26 Mei 2012

Pembunuhan Osama satu jenayah kepada US : Amnesty

Tindakan ditakrif langgar undang-undang


WASHINGTON- Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International, mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana membunuh pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden dalam serangan di Pakistan, Mei tahun lalu selain menyifatkannya tindakan melanggar undang-undang.

“Pentadbiran Amerika mengakui operasi itu dilakukan atas sebab memerangi keganasan global antara Amerika dan al-Qaeda selain menyatakan ia tidak mengiktiraf undang-undang hak asasi manusia antarabangsa boleh dikuatkuasakan dalam kes berkenaan.

“Tanpa penjelasan lebih lanjut dalam perkara itu daripada pihak berkuasa Amerika, pembunuhan Osama boleh dianggap melanggar undang-undang,” kata Amnesty dalam laporan tahunannya.

Amnesty menyatakan, Amerika juga membisu terhadap permintaan mendapatkan penjelasan mengenai serangan pesawat kawalan jauh yang membunuh ulama radikal kelahiran Amerika, Anwar al-Awlaki dan Samir Khan, anggota al-Qaeda di Yaman, selain dua orang lain, September lalu.

“Pembunuhan itu satu bentuk hukuman dilakukan meskipun tiada keputusan kehakiman,” kata pertubuhan itu lagi.

Amnesty juga membidas pencabulan hak asasi manusia pentadbiran bekas Presiden George W Bush selain mengutuk kebebasan pegawai tentera melakukan apa saja.

Ia juga mengkritik Kanada kerana tidak menahan Bush ketika bekas Presiden Amerika itu melakukan

kunjungan Oktober lalu sekalipun ada banyak bukti beliau bertanggungjawab atas jenayah undang-undang antarabangsa termasuk penderaan, merujuk kepada penahanan individu di sebuah negara untuk dihantar ke negara lain tanpa mengikut proses undang-undang termasuk tidak diwakili peguam.

Pada Jun tahun lalu, Peguam Negara, Eric Holder melancarkan siasatan jenayah terhadap dua kematian tahanan di bawah jagaan Agensi Perisikan Pusat (CIA).


Tetapi, CIA kemudian menamatkan siasatan terhadap banyak lagi kes penderaan askar Amerika. Amnesty juga kesal kegagalan Presiden Barack Obama menutup Guantanamo, dua tahun selepas memberi tarikh akhir penutupannya.

“171 lelaki masih lagi ditahan di situ termasuk empat didapati bersalah oleh suruhanjaya tentera,” kata pertubuhan itu lagi. Angka rasmi ialah 169.

Laporan itu juga tidak bersetuju dengan layanan terhadap lima suspek dalang serangan 11 September 2001 yang tidak diberi peluang bersuara selama empat tahun sebelum dihantar ke Guantanamo.

– AFP

1 ulasan:

Unknown berkata...

salam tuan boleh bloglistkan blog saya http://zulhairiaziz99.blogspot.com/ kedalam bloglist tuan terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...