14 November 2014

KORUPSI PUNCA PEMBALASAN BENCANA TERHADAP CAMERON!!!

Pembalasan Cameron terhadap korupsi



Gambar: Keadaan Gunung Jasar, dekat Cameron Highlands. Gambar bertarikh Oktober 2014 dipetik dari blog asme.wordpress.com


Jauh juga Cameron Highlands kalau mengikut laluan Simpang Pulai. Kalau bukan laluan itu, pilihan satu lagi ialah laluan Tapah yang bersimpang siur bagai ular dipalu; dan akhir-akhir ini pula banyak kejadian tanah runtuh. Maka hampir lima jam juga kami berkereta menuju hentian pertama di Kuala Terla, dan bertemu seorang lagenda tak didendang di sana.

Saya tidak pernah jejak ke Cameron Highlands. Bila disebut Cameron, yang muncul di minda hanyalah ladang teh dan buah strawberry. Cameron adalah kawasan Parlimen paling kecil di Pahang, dengan keluasan sebesar Singapura; bersempadan dengan negeri Perak dengan Gunung Brinchang di ketinggian sekitar 4,000 kaki dari aras laut.

Sejuknya barangkali menggigit hingga ke tulang kalau lapisan lemak tidak begitu tebal, antara 16 ke 20 darjah Celcius.


Banyak hal sedang melanda Cameron – dari kebanjiran air lumpur di kawasan Ringlet, kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan penguatkuasa imigresen. Namun kebanjiran warga asing adalah kerunsingan yang paling besar; kerana jumlah mereka mengatasi bilangan penduduk asal. Itu belum mengambil kira nasib orang Asal yang ramainya masih beroleh sara hidup daripada berniaga petai dan madu di kiri kanan jalan menuju tanah tinggi itu.

Demikian kerunsingan yang diluahkan saudara Apalasamy, lagenda DAP Cameron Highlands sewaktu menyambut kehadiran kami di Kuala Terla. Dengan perwatakan riang dan penuh tertib, barangkali tiada yang menyangka insan ini pernah menjadi calon Parlimen beberapa kali, sejak menganggotai DAP seawal tahun 1970.

Dengan berpakaian marhaen dan kasut but getah, kami disantuninya dengan makan minum dan perbualan politik negeri Pahang, sambil menceritakan keresahannya bertemankan secawan kopi.


Baginya korupsi pihak-pihak berkuasa dan kapitalis berkepentingan menyebabkan banyak kebinasaan alam di Cameron. Dan kebanjiran pekerja asing di tanah tinggi itu adalah kesan langsung ketamakan kaum pemodal yang mementingkan untung laba tanpa menghiraukan kebajikan pekerja, apatah lagi undang-undang.

Ada yang dapat tanah sekangkang kera, bawa masuk pekerja asing dan teroka lagi tanah sekeliling supaya kebun boleh diperluas. Pekerja asing bayarannya murah, untung boleh digandakan dengan penjimatan bayaran gaji. Bila ada penguasa masuk campur – runding lagi supaya semua pihak mendapat habuan masing-masing.
Kerja memperluaskan kawasan ladang atau kebun juga dibuat membuta tuli. Pekerja asing mana yang rajin mahu ikut peraturan? Habis semua ditebas dan ditebangnya. Pohon renek menutup bumi juga dicerahkan, akhirnya permukaan tanah tidak lagi kukuh, nah merudumlah jatuh tanah, batu, dan rimbunan pokok buluh turun ke jalanraya.


‘Limosin’ Apalasamy sangat menarik perhatian, dengan logo Roket DAP menghiasi kedua-dua belah pintu hadapan. Dengan kenderaan itu kami dibawa ke pejabat DAP Cameron Highlands, yang barangkali merupakan salah satu arkib hampir sempurna mendokumentasi perjuangan hampir lima puluh tahun Partai Tindakan Demokratik.

Pejabat dan rumah berkongsi atap. Itu sahaja sudah cukup untuk menjadi dalil komitmen saudara Apalasamy terhadap perjuangan. Dua tiga kali beliau meminta maaf kerana jalan masuk menuju rumah merangkap pejabatnya itu masih berlumpur, meskipun setakat 20 meter sahaja. Namun khazanah yang tersimpan di rumahnya itu menjadikan segala-galanya berbaloi.


Pejabat DAP Cameron Highlands menyimpan naskhah-naskhah The Rocket seawal tahun 1970, selain buku, gambar, pita rakaman ceramah serta keratan-keratan akhbar yang dilitup plastik menghiasi empat dinding bangsal marhaennya yang didedikasikan kepada sejarah pergulatan rakyat melawan tirani penguasa dan golongan pemodal.

Apalasamy tergolong dalam kalangan buruh tani. Kebun sayur di belakang rumah terus diusahakan meskipun usianya mencecah dekad ketiga. Dengan tulang empat kerat dan sumber terbatas itulah beliau terus berjuang. Pergelutan Cameron yang sejak awal wujudnya ditekan ketamakan kapitalis barangkali menjadi faktor kesedaran kelas dan aktivisme politik beliau.


Cameron ‘ditemui’ Inggeris seawal 1885 ketika sempadan Pahang-Perak mahu dipeta, lalu mendapat namanya daripada Sir William Cameron. Melihat tanahnya yang subur dan iklimnya yang bagus, hanya dua perkara menjadi keutamaan pemodal orang putih; bikin tempat peranginan dan ladang teh.

Aktiviti kapitalis ini diteruskan sehingga kini, dengan bantuan korupsi dan ketamakan pihak-pihak yang tidak pernah berasa cukup dengan apa yang ada; penyudahnya alam menjadi mangsa.

Terbaru tanah adat Orang Asli di Bera turut diceroboh atas nama pembangunan. Belum dikira berapa banyak lagi tanah yang diselongkar, hutan yang digondol dan hak-hak yang dilanggar demi mengisi perut-perut membusung kaum pemodal.


Meskipun kapitalisme itu bukanlah manifestasi syaitan yang membawakan segala macam kejahatan, kerakusan atas nama keuntungan seharusnya dipangkas seawal munculnya sebelum berlarutan menjadi bala yang mengakibatkan alam membalas dendam.

Yang pasti, pada setiap kali korupsi muncul di Cameron, akan ada Apalasamy untuk mengendalakannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...