25 April 2015

PAGE " LetakJawatan" DESAK PM LETAK JAWATAN MENERIMA 2 JUTA PENGUNJUNG SETIAP MINGGU




Gesaan untuk Najib letak jawatan makin kuat di media sosial


Penganalisis politik tempatan mengatakan kewujudan banyak laman sosial meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur merupakan bukti kepada usaha lebih sistematik untuk menjatuhkan beliau.

Apabila anda menaip nama Datuk Seri Najib Razak di Facebook akan terpapar senarai didahului profil rasminya. Namun gambar profilnya yang tersenyum diikuti beberapa laman menyeru peletakan jawatannya – dan setiap satu daripadanya mengumpul beberapa ribu “like”.

Minggu lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau keseorangan menyeru peletakan jawatan Najib, namun laman-laman sedemikian menunjukkan realiti adalah sebaliknya.

Contohnya, laman Facebook “LetakJawatan” yang dibuka hanya sebulan lalu sudah pun mengumpul 99,356 “like” 6 petang semalam (Jumaat), dan menerima 2 juta pengunjung setiap minggu, menurut pentadbir laman tersebut.

“Page ini mendapat sambutan dengan begitu singkat kerana kehidupan mereka semakin tertekan dengan dasar-dasar kerajaan dan tiada ruang untuk mereka meluahkan rasa dan pandangan,” kata pentadbir LetakJawatan kepada The Malaysian Insider.

Katanya, laman tersebut dibuka bersama orang-orang yang sependapat sebagai satu ruang bi-partisan untuk rakyat Malaysia supaya mereka dapat meluahkan secara terbuka pendapat mereka tentang polisi Najib.

“Juga boleh lihat daripada komen-komen yang ada pengguna page ini terdiri daripada semua parti baik Umno, PKR dan PAS dan semua kaum," katanya.

“Adakah page ini akan memberi impak kepada Najib? Jawapan saya ia akan memberi kerana mereka yang ‘like’ page ini terdiri daripada yang berumur 20 hingga 35 tahun, menurut statistik Facebook, dan merekalah pengundi yang akan menentukan siapa akan memerintah.”

Laman tersebut memaparkan artikel dan video tentang isu panas seperti hutang negara, peningkatan gaji ahli Parlimen baru-baru ini, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hampir kesemua post dalam LetakJawatan mendapat lebih 100 hingga 1,000 “like” dengan pengunjungnya bersetuju sesama sendiri dalam ruangan komen atau pun mereka menulis sendiri di laman tersebut negara berada keadaan teruk dan Najib perlu berundur.

Pengguna Facebook Ar Nikmat Amin berkongsi surat terbuka yang ditulisnya di laman tersebut, menggesa Najib supaya meletakkan jawatan atau dipecat kerana tidak mentadbir kerajaan dengan baik.

“Untuk makluman Datuk, saya antara yang terkesan dengan ketirisan di bawah pentadbiran Datuk. Saya perlu bermati-matian untuk mendapatkan RM100 sehari bagi menampung keperluan keluarga dan negara,” tulis Ar Nikmat.

“Untuk maklumat tambahan Datuk Seri, ada ketika saya perlu berlutut pada pelanggan untuk meneruskan urusniaga!”

Walaupun keberatan mendedahkan identitinya, pentadbir LetakJawatan mengakui dia seorang penyokong kuat Umno sejak kecil lagi, dan setiap kali pilihan raya berlangsung, dia akan “memanjat tiang dan pokok untuk memasang sepanduk.”

Namun katanya perdana menteri tidak sepatutnya mewakili satu parti sahaja, tetapi kesemua 28 juta rakyat Malaysia.

“Saya berharap perdana menteri melihat komen-komen ini agar memahami perasaan mereka ini kerana saya yakin suara mereka ini mewakili seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

LetakJawatan adalah sebahagian daripada laman-laman lebih lama seperti “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation”, yang mengumpul 242,860 “like” sejak 6 petang semalam, “'Kami Benci Najib Tun Razak”, dan “1 Juta Rakyat Mahukan Najib Razak Letak Jawatan”.

