07 Disember 2012

Kantoi ! BN P.Pinang Gagal Melunas Baki Bayaran Tanah taman Manggis

Tawaran jual tanah Taman Manggis kepada BN batal


GEORGETOWN - Mesyuarat Exco Pulau Pinang kelmarin sebulat suara memutuskan untuk membatalkan tawaran penjualan tanah Taman Manggis tanah seluas 0.45 hektar di Jalan Zainal Abidin, di sini kepada Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana tidak mematuhi empat faktor utama.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, BN Negeri dan Pengerusinya, Teng Chang Yeow didakwa tidak ikhlas untuk membeli tanah itu untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurutnya, faktor pertama ialah kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Taman Manggis Phase 2 Development Sdn Bhd, Khoo Boo Soon bercanggah dengan tujuan awal pihak BN negeri untuk membina PPR atau rumah kos rendah untuk sewa malah Kerajaan Negeri mendapati pihak BN berhasrat bagi membina rumah mampu milik berharga RM400,000.

"Faktor kedua, kegagalan untuk menukar Chang Yeow sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd. Penukaran itu, dianggap penting sebab persetujuan dibuat oleh Chang Yeow untuk menerima tawaran Kerajaan Negeri bagi membeli tanah Taman Manggis.
"Faktor ketiga ialah kegagalan untuk menyemak semula modal berbayar bagi syarikat pemaju perumahan kepada nilai yang ditentukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu tiga peratus Nilai Pembangunan Kasar (GDV). 

Akhirnya, gagal membayar baki 99 peratus atau RM22,183,227 pada 5 Disember (kelmarin) walaupun tempoh sebulan dilanjutkan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Guan Eng berkata keengganan BN membuat bayaran dengan penuh walaupun mereka mendakwa sudah menyediakan wang tersebut, menimbulkan persoalan tentang kejujuran dan komitmen Chang Yeow dan BN negeri dalam membeli tanah untuk pembinaan rumah kos rendah untuk sewa (PPR).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri meragui komitmen Chang Yeow apabila Boo Soon mengumumkan pada 29 November lalu bahawa tanah Taman Manggis akan digunakan untuk perumahan mampu milik yang berharga RM400,000 dan bukan pembinaan PPR.
"Apakah jaminan Chang Yeow berikutan Boon Soon berhasrat membina perumahan berharga RM400,000?

"Kerajaan Negeri tidak boleh menjual tanah kepada BN negeri, disebabkan tiada jaminan kuat dan komitmen jelas dari pengarah-pengarah syarikat Taman Manggis. Kerajaan Negeri bimbing kemungkinan pihak BN boleh tidak akan memungkiri janji untuk membina PPR.

"Kerajaan Negeri mendapati pendirian Chang Yeow yang tidak jelas, tambah lagi dengan keengganan kepimpinan BN untuk menjadi pengarah dalam syarikat Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd," katanya.

Pada 3 Oktober lalu, Chang Yeow menulis surat kepada Kerajaan Negeri bahawa sedia menerima tawaran membeli tanah Taman Manggis dengan RM450 sekaki persegi untuk pembinaan PPR.

Sebagai pendahuluan, Pemuda Barisan Nasional membuat bayaran wang cengkeram RM224,074 iaitu satu peratus daripada jumlah keseluruhan pada hari yang sama.

Pada hari yang berikutnya, Guan Eng meminta BN Negeri untuk membuat bayaran baki iaitu 99 peratus atau RM22,183,227 dalam jangka masa 30 hari, yang kemudiannya telah dilanjutkan sehingga kelmarin.

Walaupun tarikh akhir yang sudah diberikan oleh Kerajaan Negeri, BN tetap bertegas dengan pendiriannya apabila enggan membayar baki wang untuk membeli tanah Taman Manggis kerana mendakwa Kerajaan Negeri enggan mengeluarkan perjanjian jual beli (S&P) seperti yang dituntut sebelum itu.

Dalam masa sama, Guan Eng mendakwa alasan BN adalah tidak masuk akal untuk meminta perjanjian jual beli.

"Keengganan BN Negeri membuat bayaran dengan alasan tiada perjanjian jual beli dan jual tanah yang sama kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) adalah tidak masuk akal kerana geran hak milik belum dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.

"Bagaimana boleh kita (Kerajaan Negeri) memberi perjanjian jual beli tanpa geran hak milik tanah? Dan selagi geran hak milik tanah tidak dikeluarkan, Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk menjual tanah tersebut kepada sesiapa sahaja. Penjualan tanah kepada BN ini tidak melalui tender terbuka tetapi secara pemindahan hak milik tanah," katanya.

Beliau berkata, situasinya sama apabila Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang membayar premium RM15 juta untuk tanah Swettenham Pier.

"Dalam kes tersebut, tiada perjanjian jual beli. Sebaliknya, ia telah dipindah milik seperti tanah Taman Manggis.

"Hak milik tanah tidak dikeluarkan, Kerajaan Negeri boleh membayar balik premium tersebut kepada Penang Port Sdn Bhd dan terus memegang hak milik tanah. KLIDC menerima status ini dan juga penjualan tanah Taman Manggis kepada BN Pulau Pinang, tertakluk kepada pembayaran balik premium serta kos mereka," katanya.

Justeru, beliau berkata, ketidakikhlasan BN negeri untuk pembinaan PPR adalah sebab utama Kerajaan Negeri membatalkan tawaran penjaulan tanah Taman Manggis.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...