03 September 2014

PULAU PINANG SEBUAH NEGERI BUKAN NGO, KPN DIGESA JANGAN BERTINDAK SESUKA HATI

Pulau Pinang bukan NGO, Ketua Polis digesa jangan bertindak sesuka hati



BUKIT MERTAJAM, 3 SEPT – Tidak ada persoalan undang-undang yang timbul sewaktu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditubuhkan melalui mesyuarat Exco Pulau Pinang lima tahun lalu.

Malah mesyuarat Exco dianggotai Penasihat Undang-undang Negeri, yang dilantik Jabatan Peguam Negara untuk memberi nasihat undang-undang kepada Ketua Menteri mengenai keabsahan tindakan Kerajaan Negeri.

“Sekiranya Ketua Polis Negara melihat PPS sebagai badan haram, beliau menafikan kuasa eksekutif serta kuasa membuat dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam satu kenyataan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah kerajaan dengan hak dan kuasa untuk membuat dasar. Exco sebagai badan eksekutif kerajaan berhak menubuhkan jawatankuasa, badan dan perkumpulan untuk membantu pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan.”

“Ketua Polis Negara tidak boleh melayan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti sebuah NGO atau parti politik tanpa hak dan kuasa tersebut,” tegasnya.

Steven turut mempersoalkan kenapa tindakan baru diambil sekarang setelah PPS beroperasi dan berkhidmat untuk orang awam selama lima tahun secara terbuka.

“PPS bekerjasama baik dengan PDRM selama ini, bersama-sama pasukan peronda lain sebagai sebahagian daripada konsep pempolisan komuniti yang digunakan PDRM,” kata Steven, sambil bertanya apa wajarnya tindakan sekarang padahal tidak ada masalah yang dihadapi sepanjang lima tahun lalu.

“PPS bukan kumpulan bawah tanah. Aktivitinya dibuat secara terbuka dan rondaannya dimaklumkan serta diiktiraf PDRM,” tambah beliau lagi.

Beliau turut mempersoal kenapa PDRM tidak memaklumkan Kerajaan Negeri sekiranya timbul sebarang masalah dalam aktiviti PPS, serta menimbulkan persoalan sama ada PPS sememangnya sengaja dijadikan sasaran kerana ia ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ahad lalu seramai 250 anggota kontinjen PPS yang menyertai perarakan Hari Merdeka diberkas pihak polis sejurus selesai perarakan. Exco bertanggungjawab ke atas PPS, Phee Boon Poh, turut bermalam di lokap selepas disoal-siasat mengenai kegiatan pasukan sukarela tersebut. – SUMBER

2 ulasan:

sizzly7761 berkata...

Kalau benar KPN bertindak salah dan cubs berpolitik... maka saman dan pastikan mahkamah menghukumnya sebagai ingatan bahawa PDRM dan KPN khususnya tertakluk dan berada di bawah undang2!

Rafrash berkata...

Kenapa LGE beria-ia sangat nak tubuh PPS. Orang tolol pun tahu niat dia yang sebenar. Dayus bagi kerajaan pusat kalau PPS tidak dihapuskan. Pasukan RELA sudah cukup untuk membantu PDRM untuk memantau apa jua keselamatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...