09 Ogos 2014

Pengedar YSLM terima gelaran Datuk Seri



PETALING JAYA - Seorang pengedar perniagaan pemasaran pelbagai peringkat YSLM CDTUP, Jessy Lai mendapat penganugerahan darjah kebesaran daripada Pahang yang membawa gelaran Datuk Seri, ketika pihak berkuasa sedang mengesan pemilik syarikat itu yang mendakwa dirinya sebagai jutawan, Zhang Jian.

Pengumuman itu dibuat di laman rasmi YSLM CDTUP di Facebook dengan gambar-gambar beliau menerima gelaran itu dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan gambar beliau bersama pingat darjah kebesaran itu.

“Jessy dah dapat pingat yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Sultan Pajang… kenapa tak percaya???” kata moderator di halaman Facebook itu.

Beberapa gambar yang hampir sama dalam istiadat pengurniaan darjah kebesaran turut dikongsikan menerusi akaun Facebook di laman web Malaysia Youth Team.


Dalam satu kenyataan ringkas, Jessy menulis mengenai beliau rasa bersyukur apabila YSLM telah membawa perubahan besar dalam kehidupannya.

“Ia bermula dari satu perasaan yang tidak selesa, kemudiannya dengan bantuan “lao da” (Zhang Jian), beliau membantu untuk memperkayakan dan wang mula masuk… sekali gus mengubah hidup saya dengan ketara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau terharu apabila Zhang Jian memperkenalkannya dengan “banyak nilai kehidupan” bahkan turut mendapatkan pengiktirafan daripada negara dan masyarakat menerusi gelaran baharunya.

Di mana Zhan Jian berada ketika ini masih tidak jelas walaupun beberapa serbuan dilakukan di beberapa pejabat syarikat itu di seluruh negara.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengisytiharkan bahawa syarikat-syarikat di bawah Zhang Jian tidak didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan menunjukkan Zhang datang ke Malaysia untuk menubuhkan satu skim piramid cepat kaya yang diumumkan haram, melalui YSLM.

Sehingga berita ini ditulis, pegawai istana Pahang tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan pengesahan berhubung penganugerahan gelaran Datuk Seri kepada Jessy, lapor mStar.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib.. Najib.. bala apa lagi yang ko datangkan kat malaysia ni..???

http://goo.gl/PAhcw5

Tanpa Nama berkata...

Di Mesia ni orang yg kuat rasuah, kuat menipu, kuat dadah akan diangkat dan dipuja dengan pelbagai anugerah seperti Datuk. Yang banyak buat kebaikan akan difitnah....oh...mesia ku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...