Facebook bukan satu-satunya ruang untuk rakyat Malaysia kecewa bagi yang mempunyai akses kepada Internet – satu petisyen baru di change.org yang bertajuk “Rakyat not alone. Najib MUST GO!” sudah pun mendapat 96 tandatangan sejak 6 petang semalam, kurang sehari ia dibuka.

“Memandangkan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan gagal menjawab persoalan tentang SKANDAL ini dan nampaknya sedang mengalihkan perhatian rakyat kepada isu yang direka-reka seperti kontroversi perkauman/agama, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menuntut peletakan jawatan beliau segera sebagai perdana menteri,” tulis petisyen tersebut.

“Dengan penuh hormat, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, sila tolong rakyat anda dengan MELETAKKAN JAWATAN.”

Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat, seorang zamalah di Institut Pulau Pinang memberitahu The Malaysian Insider laman-laman tersebut merupakan bukti kepada usaha lebih sistematik untuk menjatuhkan Najib.

Katanya, laman seperti ini membantu Dr Mahathir dalam usahanya mewujudkan persepsi Najib sedang kalah walaupun beliau mengatakan kemungkinan jumlah ‘like’ tersebut datangnya daripada “bots” (program komputer mudah diprogramkan untuk melaksanakan operasi yang berulang) serta “cybertroopers”.

“Lawan Najib sedang mereka suasana seperti beliau sudah kalah, dan sebaik sahaja penyokong beliau masuk dalam perangkap tersebut, mereka akan meninggalkan sokongan terhadap beliau dan pada masa itulah beliau betul-betul kalah. Mereka tidak mahu kelihatan menyokong pihak yang sedang kalah.

“Namun saya berpendapat Najib akan tetap kekal pada masa kini kerana beliau masih memberikan naungan politik dalam parti,” kata Wong.

Penganalisis politik Ibrahim Suffian yang mengetuai Merdeka Center berkata, laman tersebut mempunyai kesan terhadap pendapat rakyat kerana ia menunjukkan orang ramai berani mendedahkan nama dan profil mereka menyeru peletakan jawatan Najib.

“Laman seperti ini boleh menjadi berpengaruh, tetapi ia memerlukan lebih daripada seruan sebegini untuk diterjemahkan menjadi tindakan dan memaksa Umno untuk menolak beliau dari parti,” kata Ibrahim.

Beliau berkata, Najib hanya akan dalam bahaya sekiranya sokongan dalam parti juga mula terhakis.

Bagaimanapun, ia memerlukan “lebih banyak lagi” untuk lawan Najib mendapat keberanian bangkit menuntut beliau meletakkan jawatan, kata Ibrahim.

“Sama ada Najib kekal atau tidak bergantung kepada apa yang beliau mahu. Sekiranya beliau ingin kekal, beliau hanya perlu ambil tindakan yang perlu untuk menyekat pengaruh Dr Mahathir.

“Jika tidak, semakin lama, Dr Mahathir akan mula menghakis sokongan dalam parti, mencemarkan kredibilitinya dan menjejaskan mood rakyat,” kata Ibrahim.

Pada Khamis, Dr Mahathir sekali lagi menyeru Najib supaya meletakkan jawatan, mengatakan kegagalan perdana menteri untuk menjelaskan kehilangan berbilion ringgit 1MDB yang sarat berhutang menjadikan beliau tidak layak memimpin negara.

Bekas perdana menteri itu juga baru-baru ini memberitahu parti pemerintah Umno untuk menggantikan Najib sebagai presiden atau menanggung risiko kalah dalam pilihan raya umum akan datang. ~SUMBER

3 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Unknown berkata...

Klu anda seorang muslim, anda patut malu kpd diri & Allah krn mengajak org lain berbuat dosa. Rezeki itu drp Allah.Insaf lah krn kita akan di hitung kelak......

Unknown berkata...

Empunya blog ni tlg padamkan entry begini. Jgn bersekongkol dgn org yg mengajak berbuat dosa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...