14 September 2012

HOT !!! PERSIDANGAN UMNO SANDAKAN KECOH



PENGERUSI Tetap Persidangan UMNO Bahagian Sandakan, Sahari Ahmad (gambar) mempertikaikan mengenai Persidangan UMNO Bahagian Sandakan yang telah diadakan pada 9 September 2012 lalu kerana tidak menurut Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan UMNO.

Katanya, 80 peratus perwakilan yang hadir pada persidangan tersebut merasa amat kecewa kerana Ketua-Ketua Cawangan dan para perwakilan tidak diberi notis mengikut Peraturan Mesyuarat yang digunapakai selama ini.

Jawatankuasa Mesyuarat telah gagal atau sengaja memberi notis lewat kepada Pengerusi Tetap Persidangan bagi memaklumkan mengenai persidangan UMNO tersebut.


Sahari Ahmad yang menghubungi Sabahkini.Net melalui panggilan telefon semalam dari Kuala Lumpur menjelaskan bahawa beliau banyak menerima maklumat daripada Ketua-Ketua Cawangan dan para perwakilan yang mendakwa semasa hari persidangan tersebut; pihak penganjur tidak memasang bendera UMNO atau bendera Barisan Nasional (BN); sama ada di dalam dewan tempat majlis persidangan mahupun di kawasan luar Dewan Masyarakat Sandakan.

Bukan itu sahaja, kata Sahari lagi, barang-barang keperluan seperti alat tulis dan 'pocket files' yang berharga 50 sen sahaja dibekalkan bagi menyimpan naskah Laporan Mesyuarat Perwakilan 2012 yang diedarkan, jelas memperlihatkan betapa 'daifnya' pentadbiran Urusetia Pejabat UMNO Bahagian Sandakan.

Kata Sahari lagi, di dalam laporan tersebut yang telah disediakan senarai calon perwakilan 7 orang ke Perhimpunan Agung UMNO Pusat sedangkan terdapat permintaan agar ia dipertandingkan.

Selain itu juga terdapat bantahan daripada ahli yang ingin bertanding kerana pada masa pendaftaran pencalonan dijalankan Setiausaha Bahagian yang dipertanggung jawabkan kerap tiada di pejabat dan ekoran daripada kurangnya perhatian dalam melaksanakan tugas-tugas rasmi yang diamanahkan.


Maka kata Sahari, keadaan ini telah menimbulkan pelbagai masalah; serta menyulitkan ahli-ahli UMNO yang ingin mendaftar kerana hanya Setiausaha Bahagian sahaja yang dibolehkan menerima pendaftaran.

“Satu perkara lagi, saya dapat maklumat daripada rakan-rakan UMNO di Sandakan, perkara ini kata mereka bukan sahaja amat menyedihkan, tetapi amat memalukan atau memang perbuatan disengajakan.

“Upacara menyerahkan cenderakenangan kepada Wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan cenderahati tersebut dan kemudian digantikan dengan buah tangan benbentuk buah-buahan yang baru dibeli di Pasar yang dalam keadaan kelam kabut,” jelasnya.

Selain itu kata Sahari, maklumat yang seterusnya diterima daripada ahli-ahli UMNO Sandakan pada mulanya persidangan yang dijalankan dalam keadaan senyap sunyi; tiba-tiba bertukar menjadi riuh rendah dan panas kerana salah seorang perwakilan iaitu Zamir Hj Osman yang membahas usul mengenai ekonomi di majlis persidangan tersebut telah diganggu.

“Dalam usul yang dibentangkan Zamir, menyatakan bantahan kerana terdapat projek yang dipohon oleh Ketua-Ketua Cawangan melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah dialibabakan kepada kontraktor Cina. Sudah tiadakah kontraktor bumiputera dalam UMNO Sandakan yang mampu mengendalikan kerja-kerja berkenaan. Apa motif dan agenda sebenarnya Ketua Bahagian UMNO Sandakan?


“Kami selaku ahli UMNO Sandakan tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). saya harap sebaik sahaja tersiarnya berita ini di Sabahkini.Net, saya harap SPRM menjalankan siasatan kerana laporan rasmi telah dibuat. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memberikan senarai nama orang yang menjadi dalang penyelewengan ke atas projek-projek tersebut," ujar Sahari lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...