16 Julai 2011

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) mesti diadakan semula

IPCMC mesti diadakan semula
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Julai: Tragedi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu menuntut Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) mesti diadakan semula.

“Suruhanjaya ini perlu dihidupkan semula memandangkan imej polis semakin tercalar di pandangan dunia,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Katanya, sebagai sebuah badan penguatkuasa di negara ini, polis sepatutnya perlu menunjukkan sebagai sebuah badan yang berwibawa.

Menurutnya, pelanggaran hak asasi dan undang-undang berlaku dengan sewenang-wenangnya, seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang dan prosedur tangkapan.

Beliau berkata, penguatkuasa yang wujud pilih kasih ke atas rakyat Malaysia kerana berlainan ideologi telah berlaku dalam himpunan 9 Julai lalu.

Katanya, Patriot yang dipimpin oleh Pergerakan Pemuda Umno dibiar bermaharajela, sedangkan penyokomg Bersih ditangkap walaupun sekadar berbaju Bersih.

Ini, ujarnya seolah-olah mereka yang menyokong kerajaan kebal dari tindakan, manakala rakyat yang menuntut keadilan melalui jaminan undang-undang diburu seperti penjenayah bersenjata berat

Menurut beliau, sekiranya Suruhanjaya Aduan dan Tingkah Laku Polis tidak diadakan imej polis bertambah buruk di kalangan masyarakat awam.

“Kesian kepada polis yang baik dan profesional ketika menjalankan tugas. Sekarang wajah polis dianggap alat BN bukan alat untuk mempertahankan keamanan negara,” ujarnya.

Beliau menambah, suruhanjaya itu bukan sahaja untuk melihat tingkah laku polis, malah untuk meningkat profesional polis dalam perkhidmatan supaya mereka bertindak selari dengan keluhuran undang-undang.

“Kita cukup simpati kepada polis ketika mereka berada di mahkamah yang gagal menjawab soalan peguam bela dengan baik dan menjadi bahan ketawa terutama berhubung kait dengan Akta Polis,” katanya.

Menurutnya lagi, semasa mereka bertindak kepada penyokong Pakatan Rakyat mereka tidak mengambil kira apa yang mereka bertindak itu betul atau tidak.

Akhirnya, kata beliau mereka menerima padah di dalam perbicaraan, contohnya bekas Ketua Polis Rompin diarahkan membayar RM200 ribu kepada Dr Hatta Ramli, Mazlan Mohd Yasin kerana tangkapan tidak sah dalam satu ceramah di Rompin.

“Atas asas ini jika Pakatan Rakyat memerintah suruhanjaya ini perlu disegerakan supaya imej polis dipulihkan angkara negara di bawah pemerintahan BN,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...