06 Januari 2015

HARAKAH KINI MINTA PENGARANGNYA BERHENTI



Selepas dua pengarang kanannya ditamatkan kontrak, organ rasmi PAS Harakah kini meminta ketua pengarang akhbar itu sendiri Ahmad Lutfi Othman, yang sedang bercuti sakit, meletakkan jawatan.

Langkah itu dikaitkan abangnya Dinsman, juga seorang penulis terkenal, dengan beberapa tulisan yang didakwa mengkritik kepimpinan ulama dalam PAS.



Menurut sumber, pertemuan dengan Ahmad Lutfi (atas) dibuat minggu lalu bagi memaklumkan “permintaan” yang diputuskan mesyuarat ahli lembaga pengarah Harakah Disember lalu.

"Atas faktor kesihatan, beliau dinasihatkan berhenti dan ditawar 'pencen illat' dengan bayaran separuh gaji oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

"Bagaimanapun beliau menolak tawaran itu dan merayu agar terus diberikan kerja itu," kata sumber kepada Malaysiakini, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menurut sumber itu lagi, ahli lembaga pengarah Harakah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali akan membincangkan perkara itu semula pada mesyuarat mereka Februari akan datang.
Ditanya siapa bakal mengetuai lidah rasmi PAS itu tanpa Lutfi, sumber itu memaklumkan kemungkinan ia diisi oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Taufek Yahya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Ahmad Lutfi berhubung perkara itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...