19 September 2014

16 LAGI PEGAWAI KASTAM DITAHAN SPRM


"SPRM mengesahkan ada membuat tangkapan terbaru pada 17 September 2014 melibatkan 16 orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


TUJUH pegawai kanan Kastam dari Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dengkil dan Putrajaya dibawa untuk proses jaminan sekitar pukul 5 petang selepas mengaku tidak bersalah atas 98 pertuduhan menerima rasuah antara RM500 dan RM130,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada 19 September 2014.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Datuk Mohd Nasir Said dan Penolong Kanan Pengarah Kastam, Cawangan Risikan, Putrajaya, Datuk Saad Ishak adalah antara lapan pegawai kanan agensi itu yang dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan menerima rasuah.

Saad bersama enam yang lain didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam manakala Mohd Nasir pula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 39 tahun hingga 58 tahun didakwa melakukan kesalahan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan yang dilakukan oleh individu dan syarikat-syarikat yang membawa keluar barangan yang tidak dikenakan cukai eksais dari Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Mereka didakwa menerima rasuah secara bulanan berjumlah antara RM500 hingga RM130,000 dan berhadapan dengan lapan hingga 52 tuduhan iaitu kesalahan menerima wang perlindungan bulanan.

Keseluruhan tuduhan yang dikenakan hari ini adalah sebanyak 106.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Selain itu, mereka yang didakwa di Shah Alam ialah Penolong Kanan Pengarah Penguatkuasaan Kastam Dengkil, Mohd. Ariffin Zakaria; Pegawai Kanan Kastam Kuala Lumpur, Azlee Mohamed Yusof; Penolong Kanan Pengarah Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan Negeri Selangor), Sohaizan Othman; Penolong Pengarah Penguatkuasaan Kastam Kuala Lumpur, Abd.Razak Basri; Penolong Kanan Pengarah Kastam II Kuala Lumpur (Bahagian Penguatkuasaan), Abdul Ghafar Mohamed dan Pegawai Kanam Kastam Kuala Lumpur, Hizam Abd. Ghani.

SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Omar Saifuddin dan Anthony Kevin Morais.

Kes di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad manakala di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Kesalahan ini juga adalah melanggar Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Pendakwaan dilakukan oleh Umar Saifuddin Jaafar, Aida Adhha Abu Bakar dan Mohammed Heikal Ismail.

Hakim Noradidah membenarkan kesemua tertuduh dikenakan jaminan wang antara RM5,000 hingga RM40,000 dengan seorang penjamin selain pasport perjalanan mereka ditahan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 30 Oktober 2014 sebagai tarikh penyerahan dokumen kes dan sebutan kes.

Sementara, Pengarah Bahagian Sisasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah dalam satu kenyataan berkata, mereka yang dihadapkan di mahkamah hari ini merupakan sebahagian pegawai yang ditahan dalam satu operasi khas pada 3 September lalu.

"SPRM mengesahkan ada membuat tangkapan terbaru pada 17 September 2014 melibatkan 16 orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Tangkapan ini adalah hasil siasatan lanjut ke atas tangkapan terdahulu iaitu pada 3 September 2014, hasil pemerhatian selama setahun di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh pasukan Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang dianggotai oleh SPRM, PDRM, Bank Negara, LHDN, CyberSecurity dan lain-lain, katanya.

Seramai 13 pegawai ini telah pun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 September 2014 dan Dua lagi direman selama enam hari mulai hari ini, katanya.

Dalam mengumpul bukti-bukti ini, Pasukan Petugas Khas telah menggunakan kaedah penyiasatan berasaskan analisis dan risikan bagi menembusi kerja-kerja penyeludupan dan aktiviti rasuah yang melibatkan anggota sindiket dan penguat kuasa.

"Ingin ditegaskan di sini bahawa tangkapan terbaru ini bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebaliknya bertujuan melumpuhkan aktiviti-aktiviti penyeludupan dan rasuah yang menyebabkan berlaku ketirisan wang negara yang besar.

"SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. SPRM juga menyambut baik dan menyokong langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengemaskan perjalanan organisasi tersebut, antaranya merombak penempatan pegawai dan menyemak semula SOP Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...