan maklumkan kepada SPR pagi esok (Selasa) bagi memberi laluan Pilihan Raya Kecil diadakan,” katanya.

Ketika diasak media apakah punca peletakan jawatan Lee, Hannah berkata beliau (Lee) tidak menyatakan sebarang alasan di dalam surat tersebut.

“Anda patut tanya beliau sendiri mengenai alasan peletakan jawatan itu. Tugas saya sebagai Speaker hanyalah dimaklumkan mengenai perkara itu dan saya telah menerima surat daripadanya,” kata Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan itu ada kena mengena dengan kemelut dalaman membabitkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Adun Gombak, Mohamed Azmin Ali, Hannah menjawab,”tiada komen.”

“Saya tak nak komen mengenai perkara itu. Malah saya turut terkejut dengan peletakan jawatan Lee,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Hannah berkata, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia hanyalah khabar angin.

“Saya tak nak komen mengenai calon kerana berita tentang Anwar hanyalah khabar angin. Apa yang boleh saya katakan, hari ini kerusi N25 (Kajang) telah dikosongkan dan kerusi itu milik PKR ,” katanya. -mstar.com.my

ANWAR NAFI GANTI KHALID!!


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan laporan media bahawa beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Katanya laporan berkenaan hanya satu spekulasi.

Anwar juga memberitahu pemberita bahawa beliau tidak bertemu Khalid minggu lalu untuk membincangkan peletakan jawatan itu.

Menurutnya, mereka berjumpa setiap minggu dan kali terakhir adalah pada Jumaat lalu.

Beliau mengulas laporan portal The Star Online yang mendakwa bahawa Khalid telah bersetuju untuk melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang itu menjadi menteri besar yang baru.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...