10 Julai 2011

Hisham salahkan Bersih tak hormati Agong, PM

Hisham salahkan Bersih tak hormati Agong, PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengecam penganjur perhimpunan Bersih 2.0 tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan perhimpunan di lokasi terkawal, selamat dan tidak mengganggu urusan orang ramai.

Malah Hishammuddin juga mendakwa nasihat dan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga telah tidak dipatuhi dan telah ditolak secara bulat-bulat oleh mereka.

“Sehingga ke peringkat akhir kumpulan ini jelas tidak mengambil inisiatif untuk berhimpun secara aman di salah sebuah lokasi yang tetap walaupun kerajaan telah berulang kali memberi jaminan bahawa mereka boleh berhimpun di mana-mana stadium di luar ibu negara,” kata beliau dalam satu kenyataan malam ini, kira-kira tiga jam selepas ibu negara kembali tenang daripada perhimpunan kali kedua menuntut pembaharuan sistem pilihan raya adil dan bebas.

Bersih 2.0 membatalkan perhimpunan jalanan setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu dan ekoran janji Perdana Menteri bahawa perhimpunan boleh diadakan di stadium.

Justeru, Bersih 2.0 yang Hishammuddin mengisytiharkan sebagai pertubuhan haram, bertekad mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi tidak mendapat permit polis.

Dalam kenyataannya, Hishammuddin berkata, melihat kepada tindak tanduk mereka yang terlibat dalam insiden ini jelas bahawa niat dan hasrat mereka adalah untuk menghuru-harakan negara dan mengharapkan diri mereka ditahan bagi menggambarkan kekejaman pihak kerajaan.

“Kita bersyukur kerana pihak PDRM berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan daripada pihak-pihak yang jelas mempunyai pendirian yang bertentangan daripada bertembung.

“Pihak polis juga telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik walau dicabar dan menerima provokasi oleh mereka yang berdemonstrasi,” kata beliau.

Segala tindakan itu kata beliau, berjaya menghindari daripada berlakunya perbalahan, kecederaan dan sebarang kemungkinan lain yang lebih serius seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.

“Saya juga bersyukur kerana pihak berkuasa telah membuat siasatan yang rapi dan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan berjaya merampas pelbagai senjata, bom, bahan kimia dan bahan-bahan bakar yang lain sehingga pihak berkenaan tidak dapat menggunakannya di dalam perhimpunan hari ini,” katanya.

Hishammuddin menambah kebimbangannya bahawa kemungkinan ada pihak ketiga termasuk pertubuhan antarabangsa asing akhirnya tidak kelihatan dan tidak berpeluang untuk mengambill kesempatan daripada apa yang berlaku disebabkan ketegasan pihak PDRM.

Katanya, dalam insiden yang berlaku hari ini jelas bahawa kritikan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah tidak kedengaran.

Malah kata beliau, penganjur perhimpunan telah hilang peranannya dan gagal mengawal keadaan.

“Bukan lagi soal SPR yang timbul tapi sebaliknya penglibatan pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang telah menjadi lebih menonjol dengan agenda yang jauh berbeza dengan apa yang mereka umumkan sebelum ini.

“Mereka terus menerus melaungkan ‘reformasi’ dan mencetuskan kacau ganggu.

“Perhimpunan ini ternyata telah hilang arah dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab di atas kejadian-kejadian yang telah tercetus,” katanya -TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